Sunday 16 February 2014

Prolog - Yang Pernah Terluka

Wajah si suami nampak jelas hiba dengan limpahan air mata yang hangat mengalir. Pedih mengenangkan permintaan isteri yang dulunya pernah dikejami. Lissa.. bagilah abang peluang.. hatinya merintih lagi tanpa henti.

   Benarlah kata orang. Andai perkahwinan itu ada, maka kadang-kala wujudnya juga perpisahan. Dan andai adanya perpisahan, maka akan ada jua pertemuan. Lumrah kehidupan. Bertemu dan berpisah..

   “ Fir tak boleh, Lissa..” Firdaus nampak jelas tertekan. Dipegang rambutnya kasar. Kepalanya terasa sakit. Berdengung hebat.

   “ Lissa mohon pada Fir, lepaskan Lissa. Cukuplah apa yang Fir dah buat pada Lissa. Lissa tak salahkan Fir. Memang Lissa dulu suka mempermainkan perasaan lelaki. Dan Lissa dah dapat balasannya.” Allah.. remuk hatinya mendengarkan permintaan itu. Hancur berkecai jasad dari roh mengenangkan perpisahan yang dipinta oleh si isteri yang dah mengisi ruang hati. Terlambatkah dia? Atau dia memang tidak layak untuk wanita bernama Merlissa Umairah?

   “ Fir tak sanggup, Lissa. Macam mana Fir nak lepaskan nyawa Fir? Fir boleh mati, Lissa. Tolonglah, Fir pernah khilaf sebab menghakimi Lissa sedangkan Fir tak patut dan tak layak. DIA ada untuk menghakimi Lissa. Tapi, Fir diamuk rasa marah  waktu itu. Lissa, jangan tinggalkan Fir. Anak kita perlukan Fir,” pujuk Firdaus lalu duduk melutut di kaki isteri. Merlissa mengelak sedikit. Air mata masih hangat mengalir ditemani sedu-sedan yang semakin lantang melontar keluar.

   Ya Allah.. apa yang perlu aku lakukan? Dia, lelaki yang pernah meragut mahkotaku sebelum waktu halalnya. Dia, lelaki yang sering menghadiahkan caci-maki dan sepak terajang pada tubuh ini. Dia, lelaki yang kini sudah berjaya mencuit hatiku. Dan dia, lelaki yang sudah menanamkan benih dalam rahim ini. Lantas, keputusan apa yang perlu ku ambil? Monolog Merlissa perih sebelum tubuh melorot menyembah lantai. Dia menangis semahunya. Buntu sungguh dia tika ini.

   “ Tolonglah, Fir.. Lissa. Fir minta ampun. Fir sujud pada kaki Lissa.” Firdaus mula bertindak di luar jangkaan. Hujung kaki isterinya dicari dengan niat yang satu. Kemaafan dan keampunan yang dipinta.

   Merlissa tersentak. Dia melarikan pantas kakinya. Sungguh, hatinya tidak tegar melihat insan bergelar suami menjatuhkan martabatnya seperti di hujung kaki sahaja. Biarlah dia yang pernah merasai keperitan apabila maruahnya diinjak kejam. Dia takkan membalas dendam. Oleh, itu jalan yang terbaik adalah perpisahan.

   “ Fir.. apa Fir buat ni??” marah Merlissa lantang. Firdaus semakin meraung hebat. Hujung kaki si isteri cuba dicapai. Merlissa mengelak. Firdaus benar-benar rasa bersalah. Semua dosa-dosanya pada Merlissa bergentayang menjenguk ruang mata.

   “ Fir.. tolonglah jangan buat Lissa serba-salah. Tolonglah..” rayu Merlissa hiba. Firdaus kalih pandang. Wajahnya lencun dek air mata. Sumpah, sepanjang perkahwinan mereka.. tidak pernah Merlissa melihat wajah itu teruk mengalirkan mutiara jernih. Cuma, sesekali Firdaus tertangkap apabila hatinya dijentik rindu pada arwah Nadzril. Mengenangkan arwah Nadzril, rasa bersalah menghambat jiwa. Maafkan Lissa, Nadz. Pinta hatinya.

   “ Lissa nak Fir mati ke?” soal suara itu polos. Zap! Bagaikan halilintar membelah hati perkataan itu memberi kesan pada jiwanya. Tak, dia takkan benarkan seorang lagi insan bernama lelaki mati kerana cinta Merlissa Umairah meskipun itu bukanlah punca utamanya. Walaupun dia tahu hakikat sebenarnya pemergian Nadzril. Sedikit sebanyak dia tetap salahkan diri sendiri.

   Takkan! Dia bertekad kuat. Segera dia memangku wajah Firdaus. Air mata di wajah itu disapu perlahan. Firdaus tergamam.

   “ Fir sayangkan Lissa? Benar-benar sayangkan Lissa?” soal Merlissa tidak diduga. Firdaus terdiam sejenak sebelum lambat-lambat dia mengangguk yakin. Tangan kecil itu dicapai lalu digenggam bersama panahan mata redup memohon simpati.

   “ Lissa pun sayangkan Fir. Sangat sayangkan Fir. Entah bila rasa ini hadir.. cuma Lissa yakin cinta, kasih dan sayang Lissa hanya untuk Fir. Tapi..” Merlissa terhenti. Ah, beratnya mulut ini hendak meluahkan. Merlissa pejam matanya berkali-kali. Cuba menahan air mata dari terus mengalir.

   “ Tapi, apa?” soal Firdaus tidak sabar-sabar. Merlissa tarik nafas berat.
   “ Untuk bersama Fir buat masa sekarang, Lissa tak mampu. Lissa terseksa. Peristiwa tu.. peristiwa yang merenggut mahkota Lissa mengganggu ketenteraman hidup Lissa sejak kejadian hari tu. Peristiwa Fir memukul dan memaki hamun diri ini mula kembali menghantui mimpi lena Lissa. Lissa tak nak berdendam. Lissa tak nak bila peristiwa tu terus mengasak, ianya akan melahirkan sebuah dendam. Dendam itu penyakit hati, Fir. Jadi, eloklah.. kita berpisah untuk sementara.”

   Berat ayat di belakang dimuntahkan. Firdaus melurut kasar rambutnya. Ya, kerana dendam dia menyeksa insan di hadapannya ini. Dendam, pemusnah segalanya. Ah, teganya dia tika itu. Peristiwa hitam itu terlalu perit jika dikenang.

   “ Lissa, anak kita?” soal Firdaus sayu. Anak matanya terlekap pada perut kempis is isteri. Merlissa cuba untuk tersenyum.

   “ Lissa akan jaga dia macam nyawa Lissa. Andai.. andai kata kita perlu berpisah untuk selamanya, Fir masih punya hak ke atas bayi ini. Lissa takkan halang Fir untuk bertemu dengannya. Fir papanya dan sampai bila-bila akan tetap jadi papanya,” jelas Merlissa. Firdaus diam bersama rasa perih yang menebal di sukma. Mungkin demi kebahagiaan Merlissa yang dah direnggutnya, dia perlu melepaskan Merlissa. Ya, perlu. Tapi.. bukan dengan lafaz cerai. Dia yakin itu.

   “ Lissa.. Fir tak sanggup berpisah dengan Lissa walaupun sesaat. Apatah lagi, melenyapkan ikatan suci ini. Jadi.. Fir izinkan Lissa cari ketenangan Lissa. Bila Lissa dah mampu buang kenangan itu jauh-jauh.. pulanglah. Pulanglah pada Fir. Fir akan tetap tunggu Lissa dan anak kita,” putus Firdaus bersama hati yang dah hancur lumat. Dia dah mengalah sebab dia tahu Merlissa sudah tekad.

   Mata dipejam kejap sebelum dia dapat rasa tangan sasanya dipaut Merlissa. Mata dicelikkan. Rapuh hatinya apabila melihat si isteri tunduk mencium hormat tangannya. Ah.. sakitnya jiwa ini, Tuhan. Desis hatinya retak seribu. Tanpa disuruh-suruh.. tangannya mengusap lembut ubun-ubun milik Merlissa. Beberapa titisan jernih mengenai kepala yang dah bertudung litup itu. Pada waktu yang sama, dia dapat rasa tangannya sudah ditimpa air mata jernih milik isteri tercinta.
   “ Lissa minta ampun, Fir. Terima kasih kerana memahami diri ini. Lissa bukan nak buang Fir dari hidup Lissa. Lissa perlu cari ketenangan yang dah lama menjauh. Lissa janji, kalau Lissa dah jumpa dengan apa yang dicari.. Lissa akan pulang dengan anak kita. Pulang ke rumah ni lagi, Fir,” balas Merlissa syahdu.

   “ Fir.. halalkan makan minum Lissa selama menumpang di sini. Maafkan segala dosa Lissa andai Lissa gagal menjadi isteri buat Fir.” Sambung suara itu lagi. Firdaus sebak. Tanpa kata, tubuh itu diraih ke dalam pelukan. Erat dua jiwa itu bersatu. Berkali-kali ubun-ubun Merlissa dicium Firdaus. Merlissa hanya mampu menangis membasuh luka.
   “ Fir halalkan. Lissa isteri terbaik buat Fir, Fir yang tak layak untuk Lissa. Ampunkan Fir, sayang,” balas Firdaus dengan esak tangisnya.

   “ Fir.. Lissa kena pergi dulu. Lissa bimbang kalau Lissa terus macam ni, hati Lissa akan berubah. Lissa tak nak keliru. Lissa nak betul-betul yakin yang Lissa memang dah boleh hapuskan kenangan silam. Izinkan Lissa?” soal Merlissa lirih. Firdaus pegang dadanya. Lambat-lambat.. dia mengangguk.

   “ Fir izinkan. Fir izinkan. Pergilah, cari apa yang Lissa perlukan dalam hidup Lissa. Fir akan tetap menjadi penunggu setia.” Lemah suara itu berlabuh pergi dari bibir yang terketar-ketar menahan sebak.

   “ Izinkan Lissa panggil Fir ‘abang’ buat kali pertama dan juga mungkin kali terakhir?” pohon Merlissa tiba-tiba. Seketika, Firdaus meraung kuat. Allah.. terlukanya jiwa ini. Seksanya diri ini.


   “ Fir izinkan. Takkan ada kali terakhir, sayang. Takkan, sebab Fir yakin Lissa jodoh Fir. Pendamping diri Fir di syurga. Fir yakin, sayang,” ucap Firdaus teresak-esak sebelum tubuh Merlissa diraih kejap sekali lagi ke dalam dakapan hangatnya. Pelukan yang bakal mengiringi perpisahan. Tuhan, temukanlah kami kembali andai perpisahan ini benar-benar wujud. Doa Firdaus penuh harapan.
:Copyright Hana Efriena:

No comments:

Post a Comment