Thursday, 30 July 2015

Bab 2 : KEKASIH CADANGAN HATI - ANGGERIK MAHWA


TASYA dan Reha sudah hilang di balik rumah yang baru saja menjadi tempat kediaman mereka. Turut mengikut rapat dibelakang mereka, Iman. Cerah muka anak itu saat dipelawa Tasya. Bila Zehra angguk ketika ditanya, dia melompat-lompat suka. Seolah-olah, baru saja diberikan dengan sebakul coklat.
Kini, yang masih ada di luar pagar rumah Zehra, Raimi. Tegak cara lelaki itu berdiri. Namun tatapannya masih tajam.
“Kau apa khabar Raimi?”
“Kita pernah kenal ke sebelum ini?” Soalan Zehra, Raimi balas dengan soalan juga.
“Kau masih berdendam dengan aku lagi?”
“Kenapa aku perlu buang dendam aku pada kau?”
“Raimi...” Panjang nada suara Zehra. Terkilan dengan tingkah Raimi yang seperti memusuhinya.
Tampang Raimi direnung. Tak banyak yang berubah pada fizikal lelaki itu. Hanya tubuh yang kurus, kini nampak lebih sasa. Air muka juga jelas matang, sesuai dengan usia yang digalas. 30 tahun.
Dan penampilan Raimi, masih kemas seperti dulu-dulu juga.
Kalau pun ada yang berubah, cara Raimi menatapnya. Nada juga berbeza kerana setiap kata yang diluahkan lelaki itu, bagaikan mahu membalas sakit hati padanya. Senyum langsung tak sudi Raimi hadiahkan padanya.
“Untuk pengetahuan kau, marah dan sakit hati aku pada kau tak terhakis walaupun sebesar hama.”
“Tak baik berdendam, Raimi.”
“Siapa yang buat aku berdendam, Zehra?” Tegas pertanyaan itu melewati bibir Raimi. Kecil saja Zehra di matanya.
“Dah tujuh tahun Raimi. Kau, aku dan Tasya. Kita masing-masing dah ada kehidupan sendiri. Tak kurang dan lebih apa pun. Kau dah gembira dan bahagia hidup dengan Tasya. Tak boleh ke kalau kau lupakan aje cerita dulu? Kita dah kenal dari zaman sekolah lagi. Sampai bila nak heret dendam?”
Zehra membuang mata ke hadapan. Tak berani terus memandang Raimi bila tatapan lelaki itu bagaikan mata pisau. Dia tak rela membiarkan hatinya yang sudah tak berupa hati, semakin rosak jadinya.
Dia sudah melupakan masa lalunya. Malah, dia sudah melupakan Raimi saat Khalil sah menjadi suaminya. Namun sampai ke detik ini, dia tak pernah lupa mendoakan kegembiraan dan kebahagiaan Tasya.
“Tak boleh ke kalau kau anggap aku dah berikan kegembiraan dan kebahagiaan pada kau?”
“Senang kau bercakap ya Zehra?”
“Kenapa nak susahkan yang mudah? Kita tak akan dapat apa-apa kalau terus-menerus bermusuhan. Kita dah dewasa, tak perlu bersikap macam anak-anak remaja.”
“Cakap macam ustazah!” sinis Raimi sambil berpeluk tubuh. Didakap tubuhnya erat-erat.
Ketika datang ke sini pertama kali untuk melihat rumah yang mahu dibeli, hatinya berkenan. Rekaannya yang moden dengan keadaan kawalan keselamatan yang agak ketat, makin menguatkan keinginannya untuk memiliki rumah itu. Taklah dia bimbang jika sesekali terpaksa meninggalkan Tasya dan Reha di rumah jika ada kerja di luar kawasan.
Manalah dia tahu, rumah di sebelah rumahnya yang ketika itu bermangga milik Zehra. Kalau dia tahu, awal-awal lagi dia akan mencari rumah lain. Menjadi jiran Zehra, dia benar-benar tidak sudi.
“Habis tu kau nak suruh aku cakap macam mana lagi supaya kau puas hati?”
“Aku nakkan alasan!” Tekan Raimi.
“Alasan apa?”
“Kau tahu apa yang aku maksudkan Zehra. Jangan beraksi macam kau tak tahu apa-apa pada aku.”
“Tak perlulah nak diungkit benda yang dah lepas. Luka hati Tasya kalau dengar nanti.”
Kepala Raimi menggeleng kesal. Mukanya yang tadi tampak garang, berubah suram. Sebiji batu di hujung kasutnya, disepak kuat dengan hati bersalut geram dan marah. Mudah saja cara Zehra bertutur. Tenang saja air muka itu. Langsung tak kesal selepas meninggalkan luka yang sangat dalam di hatinya.
“Hati aku yang luka macam mana Zehra? Pernah kau ambil tahu?”
Zehra gigit bibir kuat-kuat. Kalau Raimi bercakap dalam nada yang sinis dan tinggi, dia akan bersabar. Resmi orang bersalah, harus rela bila dijatuhkan hukuman. Tapi bila lirih dan sarat dengan luka begitu, hatinya jadi goyah. Demi TUHAN, dia tak pernah rela melepaskan Raimi pada Tasya, ketika itu.
“Salah apa yang aku dah buat sampai kau hukum aku dengan hukuman yang sangat kejam?”
Akhirnya yang Zehra takutkan, terjadi juga. Tak mungkin Raimi dapat menerima dengan mudah. Lantaran itu, dia nekad meninggalkan Raimi dan Tasya tanpa ada sebarang jejak untuk dikesan, malam tujuh tahun lalu.
“Kita tak ada jodoh, Raimi. Kita...”
“Itu bukan apa yang aku nak dengar. Yang aku nak tahu, kenapa kau tinggalkan aku?” potong Raimi pantas.
“Sudahlah Raimi. Aku tak nak ungkit hal dulu.”
“Aku tak akan berhenti ungkit mulai hari ni. Jangan ingat lepas tujuh tahun, aku akan lupakan semuanya. Jangan mimpi, Zehra!”
“Aku dah kahwin Raimi.”
“Aku tak kata nak kahwin dengan kau pun sebab aku dah ada Tasya. Kau yang suruh aku pilih dia, kan?”
“Dan kau dah pilih dia, apa lagi yang kau tak puas hati pada aku?”
“Aku nak tahu kenapa kau tinggalkan aku?”
Zehra seka peluh yang merintik di dahinya. Hatinya gusar kerana tak ada tanda-tanda yang Raimi mahu meninggalkannya. Dia tak risaukan Khalil kerana selagi malam belum muncul, selagi itu suaminya itu tak akan tahu mencari jalan pulang. Yang dia gusarkan, Tasya. Tak mahu pada hari pertama hidup berjiran, Tasya sudah berprasangka bukan-bukan padanya.
Raimi itu hanya masa lalunya kerana hidupnya kini, hanya untuk Iman. Hanya Iman!
“Syukurlah kau dah bahagia dengan Tasya. Dah ada Reha. Apa lagi yang tak cukup?”
“Hati aku tak tenang. Tak pernah tenang!”
“Dah tu kau harap aku tenangkan hati kau ke?” Hilang sabar Zehra kali ini. Cara Raimi bercakap, macamlah dia sudah memporak-perandakan hidup lelaki itu dengan sangat teruk. Sedang yang dia lihat, Raimi seperti begitu sayangkan Tasya dan Reha. Matanya belum buta untuk melihat Raimi mengusap peluh di dahi Tasya sebelum Tasya meninggalkan mereka berdua tadi.
“Ya!”
“Raimi!”
“Aku cuma akan tenang kalau aku tahu kenapa hari ni kau kata cintakan aku tapi tak lama lepas tu kau pergi. Permainan apa yang kau mainkan masa tu?”
“Tak ada.”
“Itu bukan jawapan, Zehra!” Tinggi suara Raimi.
Matanya masih tak dialihkan daripada Zehra walaupun wanita itu lebih banyak memandang ke lain. Dia nampak jelas lebam yang hampir pudar di dahi dan pipi Zehra. Hatinya berkata, itu tanda dipukul. Tapi mengenangkan dia tidak tahu kehidupan Zehra saat ini, mulut terus dikunci ketat.
Tak ada keperluan untuk dia ambil tahu hal Zehra sekeluarga. Yang dia hendak tahu, hanya alasan Zehra.
Selama ini dia diam kerana Zehra tak ada di hadapannya. Bila Zehra muncul tanpa diduga, dia tak akan melepaskan Zehra dengan mudah.
“Baliklah Raimi. Tak manis macam ni.”
“Kalau aku tak nak balik kau nak buat apa pada aku?”
“Jangan macam nilah Raimi. Tak elok kalau jiran-jiran lain nampak. Aku tak nak jadi buah mulut orang.”
“Aku tak peduli!”
“Itu masalah kau. Tapi aku tak nak sebab kau hidup aku jadi kacau-bilau.”
Sabar Zehra sudah sirna. Raimi hari ini dengan Raimi yang pernah menghuni hatinya, berbeza bagaikan langit dengan bumi. Dulu, dia tak pernah dipaksa. Dia boleh melakukan apa saja dan Raimi selalu ada di belakangnya, asalkan tak ada kesalahan yang dibuat. Tapi kini, semuanya dah tak serupa.
“Dengan muka lebam biru, ini ke yang kau kata kehidupan?” Sinis bibir Raimi mencebik.
Hatinya kuat berkata, Zehra dipukul!
“Raimi!”
“Suami kau pukul kau ya?” duga Raimi. Sakit hati macam mana pun, jauh di sudut hatinya, dia tak tergamak melihat Zehra dibalun seorang lelaki bergelar suami.
“Aku jatuh,” balas Zehra setenang mungkin.
“Siapa yang kau cuba nak tipu ni Zehra?”
“Baliklah Raimi. Aku tak nak tengok kau datang sini lagi. Baliklah...” pinta Zehra dalam nada suara tersekat-sekat.
Nada Raimi yang seperti mengejek buat air mukanya terasa bagaikan dipijak. Malu bila pekung dalam rumah tangganya begitu mudah dihidu. Tentu itu juga yang berlegar-legar di kepala Tasya tadi. Terlalu teruja dapat bertemu kembali dengan Tasya buat dia lupa yang minggu lepas dia baru saja ditampar Khalil. Sampai ke detik ini, kesannya masih bersisa.
Ya ALLAH... aku malu, desis hati kecil Zehra walang.
“Zehra...” Raimi hilang kata-kata. Entah kenapa, ada satu rasa menikam dadanya mendengar nada suara Zehra begitu.
“Balik!” halau Zehra kuat.
Hilang rasa simpati Raimi. Sakit hati dan marah kembali menderu-deru masuk ke hatinya.
“Sombong!” selarnya kuat.
“Bukan urusan kau,” balas Zehra pantas. Mencerlang matanya dengan tuduhan Raimi yang tak berasas.
“Kau jangan jumpa Tasya lagi!”
Mata, Zehra pejamkan rapat-rapat sebelum dibuka beberapa detik kemudian. Raimi masih ada di tempat yang sama. Tajam pandangan lelaki itu, masih tak berubah walaupun sesaat. Diam-diam, dia beristighfar. Pada saat Raimi sedang diulit panas amarah, dia sepatutnya bertindak menjadi air yang menyejukkan.
“Yang aku tak nak jumpa, kau. Bukan Tasya.”
“Aku tak izinkan kau jumpa Tasya.”
“Kata-kata tu patut kau berikan pada Tasya, bukannya aku sebab dia yang jadi isteri kau. Dan rasanya aku tak perlu patuh pada kata-kata kau,” tempelak Zehra sambil tersenyum sinis.
Dia lupa yang dia baru saja mahu menjadi air demi menyurutkan api di hati Raimi.
“Aku tak suka kau jumpa Tasya.”
“Aku dan Tasya dah jadi jiran. Kau suka atau tak, aku tetap akan jumpa Tasya melainkan kau angkat semula barang-barang kau dan bawa Tasya dan Reha tinggal di tempat lain. Bukan sebelah rumah aku.”
Kalau pun dia tak mahu bertemu dengan Tasya, dia tak rasa yang isteri Raimi itu mahu melakukan hal yang sama. Tahap gembira Tasya tadi, Raimi juga maklum. Bahkan, bukan sekali dua, Tasya mengajak dia ke rumah mereka. Hatinya saja dikeraskan.
“Kau...”
“Kalau kau balik nanti, pesan pada Iman yang aku suruh balik!” potong Zehra pantas.
Tanpa menunggu kata-kata Raimi, dia terus berpusing dan memasuki pagar rumahnya. Entah kenapa, dalam gembira melihat keriangan Tasya, ada sebak yang gagal diungkapkan. Lalu, setitis air matanya menitis. Tasya, jauh lebih beruntung dibandingkan dia dan Iman.
“Maafkan aku, Raimi,” bisiknya sangat perlahan. 

Bab 1: KEKASIH CADANGAN HATI - ANGGERIK MAHWA

LAJU Iman berlari mendapatkan Zehra yang duduk di ruang tamu. Tercungap-cungap nafasnya. Terbuai-buai rambutnya yang berikat ekor kuda. Ada peluh merintik di dahi kecilnya. Pantas diseka dengan tangan berjari-jemari runcing miliknya. Terkebil-kebil matanya seketika.
“Mama... mama...” panggil Iman dengan suara halusnya. Nadanya sarat teruja.
“Ada apa ni anak mama? Tercungap-cungap macam kena kejar hantu aje mama dengar.” Mata Zehra masih terpaku pada baju di tangan. Tumpuan terus diberikan pada baju itu. Jahitan manik pada lengan baju kebaya pelanggannya harus disiapkan secepat mungkin. Tak mahu dikomen itu dan ini.
“Jiran baru tu dah sampai, mama.”
“Mana Iman tahu?” Lembut Zehra bertanya. Jarum halus dipegang kukuh.
“Iman nampak lori bawa barang tadi berhenti depan rumah tu”
“Iman mengintai ya? Mama dah pesan kan tak baik intai orang.” Zehra pandang Iman penuh kasih.
“Iman tak intai mama, tapi Iman nampak masa main kat laman tadi. Banyak lori tu bawa barang mama,” ujar Iman.
Petah mulut comel itu bercerita, menggamit rasa damai di hati Zehra. Enam tahun usia Iman, enam tahun juga anak itu menjadi buah hati pengarang jantungnya. Itulah satu-satunya anak yang dia ada. Itulah kawannya. Itu jugalah lawannya. Mereka ketawa bersama. Mereka menangis bersama.
Tapi Iman cekal. Kuat walau bertubuh kurus melidi. Malah, anak itu nampak lebih matang daripada usia sebenar.
“Nampak sesiapa selain dari lori dan barang?”
“Nampak mama. Ada tiga orang Iman tengok. Dua orang besar. Lelaki dan perempuan. Satu kecik macam Iman. Budak tu perempuan.”
“Dia nampak Iman tak?”
Menggeleng Zehra dengan andaian Iman. Teringat yang rumah sebelah kanannya itu sudah lama kosong. Mungkin hampir mencecah enam bulan. Tapi dia tak pernah ambil peduli. Ada yang lebih penting perlu difikirkan. Hidupnya sudah begitu sukar untuk ditambah dengan hal-hal remeh begitu.
“Tak nampaklah mama. Puas Iman tengok tapi dia tak tengok Iman pun,” adu Iman bagaikan berjauh hati. Mukanya sedikit redup. Kepalanya tunduk memandang hujung kaki sendiri.
Zehra senyum manis. Kepala berambut lurus itu diusap penuh kasih.
“Hari ni mungkin dia tak nampak Iman, esok- esok tentu dia tahu dalam rumah kita ni ada seorang bidadari cantik.”
“Iman bukan bidadari,” nafi Iman polos. Dia sedikit mencebik bagaikan hendak menangis.
Baju di atas riba, Zehra letakkan ke tepi. Kedua-dua bahu kecil Iman dicapai, dipegang erat-erat. Kemudian dielus-elus penuh sayang. Mata bidadarinya itu direnung dalam-dalam. Lalu, bibirnya dilabuhkan di pipi bermuka bujur sirih itu. Kiri dan kanan, bersilih ganti.
“Iman bidadari mama yang paling cantik,” katanya bagaikan memujuk.
“Tapi Iman bukan bidadari ayah.”
Terus Zehra tarik tubuh kecil itu ke sisinya dan didakap erat-erat. Matanya yang terasa hangat, dikedip-kedipkan. Demi Iman, dia harus jadi lebih kuat, hari demi hari.
“Iman bukan bidadari ayah...” ulang Iman sekali lagi. Kali ini, nada suaranya lebih dalam dan parau.
Makin kejap Zehra memeluk tubuh Iman. Titis juga setitis air matanya. Direnung kening Iman. Dipandang kedua-dua lengan Iman. Ditatap betis yang terdedah. Ngilu merebak dalam hatinya. Remuk perasaan keibuannya. Betapa anak sekecil itu tak sepatutnya melalui pengalaman yang mengerikan.

“Anak mama. Anak kesayangan mama. Maafkan mama sebab selalu gagal lindungi mama. Maafkan mama, sayang...”
Pantas Iman merungkai pelukan Zehra. Air mata di pipi mamanya itu diseka dengan jari-jemarinya runcingnya. Kemudian, dikucup pipi mamanya lama- lama. Berharap sedih mamanya pergi.
“Mama jangan nangis lagi,” katanya bagaikan memujuk Zehra.
Rabak hati Zehra. Patutnya, dia yang memujuk Iman. Tapi yang terjadi bagaikan terbalik.
“Mama tak nangis. Mama tak nangis. Mama kuat, sama macam anak mama. Kita sama-sama kuat,” ujar Zehra bersungguh-sungguh.
Mata diseka hingga kering. Ada senyuman di bibirnya. Hambar. Tapi kalau dengan senyuman hambar ini Iman tak sedih, dia akan terus tersenyum biar luka hatinya bagaikan sudah tak mampu dijahit lagi.
Tahun ini, masuk tahun ketujuh. Berapa tahun lagi dia dapat bertahan hidup seperti dalam neraka ciptaan ini? TUHAN!
“Mama...” panggil Iman rendah. Mukanya kembali bercahaya.
“Ya, anak mama sayang...”
“Boleh tak kalau nanti Iman kawan dengan budak perempuan rumah sebelah tu?” tanya Iman penuh harap. “Kat sini Iman tak ada kawan. Kawan- kawan Iman semuanya ada kat sekolah.”
“Boleh. Tapi bukan hari ni. Mungkin hari lain.”
“Kenapa tak boleh hari ni mama?”
“Dia baru sampai. Mungkin dia masih penat. Biarkan dia rehat dulu, nanti-nanti Iman boleh main dengan dia.”
Dia tidak tahu jiran barunya itu seperti apa. Tapi kalau boleh, biarlah bertimbang rasa. Bukannya suka menarik muka masam seperti jiran sebelumnya. Kalaupun tak mahu melayannya dengan baik, sekurang-kurangnya memberi izin Iman berkawan dengan anak mereka.


MENDENGAR suara Iman sedang bercakap-cakap di luar rumah, Zehra pandang jam di dinding. 3.00 petang. Tak mungkin Khalil sudah balik. Meluruskan kaki seketika, dia bangun dan mula mengatur langkah. Mahu melihat kawan bualan Iman. Bimbang kalau- kalau anaknya itu menyapa orang yang tak dikenali.
“Nanti Reha boleh kawan dengan Iman tak?” “Boleh.”
“Papa ada belikan Reha banyak
barbie doll.”

“Tapi Iman tak ada barbie doll. Ayah tak pernah belikan Iman apa-apa mainan. Kalau Iman minta, nanti ayah marah-marah. Ayah pukul Iman kuat-kuat.”
Zehra yang sudah berdiri di muka pintu, memegang dada. Tepat di hatinya berlabuh. Betapa kata-kata Iman menggores hatinya. Bukan kecil hati, melainkan terkilan dengan nasib Iman.

Di luar pagar rumahnya, dilihat ada kanak- kanak sama tinggi dengan Iman, berdiri sambil memegang gerigi pagar. Polos wajahnya, sama polos dengan Iman. Mungkin itulah anak jiran barunya yang dikatakan Iman tadi.
“Reha ada banyak barbie doll. Nanti Iman boleh main dengan Reha sama-sama. Kan Reha?”
Suara perempuan dewasa. Hati Zehra berdebar-debar. Tentu perempuan itu juga mendengar kata-kata Iman tentang Khalil. Dia malu. Namun kata sudah terlepas, tak mungkin dia akan menghukum Iman atas kelancangan mulut anak itu membuka pekung di dada mereka anak-beranak.
Tapi suara itu, seperti pernah Zehra dengar.
Wajah yang tiba-tiba berdiri di sisi kawan baru Iman itu, macam pernah dilihat.
Tersedar, terus Zehra menyarung selipar di muka pintu. Pantas dia mendapatkan Iman yang sudah senyum. Namun kemudian, langkahnya terhenti setelah berdiri di sisi Iman. Untuk masa beberapa detik, dua pasang mata saling bertatapan. Lama seperti yang ada di situ, hanya mereka berdua.
“Tasya...” seru Zehra perlahan, bagaikan berbisik. Ada pelbagai rasa menghunjam perasaannya.
“Zehra...” balas suara di luar pagar yang masih tertutup rapat.
Gigil gerakkan tangan Zehra ketika dia membuka pintu pagar. Dalam sekelip mata, dia dan Tasya saling berdakapan. Ada air mata mengalir di kedua-dua pipi itu. Rindu yang disimpan bertahun- tahun, lerai.
“Kau... kau... ke mana selama ni Zehra?” tanya Tasya tersedu-sedan.
Dakapan erat mereka terlerai. Namun dalam kabusan air mata, ada senyum terukir di bibir masing- masing.
“Kenapa kau tinggalkan aku?” aju Tasya terus, walaupun soalan pertamanya tak berjawab.
“Maafkan aku Tasya. Papa beli rumah baru.”
“Kenapa kau tak cakap apa-apa pada aku? Kenapa kau pergi macam tu aje?”
“Maafkan aku,” pinta Zehra sekali lagi.
“Tapi janji jangan buat macam tu lagi. Bertahun-tahun aku cari kau Zehra. Merata-rata tempat yang pernah kita singgah, aku pergi. Tapi kau tak pernah muncul sampai aku rasa lelah.”
Mata yang masih mengalirkan air, Zehra sapu perlahan dengan belakang tangan. Tak tahu kata apa yang perlu diberikan pada Tasya. Memandang pada Iman dan Reha, kedua-duanya sudah duduk di atas buaian. Seperti dia dan Tasya, tidak sukar untuk kedua- duanya bergaul mesra.
“Tak apalah Zehra. Masa lalu dah tak boleh diundur. Tapi syukurlah kita dah jumpa semula dan tak sangka kita dah jadi jiran mulai hari ini.”
Kecewanya memang tak habis bila mengenangkan dia ke rumah Zehra tapi rumah itu tak lagi berpenghuni. Tapi biarlah, itu cerita dulu. Sekurang-kurangnya, niat hendak bertemu Zehra, terkabul juga. Ramai kawan datang dan pergi dalam hidupnya. Tapi tak ada seorang pun yang dapat mengambil tempat Zehra dalam hatinya.

“Kau yang akan duduk rumah sebelah tu ya?” tanya Zehra.
“Ya, aku. Jiran baru kau,” balas Tasya gembira. “So... silalah jadi jiran yang baik pada aku. Kalau ada masak apa-apa, jangan lupa yang aku sekarang ni dah jadi jiran kau,” usik Tasya sambil tergelak.
Zehra ikut tergelak. Seperti dulu, Tasya memang tak pernah kering dengan senda gurau. Tak sangka selepas tujuh tahun masa berlalu, hari ini dia dipertemukan sekali lagi dengan Tasya.
“Tapi... mana Raimi ya?” tanya Tasya tiba- tiba. Dia berpaling ke belakang. Mencari bayang- bayang Raimi.
Raimi?
Serta-merta dada Zehra terasa bergemuruh. Sebaris nama itu menggamit satu rasa dalam dadanya. Sempit ruang pernafasannya tiba-tiba. Bertemu muka dengan Tasya, dia tak kisah. Tapi jika dengan Raimi, dia belum betul-betul bersedia. Atau sampai bila-bila pun dia tak mungkin akan bersedia.
“Ni mesti Raimi terkejut kalau tahu kau pun duduk sini,” ujar Tasya teruja.
“Sihat dia?” tanya Zehra sekadar bermanis mulut. Mulutnya seperti diikat.
“Sihat alhamdulillah. Kejap lagi kau tengok sendiri ya.”
“Dia kenal aku lagi ke?” Terasa mulut sendiri bagaikan mahu ditampar kerana mengeluarkan soalan yang tak sepatutnya.
“Gila tak ingat. Girlfriend pertama dia kot!”


Tasya tergelak-gelak. Geli hati dengan kata- kata sendiri. Sedangkan Zehra yang mendengar terasa mahu masuk ke dalam rumah ketika ini juga. Menutup pintu rapat-rapat. Mengunci pintu kuat-kuat. Kemudian tidur dan berharap saat terbangun esok, jiran barunya bukan Tasya dan Raimi.
“Kau marah ke?” Tasya nampak jelas perubahan air muka Zehra.
Zehra geleng. Sehabis mungkin muka dimaniskan. Melihat Tasya sihat walaupun lebih kurus dibandingkan dulu, dia rasa gembira. Yakin yang Tasya benar-benar hidup berbahagia di sisi Raimi.
“Abang!” jerit Tasya tiba-tiba saat melihat Raimi menghampirinya.
Jari-jemari Zehra rasa berpeluh. Raimi! Hanya itu yang mampu hatinya ungkapkan dalam diam.
“Tasya...”
“Tengok Tasya jumpa siapa ni? Zehra, abang!”
Muka Raimi berubah. Tergamam melihat seraut wajah yang telah lama hilang dari pandangan matanya. Lantas Zehra di hadapannya, direnung tajam. Hatinya kembali bertanyakan soalan yang sampai ke hari ini gagal dicari jawapannya.
Zehra! Desis hati kecilnya. Berkali-kali.

There was an error in this gadget