Saturday, 11 June 2016

Bab 5 : MEMORI TRI + NANI - ILLA SHANAHILA


KENING aku berkerut bila melihat ruangan parkiran di hadapan kedai penuh. Lama aku menoleh ke kiri dan kanan mencari ruang kosong, tapi tak ada. Akhirnya, aku masukkan juga di antara dua motosikal yang diparkir sedikit jarak.
Walaupun ruangan sempit, aku sumbat juga ego aku masuk hingga ke depan.
Automatik bibir mencipta senyum. Muat pun. Laju aje aku mematikan enjin dan menurunkan tongkat. Terjengket-jengket aku turun dari tempat duduk dek ruangan yang terhad. Beberapa kali mencuba, dapat jugak aku meloloskan diri dari situ.
Aku mengeluarkan kunci dari bawah seat motosikal untuk kunci tayar macam biasa. Mak selalu pesan, letak motor je, kunci.
Oleh sebab susah untuk ke tayar depan dek ruangan yang sempit, aku berjalan membawa kunci hingga ke hujung barisan motosikal dan masuk dari depan. Langkah dihentikan di hadapan Yamaha Ego merah menyala yang baru saja aku basuh minggu lepas dan terus saja aku mengunci tayar depan.
Siap. Tumpuan beralih pula pada kedai Kak Hasya. Haraplah aku boleh buat kerja macam biasa. Pintu kaca aku tolak perlahan sebelum menjenguk isi kedai.
Spontan aku menarik nafas lega-seleganya bila melihat kedai kosong tanpa adik Kak Hasya. Hanya ada beberapa orang pelanggan dan Ajim yang membuang pandang ke arah pintu masuk bila loceng angin berbunyi nyaring. Terus saja aku mengangkat kening kepada Ajim yang berada di muka pintu dapur.
“Hari selasa. Kelas kau pagi aje, kan?”
Aku angguk. Dah jadi rutin bila balik kelas singgah sini, sampaikan Ajim pun dah hafal jadual kelas aku.
“Lambat pulak kau datang sini. Studi ke?” Dia sengih senget.
Aku mencebik. Saja la tu. Bukannya dia tak tahu aku studi bila esok ada ujian atau peperiksaan aje.
“Bagi kopi latte ais satu.” Aku terus meletakkan beg di kerusi sebelah sebelum mengeluarkan komputer riba yang aku tinggalkan dalam mode ‘sleep’ tadi.
“Aik, tukar selera nampak? Aku baru nak bancuh favourite kau.” Ajim mula berjalan ke tempat kerja dia.
“Saja. Nak sejukkan hati.” Aku sengih lebar.
“Weh, bagi password.” Komputer riba diletakkan di atas meja bersama-sama planner hitam yang dah jadi macam diari aku. Segala benda tentang perniagaan online aku catat dekat situ. Oleh sebab aku ni boleh tahan pelupa, jadi semua benda aku kena buat rekod.
“Ha, lama akak tunggu kau.”
Aku angkat kepala dari planner. Kak Iqa terjengul di depan pintu dapur dengan senyuman yang susah aku nak tafsir.
Kenapa Kak Iqa buat muka macam tu pulak? Seriau aku tengok. Muka macam nak suruh aku jadi adik ipar dia je.
“Nah.”
Mata aku terarah pada piring putih berisi sekeping congo bar yang sama seperti aku makan semalam. Apakah?
“Yang ini akak belanja kau. Sorrylah pasal semalam. Akak pun tak sangka yang adik bos suruh kau bayar pulak.”
Oh, patutlah!
“Ini pun yang dia buat ke?” Bibir aku automatik mencebik. Bila dah nampak tuan punya congo bar ni punya perangai, benda yang sedap pun boleh jadi super tak sedap.
“Akak yang ajar dia buat. Kira kami sama-sama buat la...”
Bibir aku masih lagi mencebik tanpa gagal. Bukan senang luka di hati yang tercalar dek gelaran pencuri yang dia ungkapkan semalam tu boleh pulih, tahu? Memang aku pantang sungguh bila orang tuduh aku benda yang aku tak buat.
Tahu tak yang tuduh menuduh, fitnah memfitnah ni salah? Dosa?
Aku menjeling ke arah piring yang diserahkan tadi. Benda sedap ni pun tak boleh nak pulihkan luka aku ni, tahu?
Elok saja Kak Iqa ke dapur, Ajim pula datang mendekati dengan gelas latte ais di tangan.
Nah password.” Kertas kecil bertukar tangan.
“Kau jangan ambik hati dengan bos kecik tu. Dia tu okey je sebenarnya.” Sambung dia lagi.
Okay haper? Dahlah panggil aku pencuri. Lepas itu suruh aku bayar pulak makanan yang orang suruh rasa.
Ada ke patut? Mana ada orang kena bayar bila makan tester?
“Dia ada?” Aku menghirup latte ais senafas. Macam biasa, kopi buatan Ajim memang terbaik.
“Ada, dekat dapur.”
Hampir tersembur kopi yang aku minum mendengar jawapan Ajim. Aiseh. Dia ada la pulak!
“Apahal?”
“Aku takut dia humban aku keluar macam semalam.”
Ajim ketawa lepas. Dulang hitam yang dibawanya bersama latte ais aku tadi dibawa rapat ke dada. Ajim. Rambut panjang melepasi kolar tapi dikemaskan dengan cekak rambut hitam.
Pada badannya sentiasa tersarung apron coklat pekat yang dipadankan dengan uniform kafe. Merah darah. Sekali tengok, memang ada gaya kafe Jepun punya barista. Padanlah ramai awek yang singgah sini beli kopi.
“Dia okey la...”
“Okey apa macam tu?” Sekali lagi aku mencebik. “Ajim...”
Belum sempat aku menjawab, satu suara asing memenuhi ruang kafe. Laju aje aku dan Ajim berpaling ke arah suara tadi. Bos dia, adik Kak Hasya.
“Ya, bang?”
Dia pandang aku lama sebelum kembali kepada Ajim yang bertanya.
“Kejap, aku tak jumpa ni...”
Ajim bergegas mendekati dia di muka pintu. Aku mengeluh perlahan sebaik sahaja kelibat Ajim hilang dari pintu dapur. Tangan mula mengeluarkan headphone dari perut beg.
Okey.
WiFi ada. Minuman ada. Makanan... er...
Aku pandang congo bar yang masih tidak disentuh. Biar ajelah dekat situ dulu. Sikit pun aku tak rasa nak jamah.
Congo Bar.
Ruangan Google yang kosong tanpa carian pada skrin komputer riba itu aku pandang lama. Tanpa dipinta, jari menaip congo car pada petak carian. Tak sampai seminit, carian aku menyediakan berpuluh-puluh jawapan.
These Congo Bar (aka Blondies) are soft, decadent, and chewy in the center with ooey gooey chocolate strewn throughout.
Blondies? Apa tu?
Sekali lagi jari menari-nari pada papan kekunci.
A blondie (also known as a "blond[e] brownie" or "blondie bar") is a rich, sweet dessert bar
OK. Kelakar.
Brownies pun ada blonde tak blonde ke? Heh, macam-macam!
Aku menggeleng laju. Piring blondies atau congo bar itu aku pandang lama. Sudah-sudahlah tu Nani. Fokus. Fokus.
Headphone diletakkan pada kepala. Laman Facebook aku buka dengan menggunakan tetikus di tangan kanan.
Facebook page dan Instagram. Jom bekerja!
AKU kembali ke dunia realiti saat Ajim meletakkan gelas berisi air kosong di atas meja. Spontan bibir mencipta senyum sambil menarik headphone dari kepala.
“Serius betul.” Komen dia sepatah. Kerusi di hadapan aku ditarik sebelum dia duduk di situ.
Aku mula bersandar pada kerusi sebelum menggeliat kecil. Membetulkan urat. Dah lebih pukul tiga pun. Patutlah leher ni lenguh semacam. Nasib baiklah aku cuti hari ni. Kalau tak, sia-sia je lambat solat sebab khusyuk sangat mengadap komputer riba. Sibukkan hal dunia.
“Kalau kau belajar pun serius macam ni kan bagus?”
Sengihan manis aku bertukar masam. Ajim ni pun, sempat lagi nak perli aku. Gelas air kosong yang dibawanya tadi aku capai dengan sebelah tangan. Tiba- tiba terasa perit pulak tekak.
Dahaga dia lain macam. Mungkin sebab cuaca yang tengah jerebu sekarang ni. Ajim pulak, macam tahu- tahu aje yang tekak aku tengah haus air kosong. Bravo Ajim. 100 markah untuk kau.
“Senyap sunyi je kedai...” Aku membuang pandang ke seluruh isi kafe. Pelanggan yang duduk minum pun dua orang aje. Pasangan agaknya. Dari tadi bergelak ketawa, bergurau senda.
Dan, Ajim aje yang ada dekat luar ni. Bos dia tadi entah dekat mana.
“Khalisha cuti lagi ke?”
Ajim mengangguk sekali. “Balik kampung rasanya.”
Oh, patutla lama betul dia cuti. Kak Iqa pun lepas keluar bagi blonde brownie tadi, terus hilang.
Blonde brownie...
Laju saja mata aku mencari piring yang berisi congo bar tadi. Melihatkan piring putih itu kini kosong, serta merta aku menelan air liur. Tak percaya.
Aku dah habiskan benda tu? Bila masa? Kenapa aku tak sedar pun?
“Kau kenapa?” tegur Ajim dengan kening terangkat.
Jari telunjuk aku tepat pada piring kosong tadi.
“Benda ni...” Ayat aku terhenti di situ.
Ajim senyum meleret. Kedua tangannya dilipat ke dada.
“Suka betul kau dengan congo bar tu. Setahu aku, kau tu bukannya hantu kek. Satu slice kek pun kau tak pernah habis.”
Aku masih lagi diam, tak memberikan reaksi. Masih tak percaya yang aku dah habiskan pencuci mulut tu. Memang betul kata Ajim. Tak pernah aku habiskan hatta satu potongan kek yang aku beli.
Sebab utama. Manis. Sebab kedua, aku cepat muak.
Tapi benda yang aku makan tadi tak rasa manis pun. Muak pun tak. Just nice.
“Lepas ni, nampaknya kau kena berbaik dengan Abang Tri tu.”
Giliran kening aku pula yang terangkat.
“Abang tiga mana pulak ni?”
Meletus jugak tawa Ajim.
“Bos kecik tu la. Abang Tri.” Ajim menjawab pendek.
“Nama dia Fitri. Rupanya dia tinggal dekat KL nun. Jauh betul ulang alik datang Shah Alam tiap-tiap hari. Bos memang paksa dia datang sini, tengok kedai. Sambil belajar...”
“Chup... chup!” Aku mengangkat kedua-dua tangan ke depan, memotong penerangan Ajim yang dah panjang berjela.
“Yang kau buat karangan biografi bos kecik kau tu kenapa? Aku sikit pun tak rasa nak tahu. Tahu tak?” Tiba-tiba pulak telinga terasa panas dek nama yang disebut Ajim tadi.
“Kau ni la. Aku nak bagitahu je.” Ajim ketawa lepas. Perlahan-lahan dia menggeleng.
“Tak payah. Aku tak nak tahu pun.” Aku buat muka bosan.
“Tapi, apahal aku kena berbaik dengan dia pulak?” Kepala tiba-tiba teringatkan topik asal tadi. Topik ‘Aku kena berbaik dengan Abang Tri ‘
“Sebab dia suka buat benda yang kau suka makan ni.” Ajim memuncungkan mulut tepat pada piring putih yang hanya berbaki sisa congo bar tadi.
“Tak ke sesuai tu?” Keningnya diangkat berkali- kali.
“Langsung tak.” Aku menjuihkan bibir.
“Dah. Pergi kerja, jangan nak mengarut.”
Ajim ketawa lagi. Nak tak nak, dia terus ke kaunter bila pasangan tadi mula bergerak ke kaunter bayaran. Tumpuan aku kembali pada komputer riba yang dibiarkan sepi dari tadi. Belum sempat jari jemari menyentuh papan kekunci musik intro entah lagu apa tiba-tiba memenuhi ruang kafe. Aku dan Ajim mula berpandangan.
Tak pernah-pernah pun kafe ni pasang lagu. Aku pasang telinga, mengamati.
Berapa lamakah lagi
Terpaksa aku menanti
Sehingga teguhnya pendirian di hati
Lirik pertama mula dinyanyikan. Serta merta mata aku bulat, tak percaya.
Ini bukan ke lagu zaman...
Gila!
Coffee house pasang lagu jiwang zaman 90-an? Biar betul? Lagipun, bukan ke coffee house sepatutnya tempat yang tenang dan mendamaikan? Ini dah macam pusat permainan boling pulak jadinya.
Cuma lagu je versi Rock Kapak dan Rock Jiwang.
Bukan hanya kepentingan Malahan keegoan
Telah ku korbankan
“Ajim, tutuplah radio tu. Bising! Berdarah telinga aku dengar lagu ni.” Aku melaung dari kerusi sebaik sahaja pasangan tadi keluar dari kafe.
“Bukan aku lah.” Dia menjawab pendek.
“Dah tu?”
Belum sempat Ajim menjawab, tak semena-mena ‘Abang Tri’ tadi keluar dari dapur dengan muka selamba. Dua pasang mata terus jatuh pada dia yang selamba meletakkan kek ke dalam chiller.
“Kenapa?” soal dia sepatah. Dia memandang aku dan Ajim bersilih ganti.
Ajim tahan gelak. Aku mencebik sesaat sambil meletakkan kembali headphone tadi ke kepala. Nasib baiklah aku bawa benda ni. Kalau tak, mahunya aku pengsan dengar lagu jiwang dia.
Windows Media Player yang dibiarkan dalam keadaan pause tadi mula mengeluarkan bunyi bila beralih pada play.
Suara Beyonce dan Jay-Z mula menjamah telinga. Dejavu.
Sempat aku menjeling dia sesaat sebelum kembali pada kerja di depan. Latte ais dah habis. Air kosong tadi pun dah tinggal sisa. Haraplah mamat suka tukar password tiap-tiap hari ni tak tendang aku keluar. Kalau betul dia tendang, aku mengadu dekat Kak Hasya.
Mulut aku masih lagi mengomel saat ‘Abang Tri’ Ajim tu keluar dari dapur tanpa apron dan topi chef. Sebelah tangan memegang telefon bimbit ke telinga sambil berjalan keluar dari kedai.
Aku tarik nafas lega. Akhirnya, keluar jugak dia dari kedai.
Belum sempat senyuman aku mati, kelibat dia kembali memenuhi mata. Aku hanya memerhati lagak dia yang berulang alik ke sana ke mari dengan muka berkerut. Entah apa masalah yang dibincangkan dengan si pemanggil tu. Sikit pun aku tak dapat tangkap butir bicara dari mulut dia.
Suara Beyonce yang menyanyikan lagu Dejavu masih memekak di telinga. Tumpuan kembali pada komputer riba di depan. Tak payah sibuk hal oranglah Nani.

TEPAT pukul lima, aku lurutkan headphone dari kepala. Komputer riba dibiarkan dalam keadaan stand by sebelum aku menutupnya rapat. Cukup lah tu. Lepas ni boleh balik rumah, buat tugasan pulak.
Andainya aku bertanya Padamu tentang bahagia Di mana nilai setia
Di manakah puncak cinta
Laju aku menggeleng. Ingatkan dah habis sesi lagu 90-an ni.
Sekali lagi aku meluruskan tangan ke depan, membetulkan urat yang hampir tegang.
“Aku tak boleh keluar.”
Sikit lagi aku nak terlompat dari kerusi bila suara itu tiba-tiba menyapa telinga. Betul-betul sebelah aku pulak tu.
Kepala terus berpaling ke kanan. Adik Kak Hasya. Ajim punya Abang Tri.
“Kau datang ambil aku. Entah malaun mana pergi kunci tayar motor aku tu.”
Spontan aku sengih bila mendengar perkataan malaun dari mulut dia. Suka-suka je cakap orang. Dia tu yang malaun.
“Kau ambik dekat kedai kakak aku, tahu kan?”
Melihatkan muka masam perisa cuka dia, aku menggeleng laju. Tak habis-habis lagi ke masalah negara dia dari tadi?
“Ya, aku tahu aku cakap nak pergi sendiri tadi. Masalahnya motor aku tak boleh gerak ni.”
Tanpa menghiraukan dia yang ke hulu ke hilir dengan telefon bimbit, aku mula mengemas segala barangan yang bersepah di atas meja. Selesai semuanya, aku bingkas dari kerusi.
“Ajim, balik dulu!” Sempat aku angkat tangan kepada Ajim yang khusyuk membancuh kopi untuk pelanggan di kaunter kopi. Dia mengangkat tangan ke dahi, tanda ‘selamat tinggal’.
Hampir sahaja aku bertembung dengan dia di pintu keluar. Dia melepas nafas kasar sebelum masuk ke dalam kedai. Spontan aku mencebik. Kurang tatasusila betul. Dahlah hampir langgar orang, minta maaf pun tidak. Siap bagi jelingan maut pulak tu.
Sungguhlah aku tak boleh nak percaya yang dia tu adik Kak Hasya!
Dengan rungutan yang masih berbekas di bibir, aku mula melangkah ke tempat parking untuk mendapatkan motosikal yang di parkir tadi. Sebaik sahaja tiba di depan motosikal kepunyaan aku, aku menyeluk poket seluar, mengeluarkan kunci sebelum duduk mencangkung untuk membuka kunci tayar.
“Eh?”
Melihatkan tayar kosong tanpa kunci, tangan aku terkaku tiba-tiba. Aku yakin yang aku dah kunci tadi. Tapi kenapa tak ada?
“Hah, ingat dalam dunia ni kau sorang pakai Ego? Motor sendiri pun tak kenal!”
Tak semena-mena suara asing menegur dari belakang. Laju aku berpaling ke belakang. Bulat terus mata aku bila nampak wajah tuan punya suara.
Tri?!
Kejap, dia cakap apa tadi?
Sekali lagi aku memandang ke arah tayar motosikal aku. Macam mana boleh hilang pulak kunci aku ni?
Alamak!
Sikit lagi aku nak terduduk di atas jalan tar bila melihat kunci merah aku berada di tayar motosikal sebelah! Aiseh, macam mana aku boleh terkunci tayar motor sebelah pulak ni?
“Cepatlah bukak. Ingat orang tak ada kerja macam dia agaknya. Lepak dekat kedai sepanjang hari...” Dia masih membebel sambil bercekak pinggang.
“Orang tak sengaja pun nak kecoh.” Cepat saja aku membuka kunci tayar Yamaha Ego merah di sebelah.
Aku pun tak ingin nak kunci tayar kau sesuka hati, tahu? Tak sengaja tu, tak sengaja lah! Takkan tak faham? Lagipun, semua motosikal Ego merah sama aje bentuk dia. Manalah aku nak perasan.
“Tak sengaja satu hal. Perkataan maaf tu tak boleh nak sebut? Berjam-jam aku tunggu siapa punya motosikal. Dalam kedai tadi pun aku bising, kau boleh buat bodoh?” Dia bercekak pinggang dengan wajah merah menyala.
Aku tergelak tanpa sempat ditahan.
Aku pakai headphone, mana la nak dengar. Padan muka! Siapa suruh kau pasang lagu jiwang karat dalam kafe tadi? Lagi satu, nasib kaulah beli skuter merah sama dengan aku.
“Dah, tepi.”
Belum sempat aku melawan, sebuah Satria hitam berhenti betul-betul di hadapan kedai. Cermin tingkap dibuka penuh menampakkan seorang lelaki berkulit sederhana cerah dengan cermin mata hitam gelap.
“Oii Tri, tadi cakap terkunci?” Lelaki berkaca mata hitam itu melaung dari dalam kereta. Tri sempat menjeling aku sesaat sebelum mendekati tuan punya Satria.
“Malaun tadi dah bukakan kunci.” Selamba dia menjawab.

Aku terus ternganga. Apa dia? Dia cakap aku malaun? Malaun sungguh!



Perhatian : novel ini sudah pun berada dipasaran. 
untuk pembelian layari http://ideakreatif.net/book.details.php?id=62 
atau Mesej kami di Facebook atau facebook page (penerbitan Idea Kreatif)

atau WhatsApp ke 012-312 9793

Bab 4 : MEMORI TRI + NANI - ILLA SHANAHILA


AKU meletakkan skuter merah milik aku betul-betul di sebelah Restoran Dapur Sedap sebelum mengunci tayar depan.
Rumah sewa aku betul-betul di atas restoran di tingkat empat.
Walaupun awal-awal dulu rasa nak tercabut juga lutut bila hari-hari panjat tangga sampai tingkat empat, sekarang ni aku dah terbiasa. Nak naik, turun dan naik balik pun tak ada hal.
Oleh sebab paling atas, sewa rumah jugak tak mahal mana. Sebab itulah kami mampu tinggal lima orang saja.
Zati dan Sirah di master bedroom, Anis dan Mila di bilik tengah dan aku di bilik paling kecil. Aku sikit pun tak kisah duduk dalam bilik kecil ni sebabnya dan ada meja studi, tilam untuk tidur dan almari kain yang aku letak baju-baju dah cukup sangat bagi aku. Kalau ruang besar pun, buat aku sepahkan barang je.
Buka saja pintu, mata mula menangkap kelibat Anis, Sirah dan Zati yang bersila di depan TV. Kalau duduk bersila ni tak ada lainlah. Tengok movie ataupun makan.
“Hoi, makan!”
Aku sengih selapis sambil meletakkan helmet merah yang aku pegang tadi ke atas meja yang dikhaskan untuk helmet.
“Langkah kanan aku hari ni.” Beg sandang dan segala jenis barang aku letakkan ke dalam bilik sebelum turut bersila di depan TV.
“Siapa masak?”
“Anis.” Zati mejawab sepatah.
“Wow!” Kecur air liur aku bila nampak ayam masak merah menyala depan mata. Lama sungguh tak makan masakan dapur rumah sewa sendiri.
“Maaflah kalau tak sedap.” Anis sengih senget.
“Berani nak kompelin? Dapat makan lauk dekat rumah pun dah kira untung.”
Semua ketawa lepas. Dah jadi kebiasaan siapa yang free dia masak. Tak ada jadual bertugas pun. Kira siapa rajin, masak. Malas, beli dekat bawah. Tapi kalau nak dikira, yang malas itulah yang banyak.
Belum sempat aku kunyah suapan pertama, Xiaomi mula menjerit lantang. Sengaja aku biarkan lagu 50 Ways To Say Goodbye itu berlagu sendiri. Masa makan, jangan kacau aku. Sehari suntuk tak jumpa nasi ni.
“Tak nak angkat ke?”
Aku geleng, menjawab soalan Sirah. Kalau ada benda penting, mesti dia orang akan telefon balik. Lagipun, selalunya pelanggan jualan online aku aje yang selalu telefon. Dah besar-besar tulis dekat Facebook dan
Instagram ‘WhatsApp only’, ada jugak yang tak faham pergi telefon memanjang.
Ingat kerja aku angkat telefon aje agaknya.
“Nanti kau update senarai shawl baru. Aku nak tengok.” Sirah mencapai gelas berisi air kosong dari dulang.
“Rasa gatal pulak tangan nak habiskan duit.”
“Untunglah kaya.” Zati menyampuk tanpa memandang. Matanya melekat pada Berita Utama di kaca TV.
“Kau ni pun, stok tu ada je dalam bilik aku. Tengok jelah. Nak kena update pulak.”
“Malas nak sepahkan. Barang kau tu dahlah bertimbun dalam bilik tu.”
Aku sengih. Memang betul pun dia cakap. Bilik kecil itulah yang jadi stor tempat aku simpan barangan jualan aku. Mana tak bertimbun!
“Yelah. Nanti aku update. Sekarang nak pakai WiFi pun payah.” Hati tiba-tiba bengkak bila teringatkan kejadian tadi. Mulut mengunyah nasi yang tak bersalah dengan geram.
“Apahal pulak? WiFi kedai kek tu dah kena potong ke?”
Aku menjawab soalan Anis dengan gelengan. Semua tahu yang aku suka online dekat situ. Nak guna WiFi universiti, memang sehari pun payah nak upload gambar. Itu yang Kak Hasya bermurah hati bagi aku guna WiFi dia.
Tapi sekarang ada mamat yang suka-suka tukar password pulak.
“Dah tu? Kak Hasya tak bagi kau guna dah?”
Sekali lagi aku menggeleng. Anis dan Sirah berpandangan. Zati masih menumpukan perhatian pada berita yang hampir ke penghujung.
“Adik Kak Hasya tu...” Sengaja aku membiarkan ayat itu tergantung. Satu lagi suapan dibawa ke mulut.
“Adik?”
Kali ni aku angguk laju. “Adik dia tukar password setiap hari. Panjang berbelit pulak tu.”
“Kedekutnya!”
Exactly! Ha, nampak. Bukan aku aje yang rasa dia kedekut. Semua pun kata macam tu.
Xiaomi melolong lagi sebelum sempat aku menyokong kata-kata Anis. Kali ini aku gagahkan juga kaki untuk bangun ke bilik. Dah tiga kali berbunyi, penting sangat la tu agaknya.
Beg sandang aku selongkar dengan tangan kiri. Melihatkan nama Paan pada skrin, kening aku mula berkerut.
“Paan?”
“Hah, kau. Eksen bebenor tiga kali call baru nak angkat.” Paan terus membebel sebaik sahaja aku menyambung talian.
“Aku tengah makanlah.” Aku duduk di kerusi meja belajar sambil menyilang kaki.
“Kau nak apa?”
“Alah, dah makan ke? Aku baru nak ajak kau belanja. Hutang assignment tadi.”
“Bukan kau tolong tadi ikhlas ke?” Mengungkit pulak dia ni, sengajalah tu nak habiskan duit aku. Orang cari duit susah-susah.
“Mana ada benda percuma dalam ni sayang, oii. What you give, you get back.” Paan ketawa lepas.
Macam itu pulak yang dia tafsir. Dah elok-elok orang cipta quote tu untuk kebaikan.
“Tapi aku dah makan ni, takkan nak makan lagi. Esok ajelah.”
“Malam ni la. Aku lapar ni tak makan lagi. Dah siap makan, kau turun. Kedai bawah ni je pun.”
Aku mengeluh. Tak ada kerja aku nak keluar makan semata-mata nak belanja dia. Nasi dekat rumah ni pun banyak.
Hah! Aku senyum sendiri. Idea sudah mari.
“Ok. Nanti aku text kau.” Aku simpan senyum. Lapar sangar kan. Aku bungkus je nasi dekat rumah ni. Settle. Tak payah habiskan duit aku.
Oh, bijaknya kau Nani!
“BIAR betul kau masak untuk aku?”
Sikit lagi aku nak tergelak bila nampak muka Paan berkerut sejuta. Dia pandang bekas makanan dan muka aku bersilih ganti. Agaknya terharu bila aku bungkuskan makanan bagi dia gaya orang rumah bagi bekal dekat suami.
Beranganlah kau Paan oii.
“Housemate aku masak. Ada lebih.” Laju aje aku membetulkan segala anasir-anasir yang bakal hadir dalam kepala dia.
“Mati-mati aku ingat kau masakkan aku makan malam.” Paan sengih senget. Bekas makanan tadi diletakkan di dalam raga motosikal.
“Dah tu, tak nak keluar makan dengan aku la ni?”
“La, kan dah ada makanan tu. Nak makan apa lagi?”
“Teman ah. Kau minum je pun tak apa.”
Kening aku automatik berkerut. Memang lain macam Paan hari ni. Selalunya mana ada buat perangai nak juga aku temankan dia malam macam ni. Kalau ada pun jarang. Waktu dia ada masalah je.
“Kau ada problem, eh?”
Dia sengih senget. LC hitam emas milik dia diparkir di tepi kaki lima. Dia mencapai bekas makanan tadi dan terus membawa langkah ke Restoran Dapur Sedap yang tak jauh dari tempat kami berdiri.
Sah dia ada masalah!
Nak tak nak aku ikut juga dia dari belakang. Nasib baiklah aku bawa dompet turun sekali tadi. Kalau tak, memang air pun aku tak mampu nak belanja dia.
Dia pilih meja paling tengah, depan TV. Aku hanya menurut. Nasib baiklah pekerja dekat sini dah kenal aku lama. Bolehlah juga buat macam kedai sendiri, bawa makanan luar.
Selesai memesan air, sekali lagi aku pandang wajah Paan. Dia membalas dengan kening terangkat.
“Apa?” Elleh. Buat-buat cool konon.
“Ok. Story telling time.” Aku menyilangkan kedua-dua tangan ke dada sambil bersandar pada kerusi.
“Story telling apa pulak kau ni.” Dia membuka bekas makanan yang berisi nasi putih dan ayam masak merah tanpa menghiraukan soalan aku.
“Wow, terernya budak rumah kau masak!”
Aku mencebik. Sengaja la tu nak ubah topik. Macamlah tak biasa nampak ayam masak merah.
“Jangan tukar topik boleh tak?” Aku menyua muka ke depan, geram.
“Eh, jauh sikit. Aku tak suka dekat-dekat dengan perempuan ni.” Sekali lagi dia tarik sengih.
Paan ni la. Ada jugak aku terbalikkan bekas makanan ni karang.
Sudahnya, aku bersandar saja pada kerusi sambil melihat dia makan. Itulah Farhan. Kalau tak nak buka cerita, korek macam mana pun memang tak akan dapat.
“Tak makan, kak?”
Aku angkat kepala melihat Ikram, pelayan Restoran Sedap yang menegur ramah. Teh O ais dan teh ais diletakkan di atas meja.
“Dah makan tadi. Terima kasih.” Aku mencipta senyum segaris. Berbahasa.
Ikram cuma mengangguk dan terus berlalu dari situ. Sejak menyewa dekat rumah kedai ni, hampir setiap hari jugak aku jumpa Ikram.
“Ana...” Paan di hadapan bersuara sepatah.
Tumpuan aku kembali pada dia yang masih tunduk menghabiskan makanan. Automatik aku menelan air liur bila satu nama itu disebut.
Ana. Ana kawan aku. Ana girlfriend Paan.
“Kenapa dengan Ana?” Dada mula berdebar pelbagai lagu. Bukannya aku tak biasa dengan cemburu Ana. Selalu. Tapi apa nak buat? Aku kenal Paan dari tadika kut. Satu kampung, satu sekolah rendah, cuma sekolah menengah saja berbeza sebab dia masuk asrama. Dan tak tahu macam mana boleh jumpa dekat universiti ni. Satu kelas lagi.
Ana pula, aku kenal waktu hari pertama mendaftar dekat universiti. Kalau nak diperincikan lagi, Ana kenal Paan melalui aku jugak. Jadi aku tak faham kenapa dia nak cemburu lebih-lebih dengan aku.
“Dia mintak putus.”
Aku ternganga. Biar betul? Dah dekat tiga tahun kut!
“Kenapa?”
Paan angkat bahu. Tangannya masih laju menyuap nasi ke dalam mulut.
“Tipulah kau tak tahu. Takkan tiba-tiba?” Takkan sebab cemburukan aku lagi kut? Biar benar Ana ni?
“Sebab aku, eh?”
“Kenapa sebab kau pulak?”
Kali ni giliran aku pulak yang angkat bahu. Tanda tak tahu.
“Entah. Sebab hari ni dia dah block aku dari dari FB. Aku ingatkan sebab dia marahkan aku sebab tak ajak dia main boling hari tu.” Aku sengih senget.
“Takkanlah sebab tak ajak main boling pun dia nak block kau?”
“Manalah tahu. Kau tahulah cik intan payung kau tu.”
Kali ni Paan ketawa lepas. Aku tahu dia sendiri pun dah masak dengan perangai manja Ana. Tapi, itulah yang dia puja. Yang dia suka.
“Entahlah Nani. Kadang aku fikir, senang-senang aku pinang kau jelah. Mama pun dah kenal kau. Mak kau pun dah kenal aku. Kau pun dah masak sangat dengan perangai aku. Tak payah aku nak makan hati hari-hari.”
Ke situ pulak dah perginya.
Kau dah gila, eh?”
Paan ketawa lepas. Dia menggeleng beberapa kali. Mungkin dia sendiri tak sangka dengan apa yang dia cakap sekarang. Bukan dia aje. Aku pun tak percaya.
Ada ke nak pinang aku sebab Ana minta putus?
“Agak-agak kalau aku pinang kau, kau terima tak?” Paan merenung mata aku lama.
Sungguh, aku sendiri tak tahu apa yang aku rasa sekarang. Paan ni main-main ke serius? Sumpah aku tak boleh nak beza.
Akhirnya aku mencebik sambil melarikan pandangan ke arah TV yang tergantung pada dinding kedai.
“Gila.”
HANYA ada dua kemungkinan yang boleh aku rumuskan perihal malam tadi.
Satu. Paan bergurau.
Dua. Aku yang over serius.
Akhirnya soalan gila Paan malam tadi dibiarkan tanpa jawapan sehinggalah hari ini.
Keadaan kembali seperti biasa. Dalam kelas macam biasa dan dia masih tegur aku macam biasa dan melawak macam biasa.
Sungguhlah. Kenapa aku pulak yang rasa luar biasa bila teringatkan soalan dia malam tadi? Lagak Paan dalam kelas tadi seolah-olah dia hanya tanya soalan ‘nak makan KFC tak?’
Lelaki. Inilah dia. Bila masa seriusnya pun aku tak tahu.
Aku mengeluh kuat. Segala jenis buku yang aku pegang dari dewan kuliah diletakkan di atas meja perpustakaan. Betullah aku yang ambil serius. Orang di sana tak ada apa-apa pun.
Aku tarik nafas dalam-dalam sambil membuka beg komputer riba yang memang aku bawa dari rumah. Walaupun kelas tak pernah guna komputer riba untuk sesi pembelajaran, tapi aku suka angkut sekali bila keluar. Senang untuk aku buat kerja lepas kelas.
Lagipun komputer riba aku 12 inci je. Berat pun tidak. Sengaja aku beli yang ringan sebab kerja aku memang akan sentiasa angkut komputer riba ke sana ke mari.
Aku tarik salah satu kerusi yang berdekatan dan terus duduk di situ. Sempat aku menggeliat kecil sambil melemparkan pandangan ke seluruh isi perpustakaan itu. Tak ramai pun manusia. Tengah hari pun belum, ramai yang masih ada kelas agaknya.
Aku membuang pandang ke arah timbunan buku yang aku bawa tadi. Tutorial Particle Technology ada dua soalan. Assignment Ethnic Relation satu. Tapi semua tu langsung tak menarik minat aku.
Tumpuan aku kembali pada Acer di depan. Laju saja tangan menaip password WiFi universiti.
Elok saja disambung, tangan pantas menekan icon Google Chrome. Stok baru dan stok lama perlu dikemaskini. Tudung, selendang, perfume... kek.
“Lambatnyaaaa!” Suara terkeluar juga tanpa sempat aku tahan. Beberapa pelajar yang duduk berhampiran menjeling tak puas hati.
Alah, aku bising sesaat aje pun. Bukannya berjam-jam.
Melihatkan paparan Google yang masih putih pada skrin, aku mengeluh berat. Ni entah berapa jam lagi baru dapat letak gambar baru ni.
Tak boleh jadi. Aku kena jugak guna WiFi Kak Hasya. Lagipun, bukan aku duduk saja-saja. Aku beli kopi jugak, kan?
Ya, Nani. Kau tak buat salah. Kak Hasya bagi kau lampu hijau. Bukannya curi-curi guna.
Persetankan segala halangan yang bakal tiba. Persetankan encik suka-suka hati tukar password semalam. Baru sehari dua jenguk kedai dah nak buat macam negara sendiri.

Persetankan!
There was an error in this gadget