Sunday, 5 February 2017

Bab 4 : KALAU ADA JODOH 2 - MIMIE AFINIE


Bab 4

KALI terakhir dia bercakap dengan Faris adalah hampir enam bulan yang lalu. Ketika itu Faris, Puan Saadiah dan MakTon akan berangkat mengerjakan umrah dan dia bersama-sama Pyan menghantar mereka ke KLIA. Walaupun selepas itu dia ada terserempak beberapa kali dengan Faris, mereka tak pernah bersembang.

Dan hari sabtu itu, apabila Faris datang bertandang bersama-sama Puan Saadiah dan Mak Ton, Rini cuba bersikap biasa-biasa. Seolah-olah tiada apa-apa yang pernah berlaku antara mereka.

Meskipun lelaki itu pernah berada di tempat paling istimewa di hatinya, semuanya sudah berlalu dalam lipatan sejarah. Sekarang masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Cumanya dia amat berharap agar Faris akan segera bertemu seseorang bagi mengisi kekosongan hatinya.

Bertambah meriah rumah Mak Cik Shidah bila Kak Liza dan Abang Remy turut datang.

“Comelnya Anas. Banyak ikut muka Pyan ni. Mata, hidung, sebijik macam Pyan.” Mak Ton yang sedang memangku Anas, mencium lembut pipi gebu bayi itu.

“Itu namanya anak bapak, Mak Ton,” ujar Pyan.

Memang ramai yang cakap macam tu. Kata mereka, muka Anas fotostat muka dia. Sebiji sama. Cuma bibir Anas sahaja yang mewarisi bibir uminya.

“Muka Anas macam muka Abang Remy la.” Abang Remy berseloroh.

“Hisy, tak ada maknanya. Anak saya mana ada remos macam abang?” Pyan ketawa besar. Abang Remy dengan remosnya berpisah tiada. Apa tidaknya, sejak dia mula kenal Abang Remy, macam gitulah fesyen rambutnya. Belah tepi dengan sejemput remos di hadapan. Tak berubah-ubah dari dulu. Kut ya pun minat sangat dengan pop yeh yeh, tak perlulah nak beremos bagai. Tak bertambah kacak pun.

“Muka Anas mestilah macam muka abi dengan umi dia. Dah memang anak kau orang pun, kan? Takkan nak ikut muka Remy pulak?”

“Mak Ton juga yang pandai,” sambut Pyan.

“Pyan, kau ke yang azankan Anas malam tu?” Tiba-tiba Abang Remy soal macam tu.

“Ya, betul. Kenapa, bang?” tanya Pyan.

“Kuat sangat kau azan masa tu. Kau ingat kau azan dekat Masjid Wilayah Persekutuan ke, apa?”

“Mana ada kuat? Saya azan biasa-biasa aje. Mungkin tengah malam, sunyi. Sebab tu dengar macam kuat. Tapi kalau betul pun suara saya terkuat sikit, ada masalah ke bang?”

“Memang ada masalah. Masa tu abang tengah syok tidur tau? Sebab azan kau yang kuat itulah, abang terjaga. Mati-mati abang duk ingat azan tu datang dari surau. Apa lagi, abang pun cepat-cepatlah bangun dan mandi. Dah selesai berwuduk semua, terus abang solat subuh.”

Cerita Abang Remy belum habis tapi semua sudah sepakat ketawakan dia.

“Hah! Faris, Rini dengan Pyan dah ada anak. Faris bila pulak nak makan nasi minyak?” Tak semena- mena Abang Remy tukar topik lagi.

Faris tergamam. Tak sangka Abang Remy akan bertanya begitu. Sudahnya dia jongket bahu. Yalah apa yang nak dijawab, kan? Bukan dia ada calon pun. Secara jujurnya selepas bercerai dengan Rini, hatinya masih lagi kosong.

Bukan tak ada yang cuba nak dekat, tetapi hatinya yang tidak terpikat. Malah mama sendiri pernah nak menjodohkan dia dengan beberapa orang gadis, tetapi dia tidak berminat.

“Jangan cakap kau tu masih ada hati dengan Rini, Ris. Mengamuk Pyan nanti,” sambung Abang Remy.

Masing-masing sudah terdiam. Rini pandang Pyan. Cuba melihat reaksi suaminya tapi Pyan sekadar hulur senyuman. Tapi dia percaya Pyan sendiri sangat terkejut dengan soalan maut abang iparnya itu. Abang Remy tu memanglah. Dari dulu tak berubah-ubah. Kalau bercakap tak pernah nak tapis dulu. Sebab itulah selalu kena marah dengan Kak Liza.

“Abang boleh tak tolong jaga sikit mulut tu?” Kak Liza berkata perlahan. Sempat jemarinya mencubit paha Abang Remy yang duduk bersebelahan. Dia tahu Faris serba-salah. Malah Rini dan Pyan sendiri tentu tidak selesa dengan kenyataan Abang Remy tadi.

“Abang gurau ajelah.” Abang Remy menjeling Kak Liza.

“Banyaklah abang punya gurau.” Kak Liza membalas dengan jelingan juga.

“Abang ada calon yang sesuai untuk kau, Ris. Budak ofis abang. Cantik orangnya. Kalau kau setuju, abang bawa kau jumpa dia.” Tak habis-habis lagi Abang Remy nak mengenakan Faris.

“Tak apalah, bang. Kalau saya nak, saya boleh cari sendiri.”

“Jual mahal pula kau. Tak apalah, kalau kau tak nak. Mungkin dia boleh jadi yang nombor dua.”

“Nombor dua untuk siapa?” Pyan menyampuk.

“Untuk abanglah. Takkan untuk kau pulak.”

Bulat mata Liza. Dia tahu Abang Remy hanya bergurau, tapi dia tak suka gurauan begitu. Memang boleh mendatangkan gaduh. Kalau sekali tak apa, tapi benda ni dah acap kali Abang Remy duk sebut.

“Jom kita balik, bang. Dah lama sangat kita kat sini.” Seraya berkata begitu, Kak Liza bangun dari sofa.

“Alah... sekejap la.” Abang Remy berdegil.

“Jomlah.” Tangan Abang Remy ditarik sedikit kuat. Sebelum suaminya lebih mengarut, lebih baik mereka lekas-lekas balik.

“Mak cik, kita orang balik dulu ya?” Liza meminta diri.

“Tunggulah sekejap. Ni pisang goreng panas- panas lagi ni. Makan dulu,” kata Mak Cik Shidah sambil meletak bekas berisi pisang goreng ke atas meja kopi.

“Tak apa la mak cik. Kita orang dah minum kat rumah tadi. Makan pisang goreng juga,” jawab Liza. Bersama-sama Abang Remy, dia berjalan ke muka pintu.

“Rini pun nak.” Pisang goreng yang masih berasap itu dipandang penuh berselera.

“Kak Rini nak kopi ke? Kat tuangkan, ya?” Katijah pandang kakak iparnya.

“Kak Rini nak goreng pisang. Kat tolong ambil satu.”

“Orang dalam pantang mana boleh makan pisang, Rini... angin.” Rini dah kena tegur dengan Mak Ton.

“Semuanya angin... habis tu Rini nak makan apa?” Bosannya. Semua benda tak boleh makan, semuanya kena berpantang. Adoi! Rimas sungguh. Baru dua minggu. Macam mana nak tunggu sampai habis pantang ni?

“Rini makan biskut lemak. Kejap lagi mak ambil, ya?” kata Mak Cik Shidah.

“Asyik makan biskut lemak aje. Bosanlah, mak.” Rini mengomel.

“Nak sihat, nak cantik... kenalah berpantang. Mana boleh bosan-bosan,” kata emak. Tersenyum pandang menantunya.

“Tak cantik pun tak apa. Bukan ada orang nak tengok Rini pun,” Rini menjawab.

“Habis Pyan tu apa? Bukan dia ke yang nak tengok Rini hari-hari? Nanti Pyan cari lain, padan muka Rini. Orang lelaki ni Rini, masa kita muda, kita cantik, memanglah dia sayang. Nanti bila dah tak cantik, dah menggeleber sana sini, mulalah dia buat perangai, cari perempuan lain yang lebih bergetah.” Mak Ton menyampuk seraya ketawa. Suka benar mengusik Pyan.

“Hisy, Mak Ton ni. Suka hati aje cakap macam tu.” Pyan tayang muka tak puas hati.

“Umi jangan dengar cakap Mak Ton tu. Walau macam mana pun keadaan umi nanti, menggeleber ke, apa ke... abi tetap sayang umi. Cinta abi hanya untuk umi sorang, sampai bila-bila. Abi nak umi tau, abi dah tak perlukan perempuan lain dalam hidup abi.”

Walaupun malu dengan semua yang ada di situ, tapi lafaz janji Pyan itu buat Rini jadi terharu.

“Terima kasih abi.” Mulut menyebut, mata merenung Pyan tak berkelip.

Faris alih pandangan ke arah lain. Kalau boleh dia tak nak tengok adegan itu. Tak nak dengar ucapan Rini itu.

Sambil tersenyum Pyan angguk.


“NURUL HUSNA ni anak Yam. Bukan orang lain pun, anak sepupu saya sendiri.” Mak Cik Shidah pandang Husna yang duduk di sebelah Katijah. Mak Yam pula baru saja berlalu ke bilik untuk mengurut Rini.

“Yam tu sepupu Shidah ke?” tanya Puan Saadiah. Soalan ditujukan kepada Mak Cik Shidah, tetapi mata tak berkalih dari Husna.

Mak Cik Shidah angguk.

“Husna ni dah macam anak saya sendiri. Dulu masa dia kecil, saya yang jadi pengasuh dia. Sejak umur dia dua bulan sampailah dia darjah lima, dengan sayalah dia tinggal.”

Kata Mak Cik Shidah lagi, ketika itu Mak Yam bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta. Jadi, di rumah dialah Husna ditinggalkan. Pagi-pagi lagi Mak Yam dah hantar. Lewat petang balik dari kerja, baru Mak Yam datang jemput.

Husna tak bagi respons pun. Dia hanya mengangguk. Dalam hati, rasa agak menyesal kerana mengikut ibu ke mari. Kalaulah dia tahu Mak Cik Shidah ada tetamu, jangan harap dia nak datang.

Mulalah dia jadi serba tak kena. Nak bercakap pun macam dah tak reti. Memanglah dia jenis peramah, tapi bila dengan orang-orang yang dia tak kenal, dia jadi kekok pula.

“Dulu-dulu memang dia tinggal kat sini, mama, Mak Ton. Malam aje kat rumah sendiri. Tapi sekarang, nak jumpa sebulan sekalipun payah. Umur Anas dah dua minggu, baru sekali dia datang tengok. Entah apa yang sibuk sangat tak tau la. Rasa-rasanya nak jumpa menteri pun tak susah macam tu.”

Sengaja Pyan bergurau begitu. Bukan apa, nak ajak Husna bersembang. Sejak sampai tadi, gadis itu tidak bercakap langsung.

Hisy, Pyan ni! Mengada-ngada betul. Perlu ke buat kenyataan macam tu? Depan tetamu pula tu. Memanglah dia jarang-jarang ke mari dan baru sekali tengok Anas tapi Pyan kena fahamlah, dia kan bekerja?

Pagi-pagi dah keluar dari rumah. Lewat petang baru sampai ke rumah semula. Hujung minggu lepas pula, pejabat dia ada menganjurkan Hari Keluarga di Port Dickson. Dua hari jugalah kena berkampung kat sana. Jadi, bila masa dia nak datang ke mari?

“Kau dah kenapa, Una? Tiba-tiba aje jadi bisu?” usik Pyan lagi.

Dengan rupa mencuka, Husna jeling Pyan. Kalau tak ada orang, memang dah kena Pyan ni. Saja nak memalukan dia.

Macam manalah dia tak jadi bisu? Dahlah dia yang jadi topik perbualan. Yang mak cik dua orang kat depan ni pula asyik duk tenung muka dia. Lepas tu berbalas pandang dan senyum-senyum. Entah apa yang tak kena dengan dia, wallahuaklam.

“Jangan layan Pyan tu, Una. Mari minum kopi ni.” Mak Cik Shidah pelawa.

“Una dah minum kat rumah tadi, mak cik.”

“Itu minum kat rumah Una. Ini kat rumah mak cik pulak. Mana nak sama? Rasa kopinya pun lain tau. Ini pisang goreng ada lagi ni. Sementara ibu mengurut Rini, mari makan dulu.” Selesai berkata begitu, Mak Cik Shidah berlalu ke dapur.

Lantas goreng pisang dari dalam pinggan dicapai dan dibawa ke mulut. Sambil itu, mata sempat kerling Puan Saadiah dan Mak Ton. Apa agaknya yang tak kena dengan penampilan dia sampaikan mak cik dua orang ni terus-terusan merenung dia?

Atau tudung kat atas kepala ni senget? Sebelah tangan pegang pisang goreng, sebelah lagi meraba-raba tudung di kepala.

“Sekarang Pyan dengan Rini tinggal kat sebelah rumah Husna ni la. Nanti senang-senang, mama dengan Mak Ton jemputlah datang rumah kita orang. Tapi kena tunggu Rini habis pantang dulu.” Ramah Pyan mempelawa.

Sebenarnya selepas beberapa bulan berkahwin, dia dan Rini membuat keputusan untuk berpindah rumah. Kebetulan waktu itu, rumah yang mereka duduki sekarang kosong dan tuan rumah sedang mencari penyewa. Tak jauh pun dari rumah emak dan rumah Kak Liza. Hanya berselang dua lorong sahaja.

“Memang pun mama teringin nak pergi rumah Pyan. Nanti kita pergi ya, kak?” Puan Saadiah mencuit paha Mak Ton, kemudian mengangkat-angkat keningnya.
Sambil tersenyum, Mak Ton angguk. Sepertinya faham apa yang Puan Saadiah cuba sampaikan.

“Husna ni umur berapa?” Tiba-tiba Puan Saadiah bertanya.

“Dua puluh tujuh,” balas Husna.

“Ya ke umur kau dua puluh tujuh?” Pyan menyampuk.

“Betul la. Kau tua setahun daripada aku, kan? Takkan tak ingat.”

“Aku ingat kau dah tiga puluh lima.” Lagi sekali Pyan mengusik.

Husna hanya ketawa. Pyan kalau tak mengusik tak sah. Dia dah faham sangat. Mereka kan membesar sama-sama, bermain sama-sama. Lagipun dia anak tunggal, tak ada abang, tak ada kakak. Ayah pula meninggal semasa dia masih kecil lagi.

Jadi Pyanlah yang banyak tolong dia. Di sekolah, kalau kena buli dengan pelajar lelaki, kepada Pyanlah dia mengadu. Pyanlah yang pergi ugut dan beri kata dua kepada budak-budak lelaki samseng itu.

“Husna sebaya Rini ya?” Mak Ton pula mencelah.

“Ya,” balas Husna.

“Dah kahwin?” soal Puan Saadiah.

Goreng pisang yang tinggal separuh tidak jadi nak dihulur ke mulut. Terkejut dengan pertanyaan yang sangat sensitif itu.

“Belum.” Mak Ton tolong jawab.

Sewaktu dia bekerja sebagai pembantu di rumah Liza dulu, pernahlah dia terserempak beberapa kali dengan Husna. Tapi pada masa tu dia tak beri perhatian sangat. Dengan Mak Yam pernahlah dia bersembang. Berurut pun pernah.

“Bila nak kahwin?” Puan Saadiah menghulurkan soalan yang paling mahal, soalan cepu emas.

Terkejut dengan soalan pertama belum hilang, Puan Saadiah bertanyakan soalan itu pula. Mereka baru pertama kali jumpa, tak sesuai kut tanya macam tu. Ikutkan nak saja dia jawab “Saya nak kahwin dengan suami mak cik, boleh?”

Pyan pandang Husna. Tengok rupa Husna yang semacam, dia tahu gadis itu tidak selesa ditanya begitu.

“Kau jangan jawab macam yang orang duk viral kat dalam FB tu, Na. Saya nak kahwin dengan suami mak cik, boleh? Sah-sahlah mak cik dua orang ni dah tak ada suami.”

Pyan buat lawak pula. Bukan apa, kesian tengok Husna yang terkulat-kulat tak tahu nak jawab apa. Dia tahu, Husna tertekan dengan soalan Puan Saadiah itu.
Gurauan Pyan itu mengundang tawa Husna. Pyan macam boleh baca apa yang sedang berada di fikirannya.

Yang lain-lain juga ikut ketawa. Hanya Faris yang terkecuali. Lelaki itu langsung tak ambil kisah dengan apa yang sedang dibualkan. Leka sungguh dengan telefonnya.

“Husna belum jawab soalan aunty,” kata Puan Saadiah. Mak Ton angguk, menyokong.

“Tak ada orang nak, aunty.” Husna ucap perlahan.

“Cantik macam ini pun tak ada yang nak? Betul ke ni?” usik Puan Saadiah.

“Dah ada calon agaknya.” Mak Ton mencelah.

“Eh! Mana ada? Tak adalah.” Husna malu-malu.

“Kak Una... jom masuk bilik Kat. Kat ada beli novel baru tau? Kalau nak, Kak Una boleh pinjam.” Katijah yang hanya memerhati dari tadi, bangun dari sofa. Bukan apa, kesian pula dia tengok Kak Husna. Nampak serba salah benar.

“Boleh juga. Jom.” Tanpa membuang masa, Husna bangun lalu mengekori Katijah.

“Cantiknya Husna tu, berkenan sungguh mama tengok. Budaknya pun nampak baik.” Puan Saadiah dah tersenyum-senyum.

“A’ah la... sejuk hati tengok muka dia tu.” Mak Ton menambah.

“Dia tu tak ada kawan lelaki ke Pyan?” Puan Saadiah mengajukan pertanyaan.

“Dulu ada, tapi dah putus,” jawab Pyan.

“Alhamdulillah, lega mama dengar,” sambut Puan Saadiah.

“Kenapa, mama?” Pyan buat-buat tanya. Sebenarnya faham sangat maksud mama tu.

“Yalah, mungkin jodoh dia dengan lelaki lain. Lelaki yang lebih baik dan sesuai untuk dia.” Sambil berkata begitu, mama kerling Faris. Mahu melihat reaksi anaknya. Tetapi Faris tetap leka dengan telefon di tangan.

“Tapi tak tau pulak kalau-kalau dia dah ada pengganti. Dia bukan bagi tau Pyan pun.”

“Ya ke, Pyan?” Suara Puan Saadiah dan-dan jadi sayu. Tapi harap-harap Husna masih belum berpunya kerana dia ada hajat yang besar sekali. Mudah-mudahan niat baiknya akan Allah permudahkan.

“Itu Pyan tak pasti, ma. Kalau mama nak tau, mama tanya mak. Mungkin mak tau, kan?”

“Okey, nanti mama risik-risik dengan emak Pyan.” Muka Puan Saadiah cerah semula.


“CANTIK kan dia tu?” Masuk sahaja ke dalam rumah, belum sempat punggung sentuh Saadiah terus bertanya begitu. Mak Ton masih di luar, bersembang dengan jiran sebelah. Mak Ton memang jenis peramah. Sejak tinggal di sini hampir setahun yang lalu, dia dah dapat ramai kenalan. Yalah, orang tak tegur dia, dia dulu yang pergi tegur orang tu.

“Dia? Mama maksudkan siapa ni?” Faris yang baru melabuh duduk atas sofa pandang muka Puan Saadiah.

“Husna... anak Mak Yam yang mengurut Rini tadi. Dia tu dua pupu Pyan.”

“Oh! Nama dia Husna?” balas Faris tanpa perasaan. Tak berminat sebenarnya. Menjawab pun sebab nak ambil hati mama.

“Ya, cantik kan dia?”

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget