Saturday, 8 November 2014

Bab 1 : DIA SEBELUM AKU -CIK D


"Duit lagi?" Bingung Ainan membaca pesanan ringkas yang diberi si adik sebentar tadi. Berkerut dahinya sebaik pintu kereta dibuka. Menunggu beberapa ketika, dengan pandangan masih tertumpu pada skrin telefon lama yang tak diganti dengan yang baru.
Nak makan pun berkira, apatah lagi nak bermewah-mewah dengan telefon bimbit. Kereta inipun kalau tak kerana susah nak ke sana sini, tak adanya dia mampu beli.
Baru nak makan tengah hari. Pagi tadi pun tak sarapan sebab nak jimat. Sekarang, mak dah nak minta duit lagi. Mak ni pun satu, tak boleh ke tunggu dua hari lagi. Bukan ke dua hari lagi gaji masuk, takkan itu pun tak boleh nak tunggu. Mengeluh sendiri. Sedih bila mengenangkan Mak biah di kampung.
Tapi tak apalah demi mak, bagi sajalah duit yang ada ni, siapa tahu ada rezeki lain yang datang. Tak apalah mak, biar Ainan tak makan asal mak dan adik-adik kenyang. Bicaranya sendiri, sebelum pintu Vivanya ditutup rapat.
Jangan nak buat muka sangat Ainan. Tak mati pun kalau tak makan tengah hari, balik kerja nanti boleh makan. Cuba menyedapkan hati sendiri. Terus berjalan menuju ke premis bank, mahu segera menghantar wang kepada Mak Biah di kampung.
Berkeriuk sahaja perut sejak keluar dari perut kereta, melangkah perlahan dengan duit dua ratus ringgit di tangan mahu dihantar ke kampung. Kalau tak silap, dalam simpanan masih ada lagi seratus ringgit.
Rasanya cukuplah duit tu nak tampung hidup untuk dua hari ni. Lagipun berapa sangatlah aku makan. Okey! Apapun masukkan duit mak, dan lepas ni baru withdraw duit! Nekadnya, terus berjalan laju. Masuk ke perut bank tanpa sedar dirinya sedang diperhatikan.
“Bakitinggal ringgit malaysia 22.50 sen?” Ini kalau nak buat mas kahwin pun cukup-cukup aje ni. Terkekeh sendiri. Sudah Ainan! Kau jangan nak mengarut sangat! Marah dengan diri sendiri.
“Bukan ada baki lagi seratus ringgit ke? Duit tadi pun? Aduhai! Semua dah selamat masuk dalam akaun mak! Habislah. Nak makan apa dengan duit sebanyak ni? Gaji dua hari lagi, ini kalau nasib baik dapatlah keluarkan sepuluh ringgit. Kalau tak, menapaklah nak masuk ofis esok! Sebab minyak kereta tinggal dua bar!”
Membebel sendiri di hadapan ATM machine. Tak hirau orang sebelah-menyebelah.
Bismillahirrahmanirrahim.
Kotak ‘teruskan’ pada paparan mesin ATM ditekan perlahan, sebelum terdengar duit sepuluh ringgit yang dikeluarkan tadi diproses.
Krrrrrr.
Yes! Alhamdulillah. Ada, cukuplah sepuluh ringgit. Dapatlah tampung duit minyak Viva aku tu untuk dua hari ni. Alhamdulillah. Tak sia-sia aku ke bank tengah hari ni. Senyum puas terpancar. Mahu segera pulang semula ke pejabat.
Wang baki sepuluh ringgit tadi diselit pada poket kecil beg sandang. Senang, nanti nak keluarkan masa nak isi minyak.
Makan tengah hari ni kena postpone ke malamlah jawabnya. Kita makan mee segera di rumah nanti ya. Perut, jangan nak meragam sangat ya. Diusap perut yang sudah mula berkeroncong. Adatlah duduk sendiri, hidup pun sendiri. Makan atau tak pun kenalah tanggung sendiri.
Tersenyum lebar, keluar dari bank serupa baru keluarkan duit satu ribu ringgit. Melirik kiri dan kanan, sebelum melangkah yakin menuju ke Viva putih kesayangannya.
Ini, kalau aku cakap dengan mak duit kat bank tinggal sepuluh ringgit, mahunya sekarang juga dia minta aku balik kampung, tak bagi dah aku duduk sini lagi. Belum lama kaki melangkah, bahu comelnya dicuit halus. Sekali dia menoleh ke kanan, tak ada. Ke kiri pula, pun tak ada. Dengan malas tubuh dipalingkan ke belakang, sebelum beg sandang yang tersangkut di bahu direntap kejam!
Eh? Peragut ke?! Bingungnya, dengan mata tak berkedip.
"Bye!" Si peragut sempat mengucapkan selamat tinggal, sebelum Ainan terkulat-kulat tak tahu nak buat apa. Kunci kereta di tangan, dompet dan dokumen penting pun masih di tangan, tapi!
"Woi! Sepuluh ringgit aku woi!" Menjerit Ainan sambil membuka langkah seribu. Dengan kuderatnya yang tak berapa kuat, dengan sepenuh jiwa mengenangkan duit sepuluh ringgit yang terselit di poket beg sandang, dia cuba berlari sekuat hati.
Banyak mata yang memerhati, tapi haram, seorang pun tak datang menolong. Fikir Ainan sengaja berlari-lari anak, mahu menjayakan salah satu scene dalam drama agaknya.
"Tunggulah!" Semakin laju peragut berlari, menghampiri sepasang suami isteri yang baru mahu melangkah masuk ke dalam kenderaannya. Dan dalam keadaan kelam kabut, peragut bertuah terlanggar pasangan tersebut.
"Tolong encik!" Jerit Ainan, mahu lelaki yang dipanggil encik tadi menahan lelaki itu dari terus berlari.
"Eh? Kenapa ni?" Kalut pasangan suami isteri yang mungkin baru keluar dari klinik, memandangkan wajah dan tubuh isteri kepada lelaki itu kelihatan kurus dan cengkung. Lengan peragut dapat ditangkap, sangka lelaki itu si peragut mahu meragut beg tangan yang dibawa isterinya.
"Beg saya encik." Ainan datang mendekat dengan nafas turun naik.
"Eh? Apasal pulak? Ini beg aku, kan?" Si peragut tak nak mengaku. Memeluk beg sandang milik Ainan serupa beg sandang itu miliknya.
"Kalau dah muka penyamun, beg orang pun kau nak mengaku beg kau kan? Ada ke lelaki pakai bag sandang colour pink? Ada ke gila!" Sesuka hati Ainan melampiaskan kemarahannya. Tak peduli pandangan pasangan suami isteri itu yang lain macam memandangnya waktu itu.
Ada ke patut, beg aku yang tak seberapa tu pun dia nak celok, nak ragut pun carilah orang yang loaded sikit. Dalam tu cuma ada sepuluh ringgit aje kut! Marahnya tak hilang lagi. Ikutkan rasa, mahu disepak lelaki tak guna di hadapannya itu.
Sepak lelaki yang ragut tu, bukan encik handsome depan aku ni. Abang ni okey aje aku tengok. Eh? Menampar pipi sendiri. Barus edar yang mata lelaki yang menangkap tangan peragut itu silih berganti memandang dia dan si peragut.
"Pulanglahsajalah beg adik tu. Apa buat perempuan macam ni. Sama-sama melayu, bergaduh macam ni. Malulah sikit orang tengok." Lelaki yang isterinya tak sihat tadi mula bersuara lagi. Masih memandang Ainan dan si peragut silih ganti.
"Tolong encik, saya nak beg saya balik." Pinta Ainan. Mahu cepat kembali ke pejabat.
"Nahlah! Ingat aku hadap sangat beg kosong tak berduit kau ni?" Acah-acah sahaja dia menghulur, dan Ainan masih tidak menyambut.
"Dalam tu ada sepuluh ringgit tau!" Ops! Bibir sendiri ditampar.
"Ambillah dik. Sudah, jangan nak panjang-panjangkan cerita." Ucap lelaki yang segak, berdiri di sisi BMW X6 yang menjalar panjang.
"Perompak ni encik? Takan nak lepas senang macam ni aje?" Mengacu jari telunjuk tepat ke wajah peragut tak guna itu. Ikutkan hati Ainan, mahu ditampar wajah lelaki yang langsung tak tunjuk rasa bersalah itu.
"Jadi sekarang ni, adik nak abang buat apa?" Tanya si penyelamat, melayan Ainan yang masih tak tahu apa yang harus dilakukan.
"Err. Ha! Bawa dia ke balai!"
"Hei! Sepuluh ringgit saja kut duit kau tu!"
"Encik." Panggil Ainansekali lagi, sebelum lelaki itu mengangkat tangannya. Memberi isyarat supaya tunggu. Mahu berbicara dengan isterinya mungkin.
"Abang nak tolong budak perempuan ni Wiya, sayang tunggu dalam sekejap?"
Ainan hanya memasang telinga. Dalam hati sudah timbul rasa bersalah kerana sudah menyusahkan pasangan suami isteri itu.
"Pergilah. Wiya tunggu abang di sini."
"Tak lama sekejap je."
Kesian pulak. Rasa macam aku dah menyusahkan mereka. Entah-entah abang ni nak balik rumah sebab isteri dia sakit. Aku, lagi nak susahkan mereka. Timbul rasa bersalah.
"Encik, tak apalah." Luah Ainan, rasa tak sampai hati melihat isteri lelaki yang dipanggil encik tadi.
"Adik tak nak buat report ke?" Tanya lelaki yang dipanggil encik tadi. Masih berdiri di sisi kereta mewahnya.
"Rasanya tak perlulah. Maaf kakak, encik. Tadi tu saya terlalu emosi, sampai tak sedar saya dah susahkan kakak dan encik." Kaki terus melangkah, tak betah mahu berlama-lama di situ. Lagilah bila terpandang wajah kakak yang pucat dan tak bermaya tu.
"Adik."
"Ha?"
"Betul ni nak abang lepaskan budak ni?" Bercahaya mata lelaki itu. Bertanya dengan niat ikhlas mahu membantu.
“Betul. Biarlah dia jawab dekat akhirat esok. Sesuka hati nak ragut beg orang. Keji!” Balas Ainan, menjeling tajam ke arah peragut.
"Hoi korang! Boleh tak jangan nak main drama depan aku? Nak report, report ajelah. Membebel tanya itu ini. Ingat aku ada banyak masa ke?" Jerkah si perompak, tak betah bila tangannya dilipat begitu.
"Kau boleh diam tak?" Sekali encik tu bersuara garau, dengan tangan kirinya meluku kepala si peragut.
"Adoi! Sakitlah!"
Padan muka! Bentak Ainan dalam hati. Ketuk kuat lagi abang! Sudah membuku jemari, mahu turut sama menumbuk lelaki itu, namun masih dapat mengawal perasaan.
"Tahu sakit, kau buat orang. Curi beg orang. Yang dalam beg tu cuma ada sepuluh ringgit, ada kau tak fikir pulak macam mana sakitnya?" Puas si peragut disekolahkan.
"Eh, peduli apa aku?"Melawan, tak mahu mengalah. Tak padan sudah meringis kesakitan bila tangannya dilipat encik berhati mulia itu.
"Banyak menjawablah kau ni! Kecik-kecik tak nak pergi sekolah. Dah tua menyusahkan orang. Tak boleh fikir, macam mana kalau duit sepuluh ringgit tu ajelah yang dia ada untuk makan. Untuk isi minyak? Ada kau fikir ke?" Beriya lelaki itu bertazkirah, dan tak takut untuk terus meluku kepala si penyamun.
“Maaf bang, maaf. Janji lepas ni saya tak buat kerja ni lagi.” Merayu dan semakin kesakitan bila tangan gagah lelaki itu semakin kuat melipat.
"Aku lepaskan kau. Lepas ni aku nampak muka kau dekat sini sekali lagi, siaplah kau!"Amaran encik yang baik hati. Dan sekali lagi tangan lelaki itu dilipat.
"Okey bang, tak buat lagi bang! Sakit bang!" Merayu-rayu si peragut. Betul-betul takut bila digertak begitu.
"Berambus!!" Cepat lelaki itu bertindak, dan beg sandang pink Ainan yang masih ditangannya segera dihulurkan pada Ainan semula.
"Adik okeykan?" Merendahkan suara, tidak seperti dia bercakap dengan peragut tadi.
"Okey encik." Belum sempat Ainan mahu mengucapkan terima kasih, lelaki itu memotong.
"Kalau okey, abang tinggalkan adik. Hati-hati memandu. Wiya." Memusingkan badan. “Wiya, jom kita balik.” Tak mahu berlama-lama melayan kes Ainan, memandangkan masih ada isteri yang mahu dilayan.
"Tapi Wiya lapar abang, kita ajak adik ni makan sekali." Cuba mengukir senyum. Cuba untuk berbaik-baik dengan mangsa ragut yang baru dibantu suaminya itu.
"Adik nak join kami sekali ke?" Pelawa lelaki yang Ainan masih belum kenal namanya.
Tapi dari apa yang diperhatikanmereka beriya mahu Ainan turut sama. Tengok kakak ni pun, beriya mengajak. Rasanya tak salah kalau aku ikut. Fikir melayang beberapa saat.
Mak pernah pesan jangan hampakan harapan orang. Dan rezeki jangan sesekali ditolak.
"Boleh?"
"Boleh. Errr. Encik?" Bertanya nama lelaki yang membantunya tadi.
"Oh, lupa nak kenalkan diri. Abang Nazim. Nazim Rais, tak payahlah berencik. Panggil aje Abang Nazim."
“Oh.” Hanya itu balasan Ainan, sebelum jauh fikirannya menerawang.
Nazim Rais? Nama pun dah membayangkan ketampanann dia. Nazim Rais, tapi tak adalah rupa Nazim Othman. Huih Ainan, isteri dia kat depan tu. Kau jangan cari pasal. Sedarnya.
"Dan ini isteri abang, Kak Adawiyah." Potong Nazim, tak mahu terus diperhatikan. "Adik?"
"Saya, Ainan Saffia. Panggil Ainan aje. Ermm, akak tak kisah ke saya join akak makan ni?"Berbasa basi Ainan, mendekati Adawiyah yang sejak tadi tidak lepas memandangnya.
"Boleh dik, lagi ramai lagi meriah. Jom Ainan, naik satu kereta saja. Senang. Abang nanti boleh hantar Ainan ke sini semulakan?"Lemah suara Adawiyah, tapi tetap berusaha untuk terus bercakap.
"Boleh sayang. Jom, Ainan." Pelawa Nazim mesra.
Melangkah sahaja ke ruang belakang BMW X6 milik Nazim, Ainan tersengeh sendiri. Melilau matanya memerhati kemasan kulit pada tempat duduk jentera mewah itu.
Cantik, kalaulah kusyen Viva aku tu boleh ditukar jadi semewah ini. Terus berangan, membiarkan pasangan di hadapannya itu selesa berdua. Tak ada niat mahu melebih. Dapat makan tengah hari percuma baginya sudah cukup bersyukur. Selamatlah duit sepuluh ringgit aku tu, memang untuk minyak kereta yang dah tinggal dua bar tu pun.
"Ainan memang duduk kawasan ni ke?" Soal Adawiyah lemah, berusaha untuk bercakap walaupun nafasnya berat untuk terhela.
"Memang kerja dan tinggal dekat sini kak. Tapi asal dari kampung. Muar, Johor."
"Oh."
"Akak dan abang?" Sibuk juga nak tahu.
"Kami dah bertahun duduk Melaka. Maaflah Ainan, Kak Wiya ni tak sihat. Cakap pun tak boleh banyak." Celah Nazim, tak mahu Adawiyah terus bercakap.
"Tak apa Abang Nazim. Saya faham."
Sakit? Memang tak salahlah tekaan aku tadi. Tapi sakit apa? Sampai nak cakap pun tak larat? Ermm. Semput kut, tak pun lelah. Tak pun. Ish! Perlu ke nak ambil tahu semua tu Ainan? Marahnya sendiri.
"Makan kat mana pun okeykan sayang?" Soal Nazim lembut, memandang sekilas wajah Adawiyah yang tersandar lemah.
"Mana-manalah abang, Wiya ikut aje."
"Itulah, awak tu bukannya nak makan sangat. Mintanya aje lebih, bila dah terhidang nanti, abang yang kena habiskan semua." Bebel Nazim, terlupa masih ada sepasang telinga lain turut berada dalam jentera mewahnya itu.
"Abang."Menjeling Nazim, mengingatkan yang bukan cuma mereka berdua di situ.
"Maaf kalau sayatanya, Kak Adawiyah tak sihat, sakit apa ya?" Lancar mulut menyoal, tak tahu penyakit apa yang dihidap wanita itu.
Pasangan itu saling berbalas pandang, sebelum Adawiyah mengangguk perlahan. Mahu suaminya menceritakan perihal kesihatannya yang sedang dihadapi.
"Kak Adawiyahmenghidap ‘adenocarcinoma of cervix’. Tahap empat." Tak mampu untuk meneruskan kata, sebelum tangan kekar lelaki yang sedang memandu itu merambat, mencari jemari si isteri untuk digenggam. Mahu menenangkan isterinya mungkin.
Tahulah Ainan, apa yang disangkanya tadi silap. Ingatkan cuma sakit biasa. Rupanya. Tapi ‘adenocarcinoma of cervix’ tu apa? Tapi kalau dah tahap empat, tentu serius penyakitnya tu. Mahu terus bertanya, namun dipendam, tidak mahu terus menyibuk.
Balik nanti cari dekat google. Hrmm. Dalam diam mengeluh dalam hati. Berfikir kenapa dengan rela hati ajakkan suami isteri yang baru dikenalinya itu dituruti.
“Jemput Ainan.” Nazim bersuara ramah sebaik pelayan restoran asam pedas menghidangkan makanan, sebelum melayan Adawiyah yang duduk bersebelahan dengannya.
“Sayang nak kuah atau makan ikan aje?” Perihatinnya lagi. Melayan si isteri yang sakit, bak puteri.
Tersenyum Ainan menyaksi keperihatinan Nazim. Dalam hati sudah memuji-muji keperihatinan lelaki itu.
Beruntung Kak Adawiyah, dalam waktu sakit begini, Abang Nazim masih sayangkan dia. Masih setia melayan. Indahnya hubungan mereka ni. Rasa sejuk mata memandang. Tengok tu, bukan main baik dia melayan. Tolong asingkan tulang ikan, letakkan napkin dekat atas riba. Hailah.
“Abang makanlah, segan dengan Ainan tu. Ainan makan Ainan, abang ni memang macam ni. Suka melayan akak lebih-lebih. Dia ingat akak ni manja sangat. Makan pun nak bersuap segala.” Tersipu Adawiyah, dalam sakit tetap mahu tersenyum. Mahu Ainan selesa berada bersama mereka.
Ainan hanya senyum dan memulakan suapan. Bersyukur kerana diberi rezeki tengah hari itu. Berkat kirim duit mak dikampung mungkin.
“Jadi Ainan memang kerja dekat-dekat sini?” Adawiyah mula bersuara lagi. entah mengapa pandangannya susah mahu beralih. Wajah Ainan sejak tadi diperhati tak lepas.
“Hrmm.” Menghabiskan kunyahan. “Dekat kilang kak, Batu Berendam. Kerani cabuk aje.” Jelasnya pendek. Sebelum penyedut minuman dihalakan ke bibir.
“Oh. Okeylah tu dik, cabuk tak cabuk, asal cukup makan pakai jadilah Ainan. Habis, sedang rehatlah ya, sekarang ya?”
“Rehat kak, itu yang saya ke machine ATM, ingat nak ambil duit, sekali tu dompet pulak tertinggal. Dahtu, malaun mana pulak datang nak meragut! Ish, sabar ajelah.” Terpaksa bohong sunat, walhal memang dalam machine ATM sudah kekeringan duit pun.
“La, kesiannya. Habis nak balik ni nanti? Ada duit?”
“Tak apa kak, adalah duit sikit, lagipun saya bawa kereta sendiri.” Balas Ainan dengan rasa bersalah. Merasa yang dia tak sepatutnya menipu wanita sebaik Adawiyah.
“Abang.”
Nazim yang enak menjamu selera menoleh, memberi isyarat ‘apa’ kepada isterinya itu. Bukan dia tak puduli dengan perbualan isterinya dengan gadis manis di hadapannya itu, cuma dia sendiri rasa lain. Lain yang hanya dia yang tahu kelainan itu.
“Nanti hantar Ainan balik semula ke depan bank ya? Kesian dia abang.”
“Okey. Ainan ada nak minta pertolongan apa-apa ke? Kalau ada, jangan malu-malu dengan abang. Kalau malu dengan abang, cakap dengan kakak pun okey.” Ramah Nazim lagi, melayan Ainan serupa adik sendiri.
“Eh, tak apa. Ini abang dan kakak dah belanja saya makan pun, saya dah cukup bersyukur kak.” Menadah tangan, menunjukkan pasangan suami isteri itu yang dia benar-benar menghargai ajakan makan tengah hari itu.
“Tak ada bendalah Ainan, tengok. Bukan main senyum kakak hari ni, sebab ada teman makan hari ni. Selalu dengan abangmana dia nak senyum macam ni.” Seloroh Nazim, tidak mahu suasana makan tengah hari itu kelihatan suram.
“Akak dah jemu dengan abang sebenarnya Ainan, itu yang selalu buat tak layan.” Balas Adawiyah, juga dalam keadaan berseloroh. Namun pada Nazim, kedengaran sesuatu pada bicara isterinya itu.
Dalam tak mahu, Ainan tetap juga terfikir. Mungkin sebab dia sakit. Itu yang sedih sangat apa yang terluah tu.
“Tengok tu?” Rajuk Nazim. Tak segan untuk bermesra di hadapan Ainan.
“Wiya cuma nak abang cari kebahagiaan abang. Jangan terlalu fikirkan tentang Wiya.” Adawiyah yang sudah tidak peduli dengan siapa yang ada di hadapannya ketika itu.
Kenapa dengan diorang ni? Berbincang soal hati, serupa macam aku tak ada depan mereka aje. Terus menjamah makanan, tak mahu fikirannya serabut, memikirkan tentang hal yang tiada kaitan dalam hidupnya.
Mengerling Nazim yang baru memulakan pemanduan selepas mengantar Ainan semula ke kereta. Tersenyum lelaki itu, dan apa yang Adawiyah perasan, terlebih manis senyuman suaminya tengah hari itu.
Bukan dia tak perasan, dia ada menyerahkan beberapa keping duit kepada gadis yang dalam kesusahan tadi. Cuma dia malas mahu mengulas lebih lanjut.
Memang patut kut kalau abang nak bantu. Siapa tahu, semua tu mampu buat dia gembira. Ada orang baru yang hadir dalam hidup dia mungkin. Fikiran Adawiyah terus berfikir jauh. Membayangkan sesuatu yang mampu buat suaminya itu kembali bahagia.
“Wiya kenapa? Jeling-jeling abang. Lepas tu senyum-senyum sendiri.” Perasan dirinya diperhatikan membuatkan Nazim bertanya begitu.
“Tak ada apalah. Ha, abang ada minta phone number Ainan tak?”
“Minta phone number anak dara orang? Wiya ni biar betul sayang.” Agak terkejut bila tiba-tiba isterinya berkata begitu. Selalunya bukan main cemburu kalau kita bercakap dengan perempuan.
“Mintalah. Ainan tu nampak baik budaknya. Cantik pun cantik, dan yang Wiya perasan, senyuman dia tu. Nampak ikhlas aje, kan abang?” Soalnya pada si suami, mengharap Nazim berkata iya.
“Entah, ada masa pulak abang nak telek muka anak dara orang.” Mengelak dari terus berbicara tentang gadis manis yang meneman makan tengah hari mereka tadi.
Lebih tepat, tidak mahu mengajar hati jadi curang. Tak suka bila ada perasaan aneh muncul, walaupun cuma sekelumit. Kerana baginya cintanya cuma satu. Untuk wanita pucat yang tersenyum manis di sebelahnya itu.
“Mana abang tahu dia anak dara? Entah-entah dah kahwin.” Duga Adawiyah, sengaja mahu memanjang-manjangkan cerita.
“Tadi, sebelum naik kereta abang ada pesan dekat Ainan. Lain kali jalan dengan teman. Suami ke, teman lelaki ke. Dan dia cakap dia tak ada suami lagi.”
“Oh.” Dah berkenalan mungkin. Fikir Adawiyah, dapat membayangkan sesuatu.
“Ini sayang nak balik terus atau nak cari barang? Abang ingat nak masuk kerja petang ni.” Tak mahu bercerita tentang Ainan, bimbang ada hati yang terguris.
“Tinggal Wiya lagi?” Melayu pandang, memerhati Nazim yang tenang memandu.
“Sekejap aje, ada beberapa dokumen nak kena approved. Siap nanti abang baliklah. Jaga Wiya.”
“Okey. Tapi Ainan tu betul cantik, kan abang?”
Tak menjawab.
Ni karang kalau aku cakap cantik, mahu dua minggu dia merajuk. Terus memandu dan dalam masa yang sama fikirannya masih ligat berfikir. Turut tidak menafikan kata-kata isterinya tadi. Sungguh, memang budak tu cantik! Dengan rambut yang dibiar lepas. Terus terang yang dalam beg sandang dia cuma ada sepuluh ringgit, tak ke comel tu!
Masih di dalam kereta. Sudah memakir Viva putihnya di tempat letak kereta kilang tempat dia berkerja.
“Ganeral Manager, NRR Manufacturing. Nazim Rais Bin Ridzman. Hrmm.. Memang kenalah nama dengan orangnya.” Memuji tanpa sedar. Dalam masa yang sama masih tertanya-tanya jenis penyakit yang dihadapi isteri kepada lelaki itu.
“Masuk ofis nanti, check dengan pak cik google! Apa maksud nama penyakit tu!”
Kad nama milik Nazim yang dibelek-belek tadi segera disimpan, sebelum dia kembali membuka pintu kereta. Mahu segera pulang ke pejabat. Lewat satu jam sudah ni. Jangan sampai head nampak aku lambat sudah! Mati kalau kena potong gaji. Sudahlah gaji tu tak cukup, kalau kena potong, dekat manalah aku nak merempat selepas ni.
"Ainan!"
"Siapa pulak!" Menoleh. "Kau Malik! Nak apa?"
"Makan kat mana? Kenapa aku tak nampak kau makan kat restoran depan tu hari ni? Kau ke mana?" Soal Malik, terlebih lebar senyumnya bila terperasan kelibat Ainan di hadapan pintu utama kilang.
"Makanlah." Sambil berjalan beriringan menuju ke lif, melayan Malik, rakan sekerjanya. "Kau pun lambat ke Malik?"
"Lambat jugak. Tadi bos panggil aku ambil barang. Kau lambat kenapa? Dating?"
"Dating? Banyaklah. Beg aku, kena ragut. Itu yang lambat. Banyak hallah. Pening." Ceritanya, sambil menunggu di hadapan pintu lif.
"Ragut? Banyak duit hilang? Kau okey tak ni?" Soal Malik risau.
"Okey, kalau tak okey aku dah balik."
"Banyak duit hilang?"
"Adalah sikit." Sepuluh ringgit saja kut yangkena ragut. Itupun dapat semula seratus sepuluh ringgit. Fikir Ainan, mengenangkan Nazim yang dengan baik hatinya memberi ringgit malaysia seratus ringgit untuk dia berbelanja katanya.
Malu juga Ainan mahu terima. Tapi bila fikir poket yang semakin nipis, dengan muka setebal empat belas inci, dia terima pemberian lelaki tu.
"Kalau rasa tak cukup duit jangan malu cari aku." Malik menawarkan bantuan, dan sememangnya dia begitu, suka terlebih perihatin kalau semua tentang Ainan.
"Eh, tak apalah Malik, insya-Allah cukup lagi duit aku nak sampai gaji ni."
"Betul?"
"Betul. Terima kasih Malik. Aku dah lewat ni, aku masuk kerja dulu?"
“Okey, jumpa malam nanti.” Pinta Malik, membiarkan langkah Ainan meninggalkan dia sendiri di depan pintu lif.
Malam menjelang tanpa dia sedar. Sibuk dengan urusan pejabat menjadikan dia begitu. Terlalu kuat berkerja, sehingga terlupa masih ada insan yang perlu diambil peduli.
Malik masih menunggunya di meja kerja tak berapa jauh dari meja kerjanya itu. Tak sampai hati mahu meninggalkan gadis itu sendirian. Dan seperti sudah menjadi kebiasaan, dia akan menunggu Ainan menyiapkan tugasan, dan mereka akan sama-sama pulang ke rumah masing-masing.
"Siap?" Malik menegur, duduk di hujung sudut meja kerja Ainan dengan tangan memeluk tubuh. Kemeja yang disarung sudah tersingkap, menampakkan baju t yang tersarung di dalamnya. “Dah boleh balik?”
"Sekejap Malik. Kau pun tahukan, head aku tu macam mana orangnya? Dua hari lagi nak gaji. Segala report nak kena sampai kat tangan dia esok pagi. Ini kalau tak siap, jawabnya kena bambulah aku esok." Adu Ainan dengan mulut muncung.
Tak puas hati dengan kerja yang tak pernah habis. Semakin bertimbun, malah ada. Gaji tetap takat itu juga, sama walaupun kerja semakin bertambah.
"Tahu. Siapa tak kenal Cik Karmila tu. Accountant paling kekwat kat company ni. Aku pun kadang-kadang pelik. Macam mana kau boleh tahan dengan perangai dia tu. Nak ikutkan, sudah dekat setahun juga kau kerja kan?"
"Hrmm. Hampir setahun. Dah nasib aku kut Malik. Tak apalah,mulut dia tu aje yang bising, tapi aku tahu hati dia macam mana." Terpaksa berperasangka baik, walaupun hati menidakkan yang wanita itu sebenarnya baik.
"Iyalah. Tapi dia tu kadang aku tengok melampau sangat, suka hati nak herdik kau kalau lambat serah report. Tak boleh macam tu, kita sama-sama kuli. Tak naklah nak jatuhkan sesama kuli."
"Macam aku cakap tadi, dah nasib aku Malik, nak buat macam mana lagi? Dah taraf aku ni kerja kilang. Kalau aku resign sekalipun, mana aku nak pergi. Jomlah, dah dekat pukul lapan ni. Karang lambat pulak aku sampai rumah."
"Aku hantar kau? Tapi sebelum tu kita pergi makan, aku belanja?"
"Belanja lagi?" Membulat mata Ainan, tak tahu sampai bila Malik akan bermurah hati seperti itu.
"Jomlah Ainan." Ajak Malik pada Ainan yang sudah mengangkat beg sandang. Membetulkan rambut yang ke depan,menghalang pemandangan sebelum dia mengangguk.
"Jomlah. Tapi gaji esok, aku belanja kau pulak. Okey?"
"Tak payahlah, aku ikhlas belanja kau."
"Tak naklah macam tu, aku takut termakan budi." Mengharap Malik faham apa yang dia cuba sampaikan.
"Apa susah kalau termakan budi, kau serah aje body kau." Malik dengan wajah selambanya, buat Ainan rasa tak sedap perut.
"Ish kau!"
"Maksud aku, serah diri." Terangnya sekali lagi.
"Serah diri kenapa pulak? Bukan aku ada buat salah pun." Masih tak faham.
"Serah diri. Jadi isteri aku, nak?" Bersungguh Malik. Sudah lama menginginkan sebenarnya, Cuma si gadis masih belum dapat faham ‘belanja makan’ yang selama ini dilakukan sebenarnya membawa maksud yang dia mahu menyara gadis itu seumur hidup.
Ainan tak melayan. Pantas kaki melangkah, tak mahu berbicara lebih lanjut tentang apa yang terluah dari bibir Malik tadi. Tapi serius ke Malik ni? Boleh juga kalau terima dia jadi suami. Besar juga gaji engineer tu, bolehlah sara aku.

Ceh! Jauh sangat fikir sampai kahwin, dia nak belanja makan saja kut.

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget