Sunday 16 November 2014

Bab 10 : DIA SEBELUM AKU - CIK D


         
         
                BERPUSING-PUSING Nazim di dalam bilik baju yang berada bersebelahan bilik mandi, mencari kelibat bakul baju yang menempatkan pakaiannya yang sudah lebih dua minggu tidak dicuci.
        Mana pergi bakul baju dalam bilik ni? Dua minggu tak cuci, takkan hilang kut? Atau Wiya dah keluarkan?
        "Wiya." Kelam kabut dia masuk semula ke dalam bilik.
        "Kenapa?”
        "Wiya ada nampak bakul baju abang yang belum dicuci tak?" soalnya pada Adawiyah yang elok duduk bersandar di kepala katil.
        "Oh! Rasanya bakal isteri abang yang cuci, sebab tadi Ainan ada tanya nak cuci baju ke tidak, jadi Wiya suruhlah Ainan cuci baju abang sekali."
        Bakal isteri? Adawiyah ni memang suka buat dia naik angin? mula berbahang hatinya. Letih pulang dari kerja belum hilang, si isteri sudah mula mahu cari pasal.
        "Jangan merepek yang bukan-bukanlah Wiya.” Mendatar suaranya, memberi isyarat yang dia tidak suka bicara Adawiyah tadi.
        “Tak salah pun kalau Ainan tolong cuci kan?” Tak nak mengalah, tak sudah lagi mahu memujuk Nazim bersama Ainan.
        “Kalau baju aje tak kisah sayang, dalam bakul tu macam-macam ada." Terbayangkan berapa banyak milik peribadinya yang ada di dalam bakul baju kotor tersebut.
        Berpusing kepalanya jika gadis itu betul-betul rajin dan mambantunya mencuci semua ‘khazanah negaranya’ itu.
        "Macam-macam? Kenapa abang? Takut Ainan tahu abang punya size seluar kecik ke?" tergelak Adawiyah, baru ada hati mahu bergurau dengan suami.
        "Mengarutlah Wiya ni. Abang bukan apa, kalau boleh tak naklah tambah kerja Ainan. Kesian dia, macam-macam nak buat dalam rumah ni. Baju tu abang boleh cuci sendiri." Merah padam muka Nazim diusik isteri begitu.
        "Tak apalah, Ainan tu ikhlas nak tolong abang. Apa nak malu abang, Ainan tu...."
        "Jangan mengarut abang cakap!" Nazim memotong.
        "Iyalah, kita ni dah tak sihat. Cakap sikit pun dah nak marah.”
        "Abang tak suka cara Wiya tu." Rendah kembali suara Nazim.
        "Tak suka? Eloklah kalau abang dah tak suka Wiya." Rajuknya dengan memeluk tubuh.
        “Memang Wiya nak abang bencikan Wiya pun.” Tega dia meluah begitu, tak tahu Nazim semakin hangat hati.
        "Abang cakap cara Wiya, bukan abang tak suka Wiya. Faham betul-betul ayat tu. Tolonglah Wiya, abang baru balik kerja. Tak boleh ke kalau Wiya timbang rasa sikit dengan abang. Letih tahu abang nak layan, kalau setiap kali jumpa, Wiya nak cari pasal dengan abang. Nak provoke abang supaya cari gaduh dengan Wiya. Letih Wiya, letih!"
        "Iyalah Wiya salah. Tapi tak boleh ke abang tunaikan permintaan orang nak mati macam Wiya ni? Abang tak rasa kesian ke dengan Wiya? Wiya nak abang dengan Ainan, itupun susah ke abang nak tunaikan?" Dibangkitkan lagi kisah yang sama.
        "Minta benda mengarut, nampaknya sampai bila-bilalah abang tak akan tunaikan."
        "Mengarut? Perkahwinan abang dan Ainan, sesuatu yang mengarut?" Tak jemu Adawiyah mendesak. Biar dia sakit, asalkan lelaki itu setuju dengan permintaannya.
        "Mengarutlah, kalau Wiya minta nak pergi bercuti ke bolehlah abang tunaikan. Ini, baru beberapa kali Wiya nampak Ainan, dah nak suruh abang kahwin dengan budak tu. Ingat abang ni patung ke sayang? Suka-suka Wiya nak atur hidup abang."
        "Abang nak ke tengok jenazah Wiya nanti matanya tak tertutup rapat, sebab Wiya kempunan nak tengok abang bersama Ainan?"
        "Jangan cipta alasan, dan yang paling penting, jangan tipu hati tu. Bibir mengiyakan, tapi hati Wiya? Ada Wiya fikir? Suka, abang ni dipeluk perempuan lain? Tak cemburu?"
        "Cemburu? Wiya pun dah lupa apa makna cemburu tu abang."
        "Bosan." Nazim bersuara perlahan, namun sudah cukup jelas ditangkap oleh Adawiyah.
        Bosan? Untuk ke sekian kalinya Nazim mengeluh begitu. Atau mungkin benar, lelaki itu sudah mula membencinya? Terhiris hati Adawiyah mendengar ucapan tersebut.
        "Abang keluar cari Ainan." Cepat kaki Nazim bergerak. Meninggalkan Adawiyah sendiri.
        "Ainan!" Teriaknya bila kelibat Ainan baru beberapa langkah mahu sampai ke dapur.
        "Ha?"
        "Sini." Tegang suaranya.
        Serius, Ainan gerun memandang wajah berkerut lelaki di hadapannya itu. Kenapa serius sangat mukanya?
         "Ada apa?"
        "Bakul baju dalam bilik abang mana?" Masih terbawa-bawa marah Nazim, bercakap dengan Ainan pun serupa mahu bertengkar.
        "Oh, ada. Saya baru angkat baju-baju Abang dari ampai. Tapi tak siap lipat lagi. Tunggulah malam sikit. " Ainan menjelaskan dengan senyum, tapi malang, senyumnya tak dibalas.
        "Berapa kali nak cakap, tugas Ainan dalam rumah ni cuma jaga kakak, bukan nak kena jaga semua orang?! Susah sangat ke nak faham?"
        Berdesing telinga Ainan, dari mata memerhati Nazim, kini dia tertunduk memandang jubin. Cuci baju pun salah? Dia tolong aje kut. Bukan nak rompak baju-baju tu.
        "Faham tak?"
        "Fa..faham."
        "Bawak bakul tu ke mari!" Arah Nazim, tak ada niat mahu marah. Apa yang terluah di luar kesedarannya waktu itu.
        "Saya tolong abang lipat dulu, siap nanti saya hantarkan ke bilik." Ainan berdegil.
        "Kata tadi faham!"
        Ainan gigit bibir, menahan rasa yang dia sendiri tak tahu apa perisanya.
        "Okey, saya ambil bakul tu." Mengalah dia akhirnya, tak mahu angin lelaki itu terus membingitkan telinga.
        Gaduh dengan kakak, dia pulak yang jadi mangsa. Memang semua lelaki macam tu kut. Hati Ainan mendongkol sambil berlalu ke ruang tamu keluarga.
        Tangan lincah memasukkan semula pakaian Nazim yang berlonggok di lantai ke dalam bakul.
        ‘Jangan-jangan Abang Nazim fikir dia nak curi seluar kecik yang berlambak tu kut?’ Ainan gelak sendiri melihat ‘khazanah’ lelaki itu yang berlambak itu. Tanpa sedar tingkahnya sedang diperhati.
        "Gelakkan abang ya?" Nazim menyergah buatkan Ainan terus terlompat ke belakang, dan tanpa disengajakan, tumit kakinya terpijak kaki milik Nazim.
        "Adui sakitlah Ainan." Nazim mengaduh, sengaja mahu bermanja walhal tak sakit mana pun.
        "Abang buat apa belakang saya?" tanya Ainan hairan.
        "Bawa sini bakul tu, jangan nak buat harta pulak."
        "Eh? Tak ada maknanya nak buat harta. Jangan fikir saya nak sangat cuci semua benda ni." Ainan terus letakkan bakul baju berwarna biru tua itu di depan Nazim. Sedikit berjauh hati.
        "Habis tu, kalau tak nak cuci, kenapa cuci?" Terbit senyum di bibir Nazim. Comel pula tengok Ainan memuncung begitu.
        "Kakak yang suruh saya cuci.”
        Berkerut dahi Nazim mendengar penjelasan Ainan. La? Mana satu yang betul? Wiya cakap Ainan yang nak cuci.
        "Tapi kakak cakap, Ainan yang nak cuci?"
        "Tak. Kakak yang suruh.” Meleret Ainan bersuara. Ada tanda macam berkecil hati.
        “Saya tak tahu menahu. Saya hanya menurut perintah. Sayakan pembantu rumah dalam rumah ni, pembantu rumah yang hanya menurut perintah." Dia sedikit jauh hati.
        "Jangan macam tu, dah janjikan tak nak anggap Ainan sebagai pembantu rumah. Nak masuk dalam rumah ni sebagai keluarga kami?"
        "Tapi memang pembantu pun, kalau bawa pergi mana pun, orang tetap nampak saya sebagai pembantu rumah."
        Sudah, nak merajuk juga. Pening Nazim dibuatnya. Marahnya tadi bukan disengajakan. Dia cuma tidak mahu gadis itu susah.
        "Okeylah, jangan cakap apa-apa lagi. Pergi rehat. Malam ni biar abang jaga kakak.” Pandangan Nazim redupkan, mengajak Ainan untuk sama berlembut.
        Tak banyak bunyi dan badan dipusingkan, Ainan melangkah laju meninggalkan Nazim di situ.


         

No comments:

Post a Comment