Monday, 6 January 2014

Kerana Aku Sayang Kau - Bab 5 - 10

BAB 5

                        Bunyi telefon bimbit mematikan langkahnya yang sedang menuju ke kafetaria. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluarnya. Nama yang tertara di skrin membuatkan dia mengeluh.
            “Hello,” dengan malas, Tuah Iskandar menjawab juga panggilan tersebut.
            “Hai Tuah,” sapa Lilia girang.
            “Kau nak apa?”
            “Kau tengah buat apa tu?”
            “Tak penting untuk kau tahu,”
            Kedengaran Lilia mendegus kasar.
            “Kau nak apa call aku?” tanya Tuah Iskandar untuk kali ke dua. Biasanya dengan Lilia dia akan straight to the point. Dia malas hendak melayan kerenah Lilia.
            “Jom kita keluar malam ni,” ajak Lilia. Suaranya masih kedengaran girang. Entah betul atau pura-pura.
            “Aku tak senang,”
            “Malam ni kan ada game,”
            “Kojek tak cakap apa-apa pun dengan aku,”
            “Kojek yang beritahu aku,”
            “Aku hanya akan datang kalau Kojek yang hubungi aku,”
            Lilia mendegus lagi. Nampaknya Tuah Iskandar tidak percayai dengan cerita yang sengaja direka. Sengaja dia berbuat begitu untuk keluar dengan Tuah Iskandar tetapi nampaknya pemuda itu masih dengan sikap sombongnya.
            “Kalau tak ada apa-apa, aku off dulu,”
            Tuah Iskandar akhirnya mematikan talian tanpa menunggu bicara selanjutnya dari Lilia.
            Seketika Tuah Iskandar bersandar di dinding bangunan akedemi. Matanya dipejam. Otaknya berputar ligat memikirkan arah perjalanan hidupnya yang terumbang ambing tidak menentu. Entah kenapa dia rasakan hidupnya sudah terpesong, bukan pada landasan yang betul tetapi dia tidak tahu. Tidak tahu bagaimana untuk kembali kerana semuanya berserabut!
            Lilia. Gadis itu sering mengganggu hidupnya. Semua gadis itu lakukan untuk menarik perhatiannya namun sedikitpun tidak dilayan. Dia bukan bodoh dan buta. Dia tahu Lilia lakukan semua untuk menakluki hatinya. Dia tahu gadis itu menyimpan perasaan padanya. Namun, hatinya kosong. Tiada perasaan yang terbit saat melihat gadis itu apatah lagi perasaan yang di namakan cinta. Dia akui Lilia mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang gadis tetapi…dia tidak pernah jatuh hati.
            Bayangan Lilia di ganti dengan wajah seseorang. Wajah yang manis bertudung mampu menarik perhatiannya. Kemarahan yang wujud di awal pertemua mereka terus hilang saat pandangan mata mereka bertemu. Gadis yang kelihatan biasa itu bagaikan mempunyai kuasa yang mampu memadamkan amarahnya serta menerbitkan satu perasaan dalam dirinya.
            Perasaan itu sungguh aneh!
            Ya…amat aneh!
            Tuah Iskandar membuka matanya perlahan. Cuba untuk menidakkan perasaan aneh itu dari terus menyusup dalam hatinya. Pantas kakinya dihayun. Namun, baru beberapa tapak dia melangkah, matanya terpandangkan seseorang.
            Hani!
            Tuah Iskandar melangkah mendekati gadis itu. Perlahan saja langkahnya. Kelihatan gadis itu sedang berjalan berseorangan. Mulut gadis itu terkumat kamit membaca sesuatu. Sikap pelik Hani membuatkan Tuah Iskandar mengerutkan dahinya.
            Baca doa ke budak ni?
            Tuah Iskandar kini berdiri betul-betul di hadapan Hani. Hani yang jalan menunduk itu tidak sedar akan kehadiran Tuah Iskandar. Hanya beberapa langkah saja mereka akan bertembung.
            Satu…dua…tiga…
            Hani terlanggar Tuah Iskandar yang berada di hadapannya.
            “Erk..maaf. Maafkan saya. Saya tak sengaja,” pantas Hani bersuara seraya mengangkat wajahnya.
            Bulat mata Hani apabila melihat Tuah Iskandar berdiri di hadapannya. Seketika dia kaku di situ, memandang Tuah Iskandar tanpa berkelip-kelip
            Tuah Iskandar mengeluarkan telefon bimbitnya lalu diangkat selaras dengan wajah Hani.
            Klik!
            Sekeping gambar Hani ditangkap.
            Seketika Hani tersedar. Pantas dia berpusing ke belakang lalu melarikan diri. Entah macam mana nasibnya kurang baik. Dia terpijak kainnya yang sedikit labuh. Apalagi, jatuh berdebuk dia di situ macam nangka busuk.
            Tuah Iskandar terkejut melihat situasi itu. Dia cuba untuk membantu. Namun, kelihatan Hani segera berdiri dan terus menghilangkan diri. Tuah Iskandar mengerutkan dahinya dan tidak lama kemudian bibirnya mengukir senyum.
                                                                        **********
            Hani segera menutup pintu biliknya. Seketika dia bersandar di balik pintu nafasnya turun naik bagaikan penjahat yang melarikan diri dari pihak polis.
            Aduh! Kenapa boleh jadi macam ini? Macam mana dia boleh terserempak dengan Tuah Iskandar ? Macam mana dia boleh tidak sedar yang Tuah Iskandar berada betul-betul di hadapannya?
            Gila! Memang hari ini hari malang bagi dirinya. Setelah sekian lama dia cuba sedaya upaya menghindarkan diri dengan pemuda itu namun hari ini mereka tertembung pula. Nampaknya, Tuah Iskandar memang tidak melupakan perlanggaran antara mereka. Memang Tuah Iskandar mahu melancarkan perang. Memang Tuah Iskandar mahu menjadikan dia target seterusnya hanya kerana kesalahan kecil yang dia lakukan.
            Kesalahan kecil? Tidak! Bukan dia yang bersalah. Pemuda itu yang bersalah. Tetapi dia sanggup meminta maaf jika Tuah Iskandar melepaskannya.
            Hani memejamkan matanya. Masih terbayang peristiwa beberapa minit yang lalu. Wajah Tuah Iskandar begitu rapat dengannya. Tatkala itu, jantungnya berdegup kencang saat terpandang renungan tajam pemuda itu.
            Dan…yang paling dia tidak boleh lupa, macam mana dia boleh terjatuh di hadapan pemuda itu? Malu betul! Entah apa yang difikirkan Tuah Iskandar tentang dirinya, dia sendiri tidak tahu. Cuma, dia berharap setelah melihat keadaan dirinya, Tuah Iskandar akan bersimpati dan akhirnya melupakan semuanya.
            Hani ingin bebas. Dia ingin melepaskan diri dari pemuda itu. Dia tak mahu ada sebarang kaitan dengan Tuah Iskandar.
                                                                        **********
            Tuah Iskandar membelek-belek telefon bimbitnya. Gambar yang baru ditangkap beberapa minit yang lalu membuatkan dia tersenyum. Gambar seorang gadis bertudung dengan mata yang bulat serta mulut yang sedikit terlopong membuatkan senyumannya meleret.
            Kelakar betul apabila mengenangkan gadis itu. Sama sekali dia tidak menduga sehingga begitu sekali gadis itu cuba menjauhkan diri daripadanya. Sehingga begitu sekali gadis itu takut kepadanya.
            Namun, apa yang telah berlaku membuatkan dia terhibur. Bukan kerana melihat gadis itu takut akan dirinya tetapi terhibur dengan wajah comel itu, gayanya yang ringkas serta matanya yang seakan mempunyai sinar ketenangan.
            Tiba-tiba perasaan aneh itu datang menerjah ruang hatinya yang kosong. Perasaan aneh itu bagaikan menyuntik semangat dalam dirinya untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat.
            Tetapi bagaimana?
            Zulkifli yang sedang menjamu makanan mengerling sahabat yang duduk di hadapannya. Makanan Tuah Iskandar masih belum dijamah sebaliknya pemuda itu asyik membelek-belek telefon bimbitnya. Entah apa ang dibuat pemuda itu, dia tidak pasti.
            Namun, Zulkifli terlihat sebuah senyuman terukir di bibir Tuah Iskandar. Seketika Zulkifli mengerutkan dahinya. Tuah Iskandar tersenyum? Bukan senang hendak lihat Tuah Iskandar tersenyum. Apa yang membuatkan pemuda itu tersenyum agknya.
            “Kau tengok apa tu?” tanya Zulkifli benar-benar ingin tahu.
            “Ha?” Tuah Iskandar terpinga-pinga seketika.
            “Apa yang kau tengok dalam telefon bimbit tu?”
            “Tak ada apa-apa,” balas Tuah Iskandar seraya menutup telefon bimbitnya. Wajahnya kembali serius. Senyuman yang terukir sebentar tadi hilang.
            “Ada perkara baik ke?” tanya Zulkifli lagi. Teringin benar untuk mengatahui apa yang menyebabkan Tuah Iskandar mampu mengukir senyuman.
            Nothing,” balas Tuah Iskandar pendek.
            Zulkifli tidak lagi bertanya apabila Tuah Iskandar seperti tidak mahu berkongsi cerita. Namun dia dapat rasakan seperti ada sesuatu yang menggembirakan hati rakannya itu.
            Zulkifli mengerling seketika ke arah Tuah Iskandar. Pemuda itu tersenyum lagi sebelum menyua makanan ke dalam mulutnya.
                                                                                    **********
            Telefon bimbit yang berbunyi membuatkan Hani yang sedang tekun belajar, tersentak. Dia mengurut-urut dadanya sebelum mencapai telefon bimbit itu. Nama yang terpapar di skrin membuatkan dia berfikir samada untuk menjawab ataupun sebaliknya.
            Belum sempat dia membuat keputusan, deringan telefon itu terhenti. Hani menarik nafas lega sambil mengharapkan si pemanggil tidak membuat panggilan untuk kali ke dua. Namun, tidak sampai seminit, ia berbunyi kembali. Masih pemanggil yang sama. Akhirnya Hani mengambil keputusan untuk menjawab sahaja. Orang berbuat baik, kenapa mesti kita membalas dengan kesombongan?
            “Assalamualaikum, Hani,”
            Hani menjawab salam sambil bertanya khabar.
            “Abang sihat. Hani bagaimana?”
            “Hani sihat saja. Abang kat mana ni?”
            “Abang kat kampung. Tadi singgah rumah Hani. Tengok-tengok mak cik dan pak cik,”
            “Oh, abang pergi rumah Hani tadi? Ayah dengan mak sihat?”
            “Sihat Alhamdulillah,”
            Hani tersenyum. Wajah ibu dan ayahnya terpapar di hadapan matanya. Tiba-tiba rindunya menebal pada kampung halaman. Bilalah agaknya dia dapat balik ke kampung?
            “Abang nak beritahu Hani yang abang kena transfer kerja di KL,”
            “Abang bertukar ke Kuala Lumpur? Bila?”
            “Bulan depan,”
            “Oh tahniah,”
            Hani mengukir satu senyuman. Entah ikhlas entah tidak. Dia sendiri tidak tahu kenapa seperti ada satu perasaan yang tidak mengizinkan Halim datang ke Kuala Lumpur. Ada satu perasaan yang berat untuk bersemuka dengan Halim.
            Kenapa?
            Mungkinkah kerana ungkapan yang pernah Halim ucapkan suatu ketika dulu?
            “Abang sukakan Hani,”
            Masih terngiang-ngiang di telinganya saat Halim meluahkan perasaannya. Semestinya dia terkejut kerana dia menganggap Halim seperti abang kandungnya sendiri. Halim merupakan anak angkat emak. Halim memang rapat dengan keluarga Hani. Sebab itu tidak terfikir langsung di fikirannya untuk menyukai Halim lebih dari seorang abang. Apatah lagi saat itu dia sedang hangat bercinta dengan Fahmi.
            “Maafkan abang kalau Hani tak suka dengan pengakuan abang ni. Harap Hani lupakan saja apa yang abang dah cakap ni,”
            Kata Halim apabila melihat Hani hanya diam tak bersuara.
            “Hani menganggap abang macam abang kandung Hani,” jawapan yang selamat. Penolakan yang lembut tetapi penuh dengan alasan yang teramat kukuh.
            Saat itu Halim tunduk menyebabkan Hani rasa bersalah kerana mengecewakan seorang lelaki yang baik seperti Halim. Namun, hati tak mungkin dapat dipaksa. Hani sayangkan Fahmi.
            Namun, tidak lama kemudian, Halim mengangkat mukanya sambil tersenyum. Berbeza benar wajahnya berbanding beberapa saat yang lepas. Dengan senyuman yang terukir di bibirnya, Halim berkata.
            “Maafkan abang. Lupakan apa yang abang cakap tadi. Hmm, boleh abang anggap Hani macam adik kandung abang?”
            Hani benar-benar tidak tahu adakah Halim ikhlas ataupun sedang memujuk diri sendiri lantaran hasratnya ditolak. Namun, Hani tiada pilihan lain. Jika dia menganggap Halim seperti abang kandung, tidak salah jika Halim menganggap dirinya seperti adik kandung. Mungkin itu yang terbaik buat mereka. Dan sehingga saat ini, setelah dia sudah berpisah dengan Fahmi pun, Halim masih mengambil berat atas dirinya membuatkan Hani adakalanya curiga. Benarkah Halim menganggapnya seperti adik kandung? Atau Halim masih menanti dirinya?
            Namun, Hani cuba beranggapan baik kerana sejak Hani menolak lembut perasaan Halim, Halim tidak pernah sekalipun berbicara soal perasaan. Meskipun Halim tahu Hani sudah berpisah dengan Fahmi. Mungkin Halim benar-benar mengotakan janjinya, menganggap dia seperti adik kandung ataupun Halim sudah mempunyai teman istimewa.
            Halim lelaki yang baik. Moga yang baik-baik sahaja terjadi dalam hidup pemuda itu.
            “Hani,”
            Semua kenangan serta merta hilang apabila suara Halim menerjah gegendang telinganya. Seketika baru dia tersedar yang dia masih lagi sedang berbicara dengan Halim di talian.
            “Er..ya. Hani ada di sini,”
            “Okaylah Hani. Abang harap, bila dapat bertukar ke KL nanti, dapatlah abang jumpa Hani,”
            “Erk..okay,”
            Tidak lama kemudian, talian di matikan. Hani meletakkan telefon bimbit di sisinya. Kemudian dia termenung. Wajah Halim terpapar di mindanya. Ah, kenapa perasaan ini berat untuk menerima kehadirannya. Halim seorang lelaki yang baik. Mempunyai ciri-ciri suami yang soleh. Keluarga Halim pun datang daripada keturunan baik-baik. Dan dia sendiri mengakui bertuahnya perempuan yang dapat menjadi isteri Halim. Namun…
            Cinta itu tak boleh dipaksa.
            Ia akan datang, apabila sampai waktunya.
            Kita tak perlu mencari, ia akan datang sendiri.
            Dengan siapa, kita tidak pernah tahu
            Mungkin cinta itu masih jauh dari kita
            Ataupun ianya begitu hampir dengan kita
            Namun, kita tak sedar kerana
            Cinta itu tidak siapa yang tahu bila saat dan waktunya.
                                                                        **********
            Sudah hampir dua minggu peristiwa tertembung Tuah Iskandar itu berlalu. Maka, sudah hampir dua minggu jugalah Hani berkelakuan seperti orang bodoh. Setiap kali dia terserempak dengan Tuah Iskandar, dia pasti akan melarikan diri. Dia benar-benar yakin Tuah Iskandar mengenalinya kerana setiap kali mereka bertemu, pasti pemuda itu merenung tepat ke arahnya. Dia pasti!
            Namun, sudah dua minggu jugalah tiada apa-apa perkara yang berlaku. Tiada sebarang serangan dan dendam yang di tunjukkan oleh Tuah Iskandar kepadanya. Kenapa? Adakah Tuah Iskandar menganggap perlanggaran itu perkara biasa yang tidak di sengajakan? Ataupun Tuah Iskandar tak mahu melancarkan serangan setelah melihat dia berada dalam ketakutan selama ini? Iyalah..setiap kali terlihat Tuah Iskandar dia akan menikus, bersembunyi di sebalik Julia dan Syasya. Kemudian, dia berusaha mencari jalan lain supaya tidak melintasi Tuah Iskandar yang sibuk berbual-bual dengan rakan-rakannya. Dan pernah juga dia terjatuh ke dalam longkang semata-mata ingin lari dari Tuah Iskandar. Mungkin kerana itu, Tuah Iskandar tidak jadi untuk melancarkan serangan.
            Ataupun, Tuah Iskandar tidak membuli kaum perempuan? Lebih-lebih lagi perempuan yang comel sepertinya? Tiba-tiba Hani tertawa dengan andaian yang diciptanya sendiri.
            Comel sangatlah tu!
            Ah! Lupakanlah tentang pemuda itu. Buat penat saja selama ini dia melarikan diri daripada Tuah Iskandar. Lebih baik dia berlagak biasa saja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Mungkin pemuda itu pun sudah melupakannya.
            “Hani, kau baliklah dulu. Aku ada perjumpaan kumpulan,” ujar Julia sambil mengemas nota yang disalin semasa kuliah tadi dan dimasukkan ke dalam fail.
            “Aku pun ada perjumpaan kumpulan,” ujar Syasya pula.
            “Kau orang berdua ada perjumpaan kumpulan?”
            “Ya. Minggu depan kan ada presentation kumpulan. Kumpulan kau tak buat discussion ke?”
            “Kumpulan aku berkumpul malam ni,”
            “Oh, kalau macam tu, jumpa petang nantilah,”
            Julia dan Syasya terus menuju ke kumpulan masing-masing di mana perbincangan berkumpulan akan di adakan bagi tugasan yang diberikan oleh Prof. Baha sebentar tadi.
            Lambat-lambat Hani mengemas nota-notanya. Dengan perasaan malas, dia bangun dari duduknya dan keluar dari dewan kuliah yang sederhana besar. Langkahnya menuju ke kafeteria. Niatnya hanya untuk membungkus makanan untuk di bawa ke bilik. Malas untuk makan di kafeteria memandangkan dia hanya berseorangan. Tiada teman untuk bersembang.
            Dalam berjalan berseorangan, mindanya sempat menerawang mengingatkan Halim. Lagi dua minggu saja lagi Halim akan bertukar ke Kuala lumpur. Ini bermaksud, jarak antara mereka tidaklah jauh sangat. Memandangkan Halim sudah bekerja, pasti tiada masalah untuk pemuda itu datang ke Kolej Putra. Tiada masalah dari segi masa, kewangan dan sebagainya.
            Aduh! Bagaimana ni? Dia tak mampu untuk mengelakkan diri. Untuk menerima, dia benar-benar di landa rasa bersalah. Tetapi, tidak adillah jika dia berkelakuan sebegini andai Halim benar-benar ikhlas. Tiada niat lain selain menganggap dirinya sebagai adik.
            Ah! Hani. Kau ni suka berfikiran jauh. Tak perlu difikirkan sangat. Tak payah nak pening-peningkan kepala memikirkan perkara yang belum tentu betul atau tidak.
            Tiba-tiba Hani terpandangkan seseorang. Seseorang yang sejak akhir-akhir ini kerap memerhatikannya. Tiba-tiba Hani menjadi gabra. Terus langkahnya sumbang. Cepat-cepat dia mencari jalan alternatif lain untuk mengelakkan diri daripada Tuah Iskandar. Meskipun berkali-kali menasihati diri sendiri untuk bersikap biasa namun renungan Tuah Iskandar membuatkan dia kecut perut. Mana mungkin dia tidak takut, gangster Kuala Lumpur sedang memerhatikan seorang perempuan comel. Oh!
            Sampai di satu penjuru, Hani bersandar di dinding. Nafasnya turun naik akibat kepenatan melarikan diri daripada Tuah Iskandar. Persis berlari pecut 100 meter walhal hanya berjalan tidak sampai 10 meter. Namun, penangan Tuah Iskandar ternyata berbahaya.
            Hani menjegulkan kepalanya keluar. Ke kiri ke kanan dia menoleh namun bayangan pemuda itu sudah tidak kelihatan. Hani menarik nafas lega. Setelah melihat keadaan selamat, dia keluar dari persembunyiannya. Namun, baru saja dia menapak selangkah, tiba-tiba tangannya ditarik dari belakang. Kuat menyebabkan Hani terdorong ke belakang dan serentak dengan itu, tubuhnya ditolak ke dinding. Hani tersandar pada dinding batu itu.
            Bulat mata Hani memandang pemuda di hadapannya. Menggigil kepala lututnya saat terlihat pemuda itu. Pemuda itu benar-benar berada di hadapannya. Sebelah tangan pemuda itu diletakkan di dinding, menghalang Hani dari berganjak dari situ.
            Ya! Pemuda yang sering merenung tajam dirinya dari jauh kini berada benar-benar di hadapannya yang jarak antara mereka tidak sampai sejengkal.
            Dan kini..pemuda itu merenung ke arahnya seperti selalu cuma kali ini..renungan pemuda itu sangat dekat. Hanya sejengkal sahaja jarak di antara wajah pemuda itu dengan wajahnya. Benar-benar dekat sehinggakan dia dapat merasa bahang hela nafas pemuda itu.
            Renungan pemuda itu terus ke arah matanya. Tepat hinggakan dia merasa tidak selesa. Sangat tidak selesa. Hani ketakutan. Namun, entah kenapa dia tidak cuba untuk melepaskan diri. Ketakutan yang teramat sangat membuatkan dia kaku.
            “Ada sesuatu yang aku nak cakap dengan kau,” pemuda itu bersuara. Garau dan tegas. Memang memenuhi ciri-ciri seorang samseng yang amat digeruni.
            “Erk..cakap dengan saya? Tentang apa?” Hani cuba memberanikan diri untuk bertanya. Dalam hatinya cuba meneka apa yang ingin di perkatakan oleh pemuda itu. Pasti tentang perlanggaran yang lepas dan juga kata-kara sinis yang dihamburkan kepada Tuah Iskandar suatu masa dahulu.
            Apa lagi yang menghubungkan dia dengan pemuda itu selain perlanggaran yang berlaku di awal pertemuan mereka? Ternyata Tuah Iskandar masih mengingati semuanya sedangkan dia amat berharap pemuda itu sudah melupakan.
            Ah! Jika Tuah Iskandar ingin dia memohon maaf, dia akan lakukan asalkan dia tidak berhadapan dengan pemuda itu seperti saat ini.
            “Tentang cinta,”
            Sebaris kata Tuah Iskandar membuatkan Hani terdiam. Tentang cinta? Cinta apa? Siapa yang bercinta? Tentang cinta siapa? Cinta antara siapa dengan siapa? Dan kenapa tentang cinta perlu dibicarakan dengan dirinya?
            “Aku suka kau. Aku nak kau jadi awek aku,”
            Hani terlopong.
            “Aku beri kau masa,” ujar Tuah Iskandar. Matanya tak lekang dari merenung ke anak mata Hani. Hani bagaikan terkena renjatan elektrik apabila mendengar kata-kata Tuah Iskandar, bagaikan mahu pengsan. Antara percaya dan tidak.
            Tuah Iskandar mengangkat tangannya dari dinding lalu berdiri di hadapan Hani. Berpeluk tubuh.
            “Sampai masanya, aku nakkan jawapan dari kau,” ujar Tuah Iskandar lagi lalu terus berlalu meninggalkan Hani.
            Hani masih bersandar di dinding, tidak berganjak. Matanya tidak berkelip-kelip. Masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Sekelip mata bagaikan selaju cahaya, Tuah Iskandar membicarakan tentang cinta. Dan Hani benar-benar tidak faham kenapa mesti dia?
            Adakah kerana Tuah Iskandar ingin membalas dendam dengan memainkan perasaannya? Atau Tuah Iskandar ingin membalas dendam dengan memalukan dirinya nanti?
            Hani bingung.




BAB 6

            Suasana di kelab malam itu hingar bingar. Lagu yang membingitkan telinga menjadi makanan buat pengunjung-pengunjung malam itu. Sebahagian daripada mereka turut menyanyi dan menari di tengah pentas. Baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing hanyut di dalam dunia yang mereka cipta sendiri. Asyik dan melalaikan.
            Di satu sudut, dia duduk berseorangan. Termenung sambil memerhati ragam manusia malam itu. Sesekali ada gadis-gadis seksi yang datang menghampiri. Gadis-gadis yang kelihatan manja dan menggoda mengajak menari dan ada juga yang ingin menemani. Namun, dia menolak dengan baik. Saat itu, dia ingin bersendirian. Tidak mahu diganggu sesiapapun.
            Tuah Iskandar menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembusnya keluar. Satu keluhan dilepaskan. Untuk apa dan kenapa, dia sendiri tidak pasti kerana terlalu banyak sebab yang menyebabkan dia mengeluh.
            Salah satu daripadanya adalah berkaitan kehidupan yang sedang dia lalui. Kehidupan yang sungguh mengecewakan. Tiada senyuman, tiada bahagia. Yang ada hanya kesunyian dan penderitaan. Benar kata Zulkifli, dia tidak perlu merosakkan diri hanya untuk membalas dendam kepada orang tuanya. Dia sepatutnya mencari bahagia sendiri tetapi..di mana hendak dicari semua itu? Kalaulah kebahagian itu ada dijual di kedai, pasti dialah orang pertama yang akan membelinya.
            Dia tidak tahu ke mana arah tuju hidupnya. Untuk apa dia hidup? Apakah matlamat sebuah kehidupan? Ke mana hala tuju dia selepas ini? Apa yang hendak dibuat dengan masa yang beransur-ansur meninggalkannya?
            Semua soalan terus terbiar tanpa jawapan.
            Sekali lagi Tuah Iskandar mengeluh. Keluhan yang berat dilepaskan beserta beban yang berat dipikul.
            “Hai Tuah,” terasa bahunya disentuh seseorang. Tuah Iskandar tidak berpaling kerana dia begitu mengenali suara yang menyapanya itu.
            “Seorang?” tanya Lilia sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Tuah Iskandar. Sengaja dia mendekatkan jarak di antara mereka sehinggakan badannya bergesel dengan lengan sasa Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar tidak menjawab sebaliknya membetulkan kedudukannya sedikit menjauhi Lilia.
            “Kenapa kau tak join yang lain?” tanya Lilia dengan suara yang gedik dan manja.
            Tuah Iskandar diam lagi.
            “Hei, kenapa dengan kau ni? Orang lain datang ke sini untuk enjoy. Make our own world. Bukannya nak duduk termenung dengan muka masam macam ni,” ujar Lilia sambil menarik tangan Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar melirik gadis di sebelahnya. Sedikitpun tidak tersenyum meskipun Lilia begitu murah dengan senyuman.
            Come on Tuah. Don’t be like this. Enjoy your life,” pujuk Lilia sambil mengelus lembut tangan Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar mengeluh.
            “Apa sebenarnya yang kau fikirkan, Tuah? Apa sebenarnya yang kau cari?”
            “Aku cari kebahagiaan. Aku cari kegembiraan,”
            Yes. So, this is the place. Ini tempat yang kau boleh temui semua tu,”
            “Tapi aku tak temui semua tu di sini,”
            “Kau tahu kenapa kau tak temui kegembiraan di sini?”
            Tuah Iskandar menoleh sekali lagi ke arah Lilia. Dia merenung gadis itu meminta jawapan.
            “Sebab kau tak mengambil kesempatan yang ada. Kau dah masuk ke sini tapi kau masih duduk berseorangan. Cubalah kau bergaul dengan orang lain. Tu,di sana geng-geng Kojek sedang bersukaria. Mereka gembira di sini. Pergilah sertai mereka.”
            Tuah Iskandar diam seketika. Berfikir dan cuba mencari kebenaran di atas kata-kata Lilia. Namun, tidak lama kemudian, dia menggeleng.
            No, bukan itu caranya,”
            Yes, inilah caranya. Kau tak nampak mereka semua happy?”
            “Kegembiraan di sini hanya seketika. Aku tak mahu yang itu,” pantas Tuah Iskandar menarik tangannya lalu bangun dari duduknya. Lilia turut bangun. Pantas tangan Tuah Iskandar dipaut.
            “Tuah,”
            Stop Lilia. Aku nak balik,”
            “Kalau macam tu, boleh tolong hantar aku balik?”
            Tuah Iskandar merenung Lilia. Ternyata gadis itu tidak pernah berputus asa untuk mendekati dirinya.
            “Esok aku ada kuliah. Kalau nak tunggu Rissa dan Tini, lambatlah aku balik nanti. Terpaksa ponteng kuliah pula,” alasan yang sengaja dicipta Lilia untuk mendekati Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar mengeluh dan akhirnya membenarkan Lilia membonceng motosikalnya. Dan sekali lagi Lilia tersenyum gembira. Tubuh Tuah Iskandar dipeluk erat dan akhirnya motosikal milik Tuah Iskandar membelah kepekatan malam itu.
                                                                        **********
            Tuah Iskandar memberhentikan motosikalnya di bahu jalan apabila dipinta Lilia. Berhenti saja motosikal tersebut, Lilia terus turun sambil menanggalkan topi keledar yang dipakainya. Dia kemudian berjalan sambil mendepakan tangannya. Menghirup udara malam yang segar membuatkan dia rasa begitu selesa.
            Tuah Iskandar hanya memerhatikan sikap Lilia sambil mengerutkan dahinya.
            “Kenapa suruh aku berhenti di sini?”
            Lilia menoleh ke belakang, menghadap Tuah Iskandar. Dengan senyuman yang manis dia menghampiri pemuda itu.
            “Saja,” ujar Lilia ringkas.
            “Jangan main-main. Sekarang dah lewat. Esok kan ada kuliah,”
            “Ya, aku tahu. Sekejap saja bolehkan?”
            “Kau nak apa sebenarnya?”
            “Saja nak berbual dengan kau. Dah lama tak berduaan dengan kau macam ini, Tuah,”
            “Tak de apa yang nak dibualkan. Cepat naik. Aku hantar kau balik,”
            “Tuah, kenapa kau ni sombong sangat? Aku layan kau dengan baik. Aku cuba buat kau happy,”
            “Aku tak perlukan semua itu,”
“Tapi, kenapa kau tak beri aku peluang langsung untuk buat kau gembira?”
            Tuah Iskandar diam.
            “Tuah, please bagi aku peluang…”
            Stop it, Lilia. Aku dah beritahu kau dari dulu lagi. Friend or nothing,”
            Lilia mengeluh. Sukar benar untuk dia mengubah pendirian Tuah Iskandar. Sudah lama dia memendam perasaan terhadap pemuda itu namun, Tuah Iskandar tidak pernah melayannya. Pernah dia meluahkan isi hatinya tetapi Tuah Iskandar menjawab dengan satu ayat. Kawan atau tiada apa-apa langsung. Kejamnya!
            Jadi, dengan tidak ikhlasnya dia memilih untuk berkawan. Itu lebih elok dari tiada apa-apa langsung. Sekurang-kurangnya, dengan berkawan dia masih boleh mendekati pemuda itu. Dia masih ada peluang untuk mencuri hati Tuah Iskandar.
            “Okay. aku tahu dan aku masih ingat semua tu. Tapi, sebagai kawan, aku nak buat kau gembira. Salahkah?”
            Tuah Iskandar tidak menjawab.
            “Tuah, beri aku satu peluang,”
            “Maaf, aku tak berminat,”
            Lilia merenung pemuda di hadapannya itu. Terasa hampa apabila permintaannya ditolak seratus-peratus tanpa berfikir dahulu.
            Tuah, kawan itu hanya sebagai syarat untuk aku terus mendampingi kau. Tapi, aku tak akan biarkan kau lepas pada orang lain. Aku akan pastikan kau akan jadi milik aku nanti.
            “Cepat naik kalau tak aku tinggalkan kau kat sini,”
            Lilia akhirnya mengalah.
                                                                        **********
            Tuah Iskandar memetik suiz lampu tidur bersebelahan dengan katilnya. Kemudian, dia merebahkan diri di atas katil. Terasa enak sekali berbaring atas tilam yang empuk. Tuah Iskandar menutup mata. Cuba untuk menikmati kedinginan malam itu.
            Dia membuka matanya semula. Dalam gelap yang hanya bercahayakan lampu tidur, dia teringatkan seseorang. Gadis bertudung itu. Satu fakulti dengan Zulkifli. Juga satu kuliah dengan rakannya itu.
            Pada mulanya dia amat marah dengan gadis itu. Walaupun pada hakikatnya dia yang melanggar gadis itu tetapi kata-kata sindiran gadis itu membuatkan dia tidak senang. Tidak pernah sesiapapun yang berani menyindir Tuah Iskandar namun, gadis itu telah melakukannya. Gadis itu berani menyindir Tuah Iskandar. Namun, pada saat itu dia tidak mampu berbicara. Dia merenung gadis itu. Ada sesuatu pada wajah gadis bertudung itu yang membuatkan dia tidak jadi marah.
            Dia mengekori gadis itu. Cuba mencari identiti gadis itu. Siapa sebenarnya gadis itu? Fakulti mana? Namun, pengamatannya jauh berbeza dengan apa yang telah berlaku. Gadis itu kelihatan cuba mengelak daripada tertembung dirinya. Gadis itu kelihatan takut, tidak seperti di awal pertemuan. Kenapa? Adakah dia sudah tahu dengan nama Tuah Iskandar?
            Namun persoalan itu di biarkan saja dan dia terus memerhatikan gadis itu.  
            Tiada banyak yang dia tahu melainkan namanya…Hani
            “Aku suka kau. Aku nak kau jadi awek aku,”
            Kelihatan gadis itu terperanjat mendengar apa yang telah diucapkan. Ya, memang patut gadis tu memberi reaksi sedemikian. Mana tidaknya, mereka tidak pernah bertemu, berkenalan pun tidak. Tiba-tiba saja Tuah Iskandar meluahkan perasaan. Walaupun dengan cara agak kasar dan lari dari landasan yang sebenar, namun dia ikhlas.
Tuah Iskandar jatuh cinta?
            Sukar untuk di percayai. Lelaki seperti Tuah Iskandar yang selama ini bagaikan tidak memerlukan seorang wanita dalam hidupnya akhirnya jatuh cinta pada seorang gadis? Lebih-lebih lagi gadis bertudung?
            Tetapi bagi Tuah Iskandar, dia memang betul-betul menyukai gadis itu. Jangan tanyakan kenapa kerana dia tidak ada jawapannya. Yang dia tahu, tidak perlu ada sebab untuk menyukai seseorang. Tetapi, kenapa gadis itu?
            Selama ini, berderet gadis yang mengejar Tuah Iskandar. Petik jari, pasti ramai yang sudikan diri. Semuanya seksi-seksi, cantik-cantik, putih gebu, manja…namun, gadis bertudung itu juga pilihan Tuah Iskandar. Gadis yang biasa saja gayanya namun comel di mata Tuah Iskandar.
            Ada sesuatu pada gadis itu yang berjaya membuka hati seorang gangster.
            Namun, bagaimana penerimaan gadis itu terhadap perasaannya?
            Tuah Iskandar mengeluh.


BAB 7

            Keadaan sunyi sepi, hanya kedengaran suara Prof. Jamilah yang sedang memberi kuliah. Subjek anatomi, yang membincangkan kajian tentang struktur badan makhluk bernyawa, langsung tidak masuk ke dalam kepalanya. Fikirannya tidak dapat menerima pembelajaran hari itu dan nota pun tidak sempat disalin. Dia menjadi tidak menentu hari itu.
            Semuanya gara-gara Tuah Iskandar. Walaupun sudah dua hari perkara itu berlalu namun dia masih sukar untuk percaya. Benarkah apa yang Tuah Iskandar tuturkan? Tak mungkin pemuda itu menyukai gadis biasa seperti dirinya.
            Selama dua hari ini dia tidak terserempak dengan Tuah Iskandar. Dia benar-benar menarik nafas lega. Kalau boleh dia tidak mahu bersemuka langsung dengan pemuda itu. Bagaimana kalau pemuda itu benar-benar maksudkannya? Bagaimana kalau Tuah Iskandar bertanyakan jawapannya nanti?
            Tidak! Itulah jawapan yang patu di berikan kepada Tuah Iskandar.
            Sedang ramai gadis mengimpikan untuk memiliki cinta Tuah Iskandar…dia pula menolak. Tetapi, pelikkah jika dia menolak pemuda itu?
            Tidak! Tidak pelik kalau dia menolak. Yang pelik adalah kalau dia menerima pemuda itu yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya. Tanpa berkenalan, tanpa mengetahui antara satu dengan lain apatah lagi dengan ketakutan dia kepada gangster dan tiba-tiba hendak bercinta? Itu yang pelik.
            Tetapi, mampukah dia memberikan jawapan kerana setiap kali berhadapan dengan Tuah Iskandar, lututnya akan kaku. Lidahnya kelu. Seluruh tubuhnya bagaikan menggigil. Dia bagaikan patung yang tegak berdiri tanpa sedikitpun berbunyi. Hanya mengiyakan kata-kata Tuah Iskandar.
            Hai, kalaulah Julia dan Syasya tahu akan hal ini, pasti mereka sudah menjerit-jerit bagaikan orang terkena histeria. Tentu Julia dan Syasya akan terlompat-lompat bagaikan orang kurang siuman. Atau lebih dasyat lagi, Julia dan Syasya akan mengadakan jamuan sempena berita baik itu.
Berita baik? Baik sangatlah!
Tetapi, dia tidak mahu menceritakan perkara ini kepada rakan-rakannya kerana bagi dirinya, tiada yang penting berkenaan perkara ini. Dia sendiri tidak tahu akan niat sebenar Tuah Iskandar. Mungkin Tuah Iskandar sengaja mahu mempermainkan dirinya. Mungkin Tuah Iskandar mahu membalas dendam atas perilakunya yang dulu. Mungkin!
            “Woi,”
            Tangannya disiku. Hani terkejut. Segera dia berpaling pada Julia yang duduk di sebelahnya.
            “Tak nak balik?” tanya Julia sambil mengangkat keningnya.
            “Dah habis kuliah ke?” soalan bodoh yang ditanya menampakkan dia tidak fokus pada kuliah sebentar tadi.
            “Kau berangan atau tidur ni?” sindir Julia. Syasya yang duduk di sebelah Julia hanya tersenyum.
            Hani tersengih-sengih.
            “Dahlah. Jom kita pergi makan. Biarlah si Hani ni berangan ke tidur ke, asalkan dia tak kena histeria kat dalam kuliah ni sudah la,”
            Hani tersengih lagi mendengar kata-kata Syasya. Sebelum keluar dari dewan kuliah, sempat Hani meminjam nota Julia. Julia yang faham sangat akan perangai rakannya itu terus memberikan nota kuliah kepada Hani.
                                                                        **********
            “Hani!”
            Hani yang terbongkok-bongkok di belakang Julia terus tersondol Julia yang berjalan di hadapannya.
            “Aduh!” Hani menggosok-gosok kepalanya yang sakit manakala Julia menggosok pinggangnya yang dilanggar Hani. Bagai mahu patah pinggang kerengga Julia apabila terkena kepala Hani.
            “Sakitlah, Hani,” bentak Julia sambil menampar bahu Hani.
            “Yang kau berhenti tu kenapa?”
            “Yang engkau terbongkok-bongkok kat belakang aku ni kenapa?”
            Keadaan sepi seketika. Tiada jawapan daripada Hani mahupun Julia. Hani berdiri tegak namun matanya sempat melirik ke arah bangunan perpustakaan yang terletak tidak jauh dari tempat dia berdiri.
            Dia nampak Tuah Iskandar sebentar tadi sedang berdiri di luar perpustakaan sambil memeluk tubuh dan memerhatikan dirinya. Tiba-tiba lututnya menggigil. Pantas dia menyembunyikan diri di belakang Julia meskipun dia tahu tak mungkin dia dapat berselindung di sebalik tubuh kecil Julia.
            Hani memanjangkan lehernya. Tuah Iskandar sudah tiada di situ. Cepatnya dia hilang. Macam biskut pula. Sekejap ada sekejap tak ada.
            “Hani!”
            Serentak Hani berpaling apabila Julia mula meninggikan suara.
            “Ha?”
            “Boleh aku tanya sikit?”
            “Tanya apa?”
            “Kenapa dengan kau ni ha? Sejak akhir-akhir ni perangai kau pelik sangat. Jalan pun nyorok-nyorok. Kenapa? Ada paparazzi ikut kau ke?”
            “Erk..tak adalah. Siapalah aku yang nak dikejar paparazzi,”
            “Tahupun. Kalau paparazzi kejar engkau aku hairan tapi kalau paparazzi kejar Tuah Iskandar aku tak hairan sebab dia tu kacak, kaya…”
            “Dah..dah..dah..kau ni Julia, kalau bercakap tentang Tuah Iskandar siap buat mimik muka macam orang angau. Menyampah aku,” ujar Syasya.
            “Kau cemburu ya?”
            “Aku cemburu? Sorry. Cemburu-cemburu pun bukannya boleh dapat Tuah Iskandar tu,”
            Maka, berlaku sedikit perdebatan di antara Julia dan Syasya. Dan topik debat kali ini adalah  Tuah Iskandar.
            Hani tiba-tiba rasa sesak nafas.
                                                                        **********
            Topik tentang Tuah Iskandar masih tidak berhenti-henti sehinggakan mereka sudah berada di kafeteria fakulti untuk menikmati makan tengahari. Hani hanya memasang telinga. Macam-macam cerita yang didengar termasuklah perbincangan bagaimana untuk membuatkan Tuah Iskandar jatuh hati kepada perempuan. Bolehkah gangster seperti itu cair dengan seorang gadis?
            Memang sudah tidak betul rakan-rakannya itu. Mereka terlupa agaknya yang mereka tu makwe orang. Kalaulah Zain dan Taufiq tahu, pasti kena tinggal Julia dan Syasya. Padan muka.
            Hani tergelak sendiri. Sudah sedia maklum akan hubungan antara Julia dan Zain serta Syasya dan Taufiq. Zain sudahpun bekerja manakala Taufiq melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Hani tahu walaupun Julia dan Syasya sibuk-sibuk dengan Tuah Iskandar namun dalam hati mereka tetap nama Zain dan Taufiq yang terpahat.
            “Eh Hani, kita orang main-main saje. Bukannya serius. Kau rasa bolehkah kita orang dapat si Tuah Iskandar tu?”
            Itulah jawapan Julia saat Hani menaikkan nama Zain. Tahu takut!
            “Tapi kalau dapat…” Julia sudah berada di alam angan-angannya. Tangannya digenggam sambil matanya dikerdip-kerdip. Benci sungguh!
            “Aku beritahu Zain nanti,” ugut Syasya.
            “Macamlah aku tak boleh beritahu Taufiq,” ugutan dibalas dengan ugutan oleh Julia. Hani cuma tertawa melihat perihal rakan-rakannya itu.
            Tiba-tiba dia teringatkan Fahmi. Kalaulah dia dan Fahmi masih bersama, tidaklah sebeban ini perasaannya. Pasti mereka bertiga bahagia dengan pasangan masing-masing.
            Keadaan sepi seketika. Masing-masing menumpukan perhatian pada makanan yang terhidang di depan mata. Sebentar lagi kuliah petang akan bermula.
            “Kau orang rasa Tuah tu dah ada makwe tak? Tak mungkin dia gay kan?” tiba-tiba Syasya bersuara dan topiknya masih tidak lari berkisar mengenai Tuah Iskandar. Apa yang hebat sangat pemuda itu sehingga namanya tak henti-henti disebut.
            “Entah. Tapi aku ada dengar cerita,”
            Kata-kata Julia menarik minat Hani. Entah kenapa dia begitu berminat dengan cerita mengenai Tuah Iskandar. Adakah kerana pertemuan tempohari?
            “Cerita apa ni?” tanya Syasya cepat. Hani cuma curi dengar. Tidak mahu di anggap gelojoh untuk mengetahui tentang Tuah Iskandar.
            “Aku dengar Tuah tu ada awek kat  luar kolej. Budak kolej lain.”
            “Betulke? Hmm, patutlah dia tak layan budak-budak kolej kita,”
            “Aku dengar lagi, makwe dia tu cantik, putih, seksi pula tu. Budak-budak sosial jugalah. Sesuailah dengan Tuah. Dia kan gangster,”
            Kata-kata Julia membuatkan Hani terdiam. Kemudian dia mula berfikir. Benarkah Tuah Iskandar dah ada makwe? Jika benar, kenapa pemuda itu melamarnya menjadi kekasih tempohari? Sah! Tuah Iskandar ingin mempermainkannya.
            Meskipun dia mahu menolak permintaan Tuah Iskandar, namun hatinya sedikit terguris mendengar cerita Julia tadi. Tuah Iskandar memang sengaja hendak mempermainkannya. Meskipun tiada langsung perasaan terhadap pemuda itu tetapi pemuda itu tidak berhak mempermainkan soal hati dan perasaan.
            Sekali lagi dia teringatkan Fahmi.
            Kenapa semua orang ingin mempermainkan dirinya?
            Jahat sangatkah dia sehingga semua orang ingin mengguris perasaannya?
            Hani teringat semula kata-kata Julia. Makwe Tuah Iskandar seorang yang cantik dan seksi. Memanglah. Bukankah Tuah iskandar itu gangster. Mana ada gangster kawan dengan orang bertudung. Kalau tengok di dalam filem atau drama-drama, gangster pasti dapat makwe yang cantik dan seksi, yang akan membonceng motosikal si gangster itu pergi ke mana-mana. Lepak dengan geng-geng motor sehingga larut malam. Dan kemudian menemani gangster itu pergi berlumba, pergi kelab malam, menari terkinja-kinja sambil berpelukan.
            Mungkin itulah kehidupan Tuah Iskandar. Begitu berbeza dengan kehidupan yang dia lalui. Ternyata dunia mereka berbeza. Jadi, tak padan langsung jika mereka bergelar kekasih.
            Isy, apa yang kau fikirkan ini, Hani? Kenapa perlu fikirkan semua ini? Bukankah kau tak ada perasaan langsung pada Tuah Iskandar? Bukankah kau ingin menolak lamaran dia tempohari? Jadi, tiada persoalan dunia yang berbeza dan tiada persoalan sama ada sesuai atau tidak.
            Hani terdiam mendengar bisikan hatinya.
            Ya! Kenapa dia perlu memikirkan semua itu walhal ia sangat tidak penting untuk dirinya.
                                                                        **********
            Berkali-kali dia menasihati diri sendiri supaya tidak memikirkan sangat tentang Tuah Iskandar yang sudah mempunyai teman istimewa. Tetapi dalam cuba menafikan, hatinya benar-benar terguris. Mungkin, kecewa akibat percintaan yang lepas masih belum sembuh dan kini ada orang yang ingin memperainkan dirinya. Mungkin, dia terasa dirinya begitu murah pada pandangan lelaki-lelaki itu. Lantaran itu, hatinya mudah tersentuh.
            Lelaki semuanya sama. Suka mempermainkan hati perempuan.
            Dia ingat dia tu siapa? Walaupun gangster kat kolej ni. Walaupun glamor tetapi dia tiada hak pun untuk mempermainkan perasaan orang lain. Walaupun dia anak orang kaya yang mempunyai harta berlimpah ruah sekalipun tetapi dia juga tiada hak untuk berbuat sesuka hati. Dia tiada hak langsung!
            Hani mengepal-kepal penumbuknya. Rasanya ingin saja dia menghayunkan penumbuk itu ke arah Tuah Iskandar. Biar pemuda itu insaf dan meminta maaf tetapi…
            Adakah kemungkinan perkara itu berlaku?
            Mungkin tidak!
            Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba tangannya ditarik. Hani terkejut. Ingin dia menjerit tetapi apabila melihat wajah di hadapannya, terus dia menjadi kaku.
            “Kau ingat kau boleh lari dari aku?” sergah Tuah Iskandar. Tangannya sengaja diletakkan di dinding, menghalang Hani daripada melepaskan diri.
            “Awak..awak nak apa?” tergagap-gagap Hani bertanya. Huh, tadi bukan main garang lagi. Siap nak tumbuk-tumbuk Tuah Iskandar. Nah, sekarang hendak bercakap pun dia tidak berani.
            “Kau tanya aku nak apa?” pertanyaan dijawab dengan pertanyaan membuatkan Hani kecut perut. Apatah lagi melihat renungan tajam Tuah Iskandar terus-terus menikam dalam anak matanya.
            Hani tidak tahu hendak berbicara apa. Masakan dia tidak ingat akan lamaran Tuah Iskandar tempohari. Dia masih ingat dan dia tahu Tuah Iskandar sedang menantikan jawapan. Malah dia sudah menyediakan jawapannya tetapi kenapa berat sangat mulut ini untuk menyebutnya?
            “Apa jawapan kau?” pertanyaan Tuah Iskandar membuatkan nafasnya bertambah sesak. Terasa jantungnya berhenti mengepam darah ke seluruh badan menyebabkan tubuhnya terasa lemah tidak bermaya.
            “Saya…erk..saya..” kenapa dia tak mampu bersuara? Jawablah Hani yang kau tak mahu jadi awek dia.
            “Kau dengar sini. Mulai saat ini, kau adalah awek aku,”
            Hani merenung Tuah Iskandar. Matanya bulat mendengar kenyataan yang dibuat oleh Tuah Iskandar.
            “Dan aku tak suka kau buat perkara-perkara yang aku tak suka,” ujar Tuah Iskandar lalu terus berlalu dari situ meninggalkan Hani terkebil-kebil berseorangan.







BAB 8

            “Mulai saat ini, kau adalah awek aku.”
            Masih terngiang-ngiang kata-kata itu di telinganya. Kata-kata dari seseorang yang begitu asing dalam hidupnya. Dari seseorang yang tidak pernah langsung terlintas di fikirannya untuk menjalinkan hubungan yang istimewa. Dari seseorang yang langsung tiada dalam diari hatinya.
            Sukar untuk di percayai tetapi inilah hakikatnya.
            Adakalanya, Hani tidak ingin mempercayai semua yang berlaku. Adakah pemuda kacak seperti Tuah Iskandar akan menyukai dirinya yang serba serbi kekurangan? Tak mungkin!
            Namun, andainya Tuah Iskandar sengaja mencipta lakonan, pasti dia tidak akan memaafkan pemuda itu kerana lakonan Tuah Iskandar membuatkan dia rasa seperti mahu demam.
            “Demam ke?” tanya Hana, kakak Hani yang tiga tahun lebih tua daripadanya.
            “Taklah,” Hani menafikan walhal mukanya jelas pucat seperti orang tidak sihat.
            “Pucat aje akak tengok kau ni. Iya ke tak demam ni?” Hana tidak berpuas hati. Pantas diletakkan tangannya ke dahi adiknya itu.
            Sejuk!
            “Hani tak demam lah kak. Cuma letih sikit,” ujar Hani apabila melihat wajah Hana berkerut seribu. Mungkin merasa suhu badan Hani tidak selaras dengan wajahnya yang pucat.
            Hana memandang ke arah Hani sambil menggeleng kecil.
            “Kenapa balik kampung minggu ni? Tak ada kuliah ke?” tanya Puan Asyikin sambil menatang dulang yang berisi air kopi serta kuih karipap. Lalu diletakkan di atas meja makan. Masa untuk minum petang. Selalunya Puan Asyikin akan menghidang kuih muih dari air tangannya sendiri. Wanita itu memang pandai membuat kuih sehinggakan ada saja yang menempah kuih muih jika ada kenduri kahwin atau apa-apa majlis.
            “Ayah mana mak?” tanya Hani. Malas untuk menjawab soalan ibunya itu. Bukan tidak suka tetapi menjawab soalan itu mengingatkan dia kepada Tuah Iskandar. Kerana pemuda itu, dia berada di kampung hujung minggu itu.
            “Ayah kamu tu ada kat kebun belakang,” jawab Puan Asyikin sambil menuang air kopi ke dalam cawan. Aroma air kopi yang masih berasap benar-benar membangkitkan selera.
            Segera dicapai secawan kopi lalu didekatkan padanya.
            “Soalan mak kamu tak jawab lagi,” kata Puan Asyikin. Tidak mahu soalannya tergantung begitu sahaja tanpa jawapan.
            “Soalan apa?” Hani pura-pura tidak faham. Aduh! Kenapalah ibu bertanyakan soalan begitu. Tak suka kah anaknya ini pulang ke kampung?
            “Tak ada kuliah minggu ni?” ulang Puan Asyikin.
            “Hujung minggu mana ada kuliah, mak”
            “Biasa hari sabtu mak telefon kamu selalu ada kuliah,”
            “Sabtu ni tak ada kuliah,”
            Puan Asyikin diam mendengar jawapan Hani. Mungkin berpuas hati dengan jawapan anaknya itu.
            Keadaan sepi seketika. Masing-masing menghirup air kopi yang masih panas dengan hati-hati. Kepekatan kopi membuatkan Hani terbuai seketika. Sungguh sedap kopi buatan emak. Pekat dan sedap.
            Encik Karim tiba-tiba muncul di muka pintu. Sambil mengelap peluh di dahi, Encik Karim duduk di muka pintu, melepaskan penat berkebun sebentar tadi. Encik Karim memang suka berkebun. Walaupun tanah di belakang rumah tidaklah besar sangat tetapi Encik Karim masih boleh bercucuk tanam pelbagai sayurr-sayuran.
            “Makan, ayah,” pelawa Hani.
            “Makanlah dulu. Ayah nak bersihkan badan sekejap,”
            Encik Karim menghilangkan diri ke dalam bilik. Beberapa minit kemudian, Encik Karim muncul di antara mereka bertiga. Sambil duduk di sebelah emak, ayah mencapai kuih karipap lalu mengunyahnya.
            “Kuliah macam mana, Hani?” tu tanya Encik Karim sambil mencapai secawan air kopi yang baru dituang Puan Asyikin.
            “Macam biasalah ayah. Okay saja,”
            “Boleh bawak tak? Belajar doktor ni bukannya senang, Hani,”
            So far okay ayah. Insya’Allah Hani akan cuba yang terbaik,”
            “Belajar rajin-rajin. Dah lulus nanti boleh cari kerja yang baik. Kita bukan orang senang,”
            Hani diam saja. Selalu sangat dia mendengar ayahnya berkata begitu. Namun dia tahu dan akui, mereka bukan dari keluarga yang senang tetapi bukanlah susah sangat. Cukup makan dan pakai. Tetapi kalau hendak bermewah-mewah, mungkin tidak mampu.
            “Hei Hani. Kat sana tak ada pakwe-pakwe yang hensem tak?” Hana menyiku Hani sambil mengenyitkan mata dan tersenyum-senyum penuh makna.
            “Isy, ke situ pula kamu ni Hana. Hani ke sana untuk belajar bukan untuk cari pakwe,” sangkal Puan Asyikin. Hani memandang Hana yang sudah memuncungkan mulutkan. Hani tersenyum melihat telatah kakaknya yang baru putus cinta beberapa bulan lepas. Walaupun Hana sudah berpisah dengan kekasihnya Munir namun Hana tetap dengan sikapnya yang periang. Jika orang yang tidak tahu pasti mereka tidak boleh meneka yang Hana baru putus cinta. Berbeza benar dengan dirinya yang lembik apabila putus dengan Fahmi dulu.
            “Alah, apa salahnya sambil menyelam minum air,”
            “Kalau air tu sedap tak mengapa, kalau air tu pahit..tak ke mana kamu menyelam,”
            “Mak ni…”
            Hani tersenyum mendengar perbualan dua anak beranak itu. Hana memang suka bertelagah dengan Puan Asyikin berbanding dirinya yang hanya menurut saja kata emak.
            Dalam pada itu, Hani teringatkan seseorang. Pakwe yang kacak? Ya, dia sudah jumpa dan pakwe kacak itu ingin menjadikan dia kekasih. Untungnya! Tetapi, ini bukan cerita dongeng Cinderella. Seorang gadis biasa yang dicintai seorang putera raja. Bukan juga cerita-cerita di televisyen, heronya seorang ahli koperat, pegawai besar..Ini kisah hidupnya, di mana Tuah Iskandar adalah seorang gangster.
            Aduh!
                                                                        **********
            Memandang langit yang membiru membuatkan hatinya sedikit tenang. Memandang laut yang terbentang luas, hatinya rasa tenteram. Namun bayangan itu masih tidak mampu diusir dari mindanya. Melekat saja ke mana saja dia pergi.
            “Mulai saat ini, kau adalah awek aku.”
            Adakah benar-benar Tuah Iskandar memaksudkannya? Waraskah Tuah Iskandar ketika mengungkapkannya? Jika begitu, apakah status dirinya yang sebenar?
            Mulai saat ini..maksudnya bermula sekarang, saat dia berdepan dengan Tuah Iskandar tempohari. Kau adalah awek aku..maksudnya dia adalah kekasih kepada Tuah Iskandar. Jadi, ayat itu bermaksud..mulai saat dia berdepan dengan Tuah Iskandar kelmarin, dia sudahpun menjadi kekasih pemuda itu?
            Maksudnya sekarang ini aku adalah kekasih Tuah Iskandar?
            Maksudnya sekarang ini, aku tidak keseorangan?
            Maksudnya sekarang ini, aku dah ada pakwe?
            Tidak! Tidak!
            Hani menggeleng beberapa kali. Menafikan segala tafsiran yang di buat.
            “Hai,”
            Suara yang menyapanya membuatkan dia tersentak. Segera dia berpaling kepada tuan empunya suara. Spontan senyuman terukir saat terlihat Halim yang sedang berdiri di sebelahnya.
            “Boleh abang duduk?”
            “Erk  duduklah,”
            Pantas Halim melabuhkan punggungnya di sebelah Hani.
            “Hani okay?”
            “Kenapa abang tanya macam tu? Nampak Hani macam tak okay ke?”
            “Dari jauh tadi abang tengok Hani macam bermasalah aje. Siap mengeleng-geleng kepala. Ada apa-apa yang boleh abang bantu?”
            Alamak! Rupa-rupanya Halim sudah memerhatikan dirinya dari jauh. Malu betul!
            “Erk..tak ada apa-apalah abang. Hani cuma menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan ni. Cantik betul,” dalih Hani.
            “Ya, memang cantik dan kita harus bersyukur kerana dapat menikmatinya,”
            Hani tersenyum. Kemudian, pandangannya diloloskan ke hadapan. Angin yang bertiup nyaman menyapa lembut wajahnya. Begitu mengasyikkan. Seketika dia terbuai dengan hembusan angin yang begitu menyenangkan.
            “Bila abang akan bertukar ke KL?” tanya Hani menghidupkan suasana. Rimas juga apabila masing-masing berdiam diri.
            “Lagi dua minggu,” jawab Halim pendek.
            “Oh, baguslah macam tu. Nanti nak balik kampung, boleh Hani tumpang abang. Tak payah bersesak-sesak beli tiket bas,”
            Aduh! Apa yang kau cakapkan ni, Hani? Sudahlah kau tidak selesa apabila bertemu Halim inikan pula hendak menumpang balik? Itulah, terlajak kata memang dah tak boleh diundur!
            “Boleh. Tapi kena bayar tambang juga,”
            Hani melirik ke arah Halim dengan muncung yang sedepa. Halim tertawa.
            “Abang main-main saja,”
            Serentak itu Hani tertawa. Entah ikhlas atau tidak tawanya dia sendiri tak pasti. Mungkin senang dengan gurauan Halim atau mungkin sekadar untuk mengambil hati saja.
            Kedua insan itu terus saja berbual-bual sambil menikmati suasana nyaman di pantai Telok Kemang itu.
                                                                        **********
            “Kau pergi mana?” tanya Hana yang sedang duduk di serambi rumah sambil tangannya memegang majalah Mingguan Wanita.
            “Dari pantai,” jawab Hani sambil melunjurkan kakinya di sebelah Hana.
            “Jumpa Halim?” tanya Hana sambil mengunyah kerepek pisang yang dibuat oleh Puan Asyikin.
            Hani melirik ke arah Hana. Mana Hana tahu dia bertemu dengan Halim?
            “Halim datang rumah tadi. Lepas tu dia tanya mana kau,” terang Hana seolah-olah mengerti apa yang bermain di fikiran adiknya itu.
            “Oh,” Hani terangguk-angguk.
            “Apa yang oh?”
            “Ha?”
            “Kenapa kau terangguk-angguk bagai?”
            “Tak adalah. Patutlah Abang Halim tahu Hani kat pantai. Rupanya dia singgah rumah dulu,”
            Hana dan Hani sama-sama tersenyum. Kemudian, Hana meneruskan pembacaannya. Menyelak helaian demi helaian. Cepat saja diselaknya. Membaca atau sekadar melihat gambar saja?
            “Hani,”
            Panggilan Hana membuatkan Hani menoleh.
            “Apa?”
            “Kau dengan Halim….”
            Hani faham apa yang ingin di perkatakan Hana walaupun Hana tak meneruskan kata-katanya. Dia faham benar.
            “Dia dah macam abang kandung sendiri,” jawab Hani jujur.
            “Betul ke?”
            “Betullah. Kenapa?”
            “Kau tak ada hati kat Halim tu ke? Diakan baik. Rupa pun boleh tahan,”
            “Mungkin sebab Hani dah anggap dia macam abang kandung sendiri jadi…nak suka lebih dari itu agak susah,”
            Hana tersenyum-senyum menyebabkan Hani pelik dengan perangai kakaknya yang seorang ini.
            “Kenapa?” soal Hani. Dahinya berkerut-kerut melihat sikap Hana.
            “Kalau kau tak suka, aku boleh masuk line,”
            Hani terlopong mendengar pengakuan berani Hana. Tak sangka Hana menyimpan perasaan pada Halim. Wajah Hana ditenung. Hana kembali memandang wajahnya sambil mengangkat-angkat keningnya.
            Ah! Hana memang begitu. Ceria sentiasa walaupun Hana sedia maklum yang Halim pernah menyimpan perasaan pada Hani.













BAB 9

            Deringan telefon bimbit menjerit-jerit minta diangkat. Namun, Tuah Iskandar hanya memandang dengan pandangan sepi. Kemudian, deringan itu berhenti. Tuah Iskandar kembali mengalihkan pandangan ke arah skrin televisyen yang besar yag terdapat di ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu.
            Keadaan rumah besar itu sunyi sepi. Hanya suara dari televisyen sahaja yang meriuhkan suasana. Tuah Iskandar mengeluh seketika. Kemudian, dia memicit alat kawalan televisyen, menukar dari satu rancangan ke rancangan yang lain. Tiada rancangan yang menarik minatnya. Semuanya membosankan. Dan akhirnya dia menekan butang off.
            Suasana terus sepi…
            Tuah Iskandar membaringkan tubuhnya di atas sofa. Menarik nafas dalam-dalam.  Bayangan gadis itu muncul di fikirannya. Pada penilaiannya, paras rupa gadis itu biasa-biasa saje. Mungkin lebih kepada comel berbanding cantik. Mungkin kerana tubuhnya yang genit menyebabkan gadis itu kelihatan lebih muda dari usia sebenar.
            Namun, ini bukan soal rupa. Dia tidak pernah menilai seseorang hanya berdasarkan rupa. Jadi, sebab apa dia memilih gadis itu jika bukan berdasarkan rupa? Kerana budi pekertinya? Tidak! Bukan kerana pekertinya kerana dia tidak pernah mengenali gadis itu. Meskipun dia yakin gadis itu dalah orang baik-baik tetapi dia tidak tahu sikap sebenar gadis itu.
            Jadi, apa sebab dia memilih gadis itu menjadi kekasihnya?
            Tiada sebab
            Dia hanya tahu dia sukakan gadis itu.
            Dan kerana suka, dia ingin menjadikan gadis itu kekasihnya.
            Dia tidak tahu bagaimana cara untuk melamar gadis itu menjadi kekasihnya. Dia bukan lelaki yang romantik. Dia bukan lelaki yang pandai menyusun ayat-ayat manis untuk gadis yang diminati. Dia tidak tahu semua itu. Apa yang dia tahu, dia sukakan gadis itu. Apa cara dan bagaimana, semua itu tak penting. Yang penting, dia sudah meluahkan perasaannya.
            Kini..Hani adalah kekasihnya. Suka atau tidak, gadis itu kini adalah kekasihnya. Sengaja dia membuat keputusan sendiri tanpa mendengar jawapan gadis itu kerana dia tidak mahu kemahuannya ditolak. Dia tidak mahu Hani menolak cintanya.
            Jika di fikirkan apa yang telah dia lakukan…memang gila dan tak masuk akal. Tanpa sebarang kata-kata, dia sudah membuat keputusan yang Hani adalah kekasihnya. Biarlah..biarlah apa orang akan kata dengan caranya yang penting, dia ikhlas. Dia ikhlas mencintai gadis itu.
            Kelakar sungguh! Tuah Iskandar jatuh cinta? Bagaikan tak dapat di percayai. Kalau Zulkifli tahu tentang hal ini, pasti pecah perut rakannya itu ketawa. Tuah Iskandar di lamun cinta? Dengan budak satu fakulti dengan Zulkifli? Sungguh tak masuk akal!
            Tapi itulah kenyataannya. Tinggal setahun lagi dia di kolej, hatinya terusik untuk mengenali seorang gadis. Buat kali pertamanya dia bersungguh-sungguh tentang soal hati dan perasaan. Buat kali pertamanya hatinya berirama apabila melihat seorang gadis. Buat kali pertamanya dia jatuh cinta!
            Namun, adakah gadis itu mengakui yang mereka kini adalah pasangan kekasih?
            Deringan telefon membuatkan dia tersentak. Secara spontan dia menjawab panggilan itu. Namun, suara yang kedengaran di hujung talian membuatkan dia mengeluh. Kesal juga kerana menjawab panggilan tersebut. Jika dia tahu sang pemanggil ini yang membuat panggilan, pasti dia akan membiarkan saja deringan telefon itu berbunyi dan terus berbunyi.
            “Tuah, kau dekat mana ni?” terdengar rengekan manja Lilia di hujung talian.
            “Kenapa?”
            “Dari tadi aku call, engkau tak angkat pun,”
            “Kau nak apa?”
            “Tuah, boleh tak kau berlembut sikit bila bercakap dengan aku? Ini tak, suara macam orang nak marah saje sepanjang masa,”
            “Itu cara aku. Kalau kau tak suka, kau tak payah call aku,”
            Terdengar degusan kasar di hujung talian.
            So, apa kau nak?” Tuah Iskandar sudah malas untuk berbual dengan Lilia. Terasa ingin di matikan saja talian namun dia masih ada perasaan kasihan. Masih ada belas ihsan.
            Are you free tonight?”
            “Tak. Aku busy?”
            “Kau ada apa?”
            “Kau tak payah nak tahu apa aku buat. Just do your own business,”
            “Tuah,”
            “Lilia, kalau tak ada perkara penting, aku off dulu,”
            Sekali lagi Lilia mendegus kasar.
            Belum sempat Lilia menjawab, Tuah Iskandar segera memutuskan talian. Sudah bosan dengan sikap Lilia yang seperti tidak faham bahasa. Kemudian, dia meletakkan telefon bimbitnya di atas meja dan dia kembali memikirkan gadis bertudung itu.
            Baru saja dia hendak bermonolog dengan diri sendiri, telefon bimbitnya berdering lagi. Dia menjengah nama yang tertera. Memilih nama yang perlu dijawab dan nama yang perlu diabaikan panggilannya. Namun, panggilan kali ini bukan dari si pengacau. Lantas, dia menjawab.
            “Pagi ini,” suara Kojek terus menuju ke gegendang telinganya. Tanpa salam, tanpa bertanya khabar, Kojek terus kepada tujuannya.
            “Pukul berapa?”
            “Satu pagi,”
            “Di mana?”
            “Tempat biasa,”
            “Okay,”
            “Tuah,”
            “Hmm..”
            “Kali ini aku nak kau menang sebab kali ini habuannya sangat besar,”
            Tuah Iskandar diam.
            “Aku tahu kau tak akan menghampakan aku,” ujar Kojek separuh berbisik dan kemudian di ikuti dengan tawa yang mengilai sebelum memutuskan talian.
            Tuah Iskandar memandang jam di tangannya. Baru jam sembilan malam. Masih banyak masa lagi. Lantas dia terus berbaring di sofa sambil melelapkan mata.
                                                                        **********
            “Siapa perempuan tu?”
            “Perempuan mana ni?”
            “Hei, I ni belum buta lagi tahu tak? You jangan ingat I tak nampak you dekat hotel tadi,”
            “Apa yang you merepek ni?”
            “Oh, bukan main mesra lagi. Siap berpegang tangan, peluk-peluk pinggang. You ingat I tak nampak?”
            “Oh, jadi you mengintip I lah? You dah tak ada kerja lain?”
            “Jadi, betullah perempuan gatal tu perempuan simpanan you? Dasar lelaki tak sedar diri. Dah tua masih ada hati nakkan perempuan muda. Hei, orang tua. Sedarlah sikit diri you tu,”
            “You jangan nak mengata I sebelum you cermin diri you sendri,”
            “Apa yang you cakapkan ni?”
            “Telinga I ni masih belum pekak. You ingat I tak tahu you ada anak ikan? Budak mentah entah dari kolej mana. Berapa you bayar dia sebulan ha?”
            “You jangan nak menutup salah you dengan cari salah I pulak,”
            “Memang itu kenyataannya kan?”
            “You lelaki tua gatal tak sedar diri,”
            “You tu perempuan murahan!”
            Shut up!
            Pertengkaran yang berlaku di antara sepasang suami isteri terus terhenti apabila terdengar jeritan anak tunggal mereka. Serentak mereka berdua berpaling.
            Tuah Iskandar mengambil jaket yang tersidai di atas sofa dan mencapai kunci motornya. Tanpa berpaling, tanpa sebarang kata, dia melangkah keluar dari rumah itu. Beberapa saat selepas itu kedengaran ngauman enjin motor berkuasa tinggi terus membelah kepekatan pada malam itu.
            Hati Tuah Iskandar membara.
                                                                        **********
            Kojek menepuk-nepuk tangannya sambil melangkah menghampiri Tuah Iskandar. Saat berdepan dengan pemuda itu, dia menepuk bahu Tuah Iskandar dengan senyuman yang terukir di bibirnya.
            “Syabas Tuah! Syabas,”
            Tuah Iskandar diam sahaja.
            “Aku suka kau. Kau dah buat aku untung besar,” Kojek tertawa puas.
            “Aku tak akan lupakan habuan untuk kau. So, enjoy your night,” ujar Kojek sambil menghulurkan satu sampul yang berisi wang hadiah kemenangan malam itu beserta dengan seorang gadis yang berdiri di sebelahnya dengan pakaian ketat, sendat dan seksi.
            “I ikut you balik ya sayang,” gadis seksi itu memegang lengan Tuah Iskandar sambil menggesel-geselkan badannya ke arah Tuah Iskandar.
            “Tak payah. Aku tak nak kau. Kau baliklah rumah kau,” Tuah Iskandar menolak. Dia mempunyai pendirian sendiri. Dia bertanding bukan untuk wang apatah lagi perempuan. Dia bertanding hanya untuk memuaskan hatinya! Hanya untuk membebaskan diri daripada masalah. Itu saja!
            “Tapi, I kan milik you. Biar I buat you happy malam ni,”
            “Aku kata aku tak mahu kau, faham!”
            “Tapi..”
            Belum sempat Tuah Iskandar membalas kembali kata-kata gadis seksi itu, tiba-tiba satu suara menerpa ke arah mereka beserta satu tolakan keras ke atas gadis seksi itu menyebabkan gadis itu terjatuh.
            “Hei perempuan. Mamat ni kata tak nak, tak naklah. Kau tak faham bahasa ke?”
            Gadis seksi itu bangun dan terus melangkah dengan bebelan yang entah apa-apa.
            Tuah Iskandar memandang insan di hadapannya itu.
            So, inilah yang di katakan busy sangat tu?” perli Lilia dengan satu renungan tajam ke arah Tuah Iskandar.
            “Ya, kenapa?” jawab Tuah Iskandar bersahaja.
            “Tuah, kenapa kau selalu mengelak dari jumpa aku?”
            “Aku tak mengelak.”
            So, kenapa setiap kali aku ajak kau keluar, ada saja alasan yang kau bagi. Tapi, bila Kojek suruh berlumba, kau ada saje masa. Why?”
            “Sebab aku rasa tak ada apa yang penting untuk keluar dengan kau,”
            “Tuah..kita kawan kan?”
            “Ya kita kawan,”
            So?”
            “Sebagai kawan, kau tak ada hak nak control apa aku buat. Faham!”
            Tuah Iskandar segera memakai topi keledarnya dan terus menekan minyak motosikalnya. Hanya dengan kiraan dua saat, Lilia ditinggalkan dalam keadaan yang terpinga-pinga.
            ‘Tak guna kau, Tuah!’ Lilia mengepal penumbuknya.
                                                                       


BAB 10

            Hani menutup buku Mikrobiologi Asas. Nota-nota yang telah dibuat semasa perbincangan berkumpulan tadi disimpan kemas di dalam fail. Malam ini dia ada tugasan. Isi-isi perbincangan di dalam kumpulan yang seramai lapan orang itu perlu dikemaskini kan untuk perbentangan pada minggu depan.
            “Huh, banyaknya kerja.”
            Sempat Hani mengeluh. Itu baru subjek Mikrobiologi, belum masuk kerja-kerja subjek-subjek lain. Bertimbun kerja-kerja yang masih belum disiapkan. Nampaknya, malam ini dia tidak boleh keluar ke mana-mana melainkan duduk di meja sambil menyiapkan semua tugasan yang diberi.
            Nampaknya, bukan mudah untuk menjadi seorang doktor.
            “Hani, kau tunggu siapa?” suara Iqbal, rakan sekumpulannya menegurnya.
            “Eh, tak tunggu sesiapa. Aku nak baliklah ni,” ujar Hani sambil mengangkat fail dan buku-bukunya.
            “Terus balik?” tanya Iqbal lagi.
            “Aku singgah cafe. Julia dan Syasya ada tunggu kat sana,”
            “Kalau macam tu, jomlah jalan sekali. Aku pun nak pergi cafe ni. Perut dah lapar,”
            “Oh, baguslah macam tu. Adalah juga bodygourd untuk aku,” usik Hani sambil tertawa kecil.
            Iqbal yang terkenal dengan ramahnya turut tertawa dan kemudian mereka berjalan beriringan menuju ke kafeteria. Sambil berjalan, mereka  berbual. Masih lagi berkisarkan tugasan-tugasan yang diberi oleh pensyarah. Sesekali di selang seli dengan gelak tawa. Iqbal memang pandai membuat lawak.
            “Berborak dengan kau ni rasa macam sekejap saje. Tak sedar dah sampai café,” ujar Hani apabila kaki mereka sudah melangkah ke dalam kafeteria yang agak lengang petang itu.
            “Iyalah. Tak sedar dah sampai. Okaylah Hani, aku nak tapau ni. Tu, kawan-kawan kau dah tunggu tu,”
            Hani mengerling seketika ke arah Julia dan Syasya yang sedang menunggu.
            “Okay,” Hani membalas senyuman Iqbal sebelum pemuda itu menuju ke kaunter makanan.
                                                                        **********
            Aduh, penatnya. Kalau aku tahu pad dah habis kat koperasi, tak payahlah aku susah-susah mendaki bukit untuk pergi ke koperasi. Koperasi ni pun satu, dah tahu benda tu begitu penting bagi seorang perempuan, kenapalah biarkan stok sampai habis. Tak guna betul. Terpaksalah aku pinjam benda tu kat Julia atau Syasya. Mintak-mintaklah dia orang ada stok banyak. Kalau tak, tak tahu mana aku nak cari benda tu.
            Hani mengomel-ngomel sendirian. Penat mendaki bukit ke koperasi seakan tidak berbaloi apabila tuala wanita yang hendak dibelinya tiada stok. Hendak marah pun tak guna. Senyap adalah jalan yang terbaik di samping mencari jalan penyelesaian.
             Hani menarik nafas lega sebaik sahaja melihat Julia dan Syasya berada di atas katilnya. Serta merta dia duduk berhadapan dengan rakan-rakannya itu dengan muka kasihan, memohon simpati.
            “Kau orang, aku nak mintak tolong,”
            “Tolong apa?”
            “Aku nak pinjam pad. Kat koperasi, boleh habis pulak. Tak guna betul. Dah tau stok tu laku keras, kenapa tak beli banyak-banyak,” Hani mula membebel menunjukkan  ketidak puas hatinya sejak tadi.
            “Hani, aku tak kisah kau nak pinjam berapa. Kalau kau nak sepuluh pun aku boleh bagi,” ujar Julia.
            “Betul ke? Wah, terima kasih Ju,”
            “Tapi..”
            “Tapi apa?”
            “Aku dah tolong kau, kau kena tolong aku pula,”
            “Tolong apa?”
            Aduh! Ini yang susah. Ada ke memberi pertolongan dengan mengharapkan balasan. Tak ikhlas betullah si Julia ni.
            “Tolong jawab apa makna semua ini?”
            Serentak Julia dan Syasya bangun. Mata Hani tertumpu pada satu objek di atas katilnya. Dahinya berkerut.
            “Bunga?” tanya Hani hairan.
            “Ya, itu bunga. Takkan kau tak kenal bunga?”
            “Siapa punya bunga?”
            “Kalau dah kat dalam bilik kau, atas katil kau lagi, dah tentulah kau yang punya,”
            “Macam mana bunga tu boleh ada kat katil aku?”
            “Ha, itulah yang aku nak tahu. Kenapa bunga ini ada kat katil kau?”
            Hani terdiam. Matanya menoleh ke arah Julia dan Syasya silih berganti. Dan kemudian, tertumpu kembali pada tiga kuntum bunga ros merah yang dibalut kemas dengan plastik bercorak. Cantik!
            “Hani, baik kau cakap dengan kita orang, siapa bagi bunga ni kat kau?” tanya Julia yang sudah duduk di sebelahnya dengan nada merayu. Dia betul-betul hendak tahu siapa si pengirim bunga itu. Dari tadi Julia dan Syasya berteka teki tentang si pengirim bunga itu sambil menunggu kepulangan Hani.
            “Hani, kau tak beritahu kita orang pun kau dah ada pakwe,” ujar Syasya pula sambil tangannya memegang lengan Hani. Ada nada rajuk pada suara Syasya.
            “Hani, beritahulah. Siapa boyfriend kau,” rengek kedua-dua sahabatnya itu.
            “Sekejap..sekejap..,” Hani cuba mententeramkan rakan-rakannya yang menggesa dia memberitahu siapa pengirim bunga itu. Apa yang hendak dia beritahu sedangkan dia sendiri tidak tahu siapa pengirimnya.
            “Aku pun tak tahu siapa yang bagi,” ujar Hani jujur.
            “Takkan kau tak tahu, Hani?”
            “Betul, aku tak tahu,”
            “Kalau macam tu, bunga ni mesti dari secret admirer kau. Orang yang meminati kau dalam diam,”
            “Wah bestnya ada secret admirer,”
            Aduh! Rimas pula Hani dengan perangai kebudak-budakkan rakan-rakannya itu. Dalam sibuk memikirkan pengirim bunga itu, Hani terpandangkan sekeping kad kecil yang terselit di celah-celah bunga itu. Pantas dia mengambilnya lalu membukanya.
            Hani…Aku…
            Tiada sebarang ucapan. Tiada sebaris kata-kata. Hanya tertera namanya di bahagian atas kad dan ‘Aku’ di bahagian bawah kad. Memang bunga itu untuknya dan si pengirimnya adalah ‘Aku’.
            “Aku nak kau jadi awek aku.”
            Aku? Tiba-tiba Hani rasa sesak nafas.
            Mungkinkah dia?
                                                                        **********
            “Okay Hani. Jumpa esok kat kuliah,” ujar Iqbal sambil melambai-lambaikan tangannya.
            Hani tersenyum sambil turut membalas lambaian pemuda itu sebelum mereka berpisah menuju ke asrama masing-masing.
            Dalam melangkah, Hani sempat melirik jam di tangannya. Sudah pukul sebelas malam. Agak lewat dari biasa perbincangan berkumpulan mereka malam itu. Maklumlah, malam itu merupakan perbincangan terakhir bagi topik yang diberi kerana esok mereka akan membuat perbentangan di dalam kuliah. Jadi, segala kekusutan dan persoalan perlu mereka bincang bersama kerana selain perbentangan, mereka perlu menjawab soalan-soalan daripada pelajar-pelajar lain mahu pun pensyarah sendiri. Dan yang lebih penting, markah hasil kerja mereka turut diambil peratus dalam markah akhir tahun nanti.
            Baru saja mindanya hendak meneroka pada kemungkinan-kemungkinan soalan yang bakal diutarakan pada keesokkan harinya, tiba-tiba jalannya dihalang. Tersentak Hani melihat seorang lelaki berdiri tegak di hadapannya. Kerana bimbang entah siapa yang ingin membuat jahat, dia ingin melangkah melarikan diri dari sebarang bahaya namun, apabila melihat wajah pemuda itu, langkahnya tidak menjadi. Sebaliknya, dia berhadapan dengan pemuda itu. Entah kenapa ketakutan yang kerap bersarang dahulu dalam dirinya setiap kali bertemu pemuda itu sudah tidak sehebat dulu. Meskipun masih ada lagi perasaan takut dan gerun, namun dia sudah boleh bersemuka dengan lelaki itu. Dia sudah boleh bertentang mata dengan pemuda itu. Satu perubahan yang baik!
            “Kenapa?” Hani memberanikan diri untuk bertanya. Kemunculan Tuah Iskandar yang tiba-tiba tidak sedikit pun menghairankan Hani kerana pemuda itu memang begitu. Muncul di mana-mana saja ikut suka hatinya. Namun, sebab kemunculan pemuda itu kali ini yang menghairankan. Kenapa? Untuk apa bertemu dengannya pada malam-malam buta ni?
            “Aku dah cakap aku tak suka kau buat apa yang aku tak suka,” keras suara Tuah Iskandar memberikan peringatan.
            “Apa yang saya dah buat?”
            “Aku tak suka kau rapat dengan lelaki lain,”
            Hani mengerutkan dahinya.
            “Mana ada saya rapat dengan lelaki?”
            Dalam menjawab kata-kata Tuah Iskandar, fikiran Hani sempat memikirkan maksud kata-kata pemuda itu. Siapa lelaki yang dia maksudkan? Tiba-tiba Hani teringatkan Iqbal. Pasti orang yang Tuah Iskandar maksudkan adalah Iqbal kerana dia dan Iqbal pernah terserempak dengan Tuah Iskandar tempohari.
            “Maksud awak, Iqbal?”
            Diam.
            “Kalau Iqbal yang awak maksudkan, nampaknya awak silap. Iqbal tu kawan saya. Satu kumpulan dengan saya untuk perbentangan projek. Itu saja,”
            “Aku tak nak dengar apa-apa alasan,”
            “Tapi..”
            “Kau kena ingat. Kau awek aku!”
            Hani tidak mampu berkata apa-apa. Hanya matanya mengekori langkah Tuah Iskandar sehingga hilang dari pandangan. Buat seketika, dia hanya berdiri tegak di situ. Memikirkan apa yang sedang berlaku.
            Dari pandangan mata, nampaknya Tuah Iskandar benar-benar mengakui status dia sebagai kekasih pemuda itu. Tuah Iskandar bersungguh dalam hubungan mereka. Kelihatan Tuah Iskandar tidak main-main dalam hal hati dan perasaan kerana wajah pemuda itu tadi nampak begitu tegang. Tidak suka dia rapat dengan lelaki lain. Tuah Iskandar benar-benar memaksudkannya.
            Tetapi…bagaimana pula dengan dirinya sendiri?
            Hani cuba mengimbas kembali apa yang terjadi beberapa minit sebelum ini. Kenapa dia bersungguh-sungguh mempertahankan dirinya sendiri? Kenapa dia beriya-iya meyakinkan Tuah Iskandar bahawa antara dia dengan Iqbal tiada sebarang hubungan istimewa?
            Adakah dia juga turut mengiyakan hubungan mereka?
            Tidak! Dia tidak pernah menganggap Tuah Iskandar adalah kekasihnya. Dia tidak pernah memberikan jawapan. Hanya pemuda itu yang membuat keputusan sendiri.
            Lantas, kenapa dia bersungguh mengharapkan kepercayaan Tuah Iskandar?  Adakah kerana dia takut dengan lelaki itu? Atau kerana dia mahu menegakkan kebenaran yang sememangnya dia dan Iqbal hanya kawan biasa? Atau dia sudah bersedia menganggap Tuah Iskandar sebagai kekasihnya?
            Ah! Semua ini karut. Tuah Iskandar bukan sesiapa dalam diari hidupnya. Oleh kerana itu, Tuah Iskandar tidak berhak langsung menghalang dia dari berkawan dengan sesiapa apatah lagi untuk     mengatur hidupnya.




Untuk baca sambungan boleh dapatkan Novel ini di kedai buku berdekatan atau, beli secara online di website kami Idea Kreatif Publication.

There was an error in this gadget